13 Januari 2022, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sama ada digunakan sebagai perbandingan, sindiran mahupun pertentangan, kias dan ibarat merupakan ciri utama dalam disiplin ilmu kesusasteraan Melayu. Menurut YBhg. Dr. Hazami bin Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sastera itu sendiri tercipta dengan adanya kiasan dan ibarat.

“Yang menjadikannya ‘sastera’ ialah kiasan-kiasan yang tergarap di dalamnya, sama ada ia diciptakan oleh pemikir-pemikir zaman dahulu, mahupun kiasan yang terbentuk daripada penulis dan pemikir moden.” Kenyataan ini disampaikan oleh beliau melalui Kuliah Penyelidikan Sastera Melayu (KUPAS) pada 12 Januari 2022 (Rabu), yang membicarakan topik “Kias Ibarat dalam Sastera Melayu”.

Ujarnya lagi, asas keindahan dan estetika karya sastera Melayu itu sendiri terletak pada kiasan atau bahasa perlambangannya, yang melibatkan akar budaya yang jauh melangkau generasinya.

Dr. Hazami membicarakan hal kias dan ibarat secara menyeluruh dan merangkup hal-hal utama disiplin ilmu itu, bermula daripada kaedah pemikiran Melayu yang menghasilkan pemikiran kias dan ibarat itu sendiri, sebelum menyentuh konsep umum kias ibarat, mencirikan secara terperinci konsep kias ibarat serta jenis-jenis kias dan ibarat.

Umumnya, estetika sastera Melayu memang dipengaruhi dan dibentuk oleh cara berfikir dan berkomunikasi orang Melayu itu sendiri. Maka, Dr. Hazami berkongsi kepada pendengar dan penonton empat cara pemikiran Melayu, seperti yang dipetik daripada kajian Hassan Ahmad.

“Pemikiran ini harus menjadi faktor budaya masyarakat Melayu yang berkias dan berperlambangan dalam menyampaikan pemikiran,” ujarnya.

Pertamanya, pemikiran teologis-rasional, khususnya untuk menjelaskan perbahasan akidah, iaitu teologi berdasarkan wahyu dan hadis umat Islam dengan menggunakan hujah akal. Manakala pemikiran alegorikal pula adalah untuk menyampaikan sesuatu konsep yang abstrak dan kompleks. Terutamanya dalam hal ontologi dan kewujudan. Hal ini dapat menjelaskan perkara yang abstrak, dan kaedah ini banyak digunakan dalam karya Hamzah Fansuri.

Manakala yang ketiga ialah pemikiran analogis, yang memaparkan keupayaan untuk menggunakan perumpamaan, kiasan, tamsil, ibarat, dan teknik ironi. Hal ini meliputi pantun, peribahasa dan pepatah. “Pemikiran analogis ini yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang sentiasa produktif, hidup, dinamik, dan bertenaga,” jelas Dr. Hazami.

Keempat, kaedah pemikiran pragmatik pula merupakan suatu usaha orang Melayu untuk mencipta makna melalui lambang atau tanda dalam teks bertulis mahupun komunikasi interaktif. Kaedah ini banyak terdapat dalam perumpamaan dan pepatah. Perumpamaan dan pepatah sering kali tercipta melalui konstruksi sosial yang mengkaji cara manusia mencipta makna berdasarkan konteks.

Menurut Dr. Hazami lagi, penutur bahasa Melayu sering membuat perbandingan dan rujukan pada perkara lain untuk menyatakan dan menjelaskan sesautu keadaan atau perlakuan, agar mudah difahami oleh orang lain dengan lebih jelas.

Manakala dalam struktur budaya penulisan orang Melayu, pemikiran sebegini lebih jelas dan terang penggunaannya. “Sastera Melayu mempamerkan penghasilan dan penggunaan kias dan ibarat yang kaya, kreatif serta imaginatif untuk menyampaikan pemikiran,” terang beliau.

Tegasnya lagi, kias dan ibarat mempunyai satu penekanan khusus, iaitu dalam unsur nilai budi dan pengajaran. “Penciptaan kias ini harus ada unsur pendidikan, teladan dan nasihat, manakala perkataan dan unsur yang kasar serta tidak enak pula wajar dihindari. Inilah perbezaan antara kias ibarat dengan metafora.” Bagi konsep metafora, ia tidak terikat dengan pendidikan, nilai moral mahupun kebudian dan kesantunan bahasa.

Seterusnya, Dr. Hazami membariskan lagi empat ciri utama kias dan ibarat. Satunya, kias ibarat tidak boleh dikandungi perkataan atau unsur yang jijik, kasar dan tidak enak. Pilihan diksinya hendaklah indah dan ada nilai estetika.

Kemudian, penyampaiannya pula hendaklah tepat, bermaksud, dengan pemilihan objek atau imej perkara yang dikiaskan harus tepat dengan maksud yang hendak disampaikan. Begitu juga dengan kehalusan budi yang harus dipaparkan, selaras dengan tujuan kias dan ibarat itu sendiri untuk meningkatkan ketinggian budi penuturnya. Tujuan yang sama itu juga menjadi faktor mengapa harusnya kias dan ibarat mempunyai nilai dan pengajaran.

Salah satu tujuan utama kias dan ibarat adalah untuk menajamkan makna dalam menyampaikan pemikiran. Dr. Hazami sempat memetik kenyataan Za’ba, “ia seolah-olah menambah terang sesuatu maksud. Dengan bandingan itu menjadi seolah-olah lukisan gambar.”

Selain itu, peranan kias dan ibarat adalah untuk mencipta dan membina ungkapan baharu. Dengan penuturan serta penciptaan kias dan ibarat pemikir hari ini, rangkap itu akan dirakamkan dan menjadi sebahagian daripada binaan kosa kata bangsa generasi hadapannya.

Bicara yang diadakan di bawah Kuliah Penyelidikan Sastera, KUPAS, merupakan inisiatif anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera di bawah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP. Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera merangkap pengemudi program KUPAS menyuarakan harapan agar program ini akan dapat membantu khalayak menghayati sastera dengan lebih mudah dan mendalam.

“KUPAS akan membawa para penonton untuk sama-sama melihat hasil kajian sastera tempatan, merangkumi pelbagai genre dan lapisan dalam bidang sastera itu sendiri, malah akan kami bawa juga perihal teori dan kritikan sastera.”

“Diharapkan inisiatif ini akan membantu masyarakat untuk menghayati sastera yang saling selari dengan media baharu,” tambah Saifullizan.

Tonton KUPAS di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.