Oleh Harlym Yeo
10 Januari 2022, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Edisi keenam program Lentera Puisi anjuran Persadaku.Org berjaya mengumpulkan 46 orang pemuisi dari Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam misi menobatkan genre puisi ke tahap yang lebih tinggi.

Majlis deklamasi puisi ini merupakan kesinambungan daripada acara yang diadakan sejak tahun 2013 di Singapura. Majlis ini menampilkan para penyair, penyanyi lagu berpuisi dan pemuzik undangan yang terdiri daripada sembilan peserta dari Malaysia, 17 peserta dari Indonesia dan 20 peserta dari Singapura. Acara ini direalisasikan secara santai, mesra dan menghiburkan pada 8 Januari 2022, petang Sabtu lalu selama lebih empat jam menerusi aplikasi Zoom.

Menurut Pengerusi, Jawatankuasa Penyelenggara dan Deklamasi Puisi, Yahya Hamid, Lentera Puisi VI kali ini diselenggarakan oleh Persadaku.Org, iaitu sebuah organisasi yang telah terdaftar dengan ACRA atau Accounting and Corporate Regulatiry Authority, badan berkanun Pemerintah Singapura.

“Acara kali ini bertemakan ‘Nyata di Maya’ yang dipersembahkan melalui rakaman video dan persembahan secara langsung di pelantar Zoom,” kata Yahya.

Ujar Yahya lagi, program itu membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat yang menggemari puisi tanpa mengira latar belakang atau pengalaman mereka untuk bersama-sama menyertai acara itu.

Peserta dari Malaysia termasuk Adi Cakrawala, Umar Uzair, Harlym Yeo, Shirley Idris, Wan Eidalafua, Siti Robiah Ismail, Rohaidah Yon, Rosnah Sutaman, dan Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman.

Menurut Umar Uzair, sejarah beliau bersama Lentera Puisi bermula sejak siri keempat dan kelima di Singapura dan beliau tidak dapat menolak untuk turut terlibat dalam edisi keenam apabila dijemput lagi kerana ingatan tulus daripada penganjur yang tidak pernah melupakan beliau.

“Selain memberikan penghargaan terhadap persembahan kepuisian, penglibatan dalam acara ini saya sifatkan sebagai satu cara menjambatani hubungan negara Nusantara dan memperkenalkan senimannya dalam sebuah acara kesusasteraan,” katanya, yang berkongsi persembahan lagu dan puisi karya sendiri yang dipetik daripada kumpulan puisi Pesta di Padang Jiwa (ITBM, 2015) berjudul Demi Kesilapan Tenunganku, Maafkanlah, yang dimuatkan dalam album kedua beliau terbitan Meja Poedjangga, Hasrat Sang Enggang (2020).

Harapan beliau agar lebih ramai seniman belia ditampilkan dalam Lentera Puisi. Beliau juga berharap agar acara itu terus dihidupkan supaya penyatuan yang telah ada akan sentiasa menyala.

Terlibat sama dalam persembahan deklamasi puisi ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA, dan juga Exco PEMUISI, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman.

“Tujuan saya menyertai program ini adalah untuk mencari kenalan selain membentuk satu jalinan dalam jaringan antarabangsa sesama penyair di Nusantara,” kata Dr. Zainatul yang mendeklamasikan sajaknya berjudul “Bila Ilmu Bersuara”.

Menurut beliau, para pemuisi menonjolkan sensitiviti dan keprihatinan yang mendalam terhadap isu sosiobudaya dan masyarakat yang menuju kepada satu fasa transformatif ideologi dalam penulisan dan pengkaryaan kreatif melalui platform teknologi media.

“Pemerhatian saya tertumpu pada kepelbagaian isu yang diutarakan, gubahan dan karangan puisi moden yang meruntun hati dengan perbahasan-perbahasan yang relevan dengan isu mutakhir. Pengkarya menunjukkan konsistensi dalam amalan penulisan sebagai ‘journalism citizen’ bagi menyemarakkan lagi jalinan hubungan antarabangsa ini,” jelas beliau.

Rohaidah Yon

Menurut Rohaidah Yon, seorang guru dari Batu Pahat, tujuan beliau mengambil bahagian dalam program itu adalah untuk sama-sama menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada bahasa dan sastera.

“Sebagai negara serumpun, melalui pembacaan puisi ini saya juga dapat mengeratkan silaturahim, di samping mengenali tokoh-tokoh penyair yang hebat dari negara-negara yang mengambil bahagian,” kata beliau yang mendeklamasikan puisi sendiri berjudul “Lokomotif Kehidupan”.

Sementara Indonesia pula diwakili oleh Mosthamir Thalib, Dr Muchid Albintani, Jodhi Yudono, Syarifuddin Arifin Dua, Kazzaini Ks, Dr Aris Ariff Mundayat, Susanty Susan Martha Putri, Lily Siti Multatuliana SutanIskandar, Dr Yuhastina Naina, Dr Irma Rachmawati Maruf, Amarty Azzahra, Ferry Curtis, dan Asrizal Nur.

Asrizal Nur merupakan Pemimpin Perkumpulan Rumah Seni Asnur (PERRUAS) yang turut membaca puisi sendiri berjudul “Taman Teduh Itu Jakarta” pada acara itu. Beliau memuji penganjuran program itu dan menganggapnya sangat baik untuk iklim kesusasteraan memandangkan Indonesia, Singapura dan Malaysia negara serumpun.

“Puisi menjadi sarana pemersatu antarabangsa kerana sebenarnya, sebagai negeri serumpun, umpama air tak putus dicencang,” kata beliau.

Harapan beliau agar acara seperti itu turut membabitkan negara jiran seperti Brunei Darussalam, Thailand dan negara serumpun lainnya.

Antara peserta tetap yang hampir setiap tahun mengambil bahagian dalam acara Lentera Puisi sejak tahun 2013 ialah Lily Siti Multatuliana SutanIskandar. Lily yang berasal dari Bogor, Jawa Barat, Indonesia, mendeklamasikan puisi sendiri berjudul “Kelok Sembilan”.

“Saya berasa senang sekali dapat mengambil bahagian dalam acara ini kerana dapat berjumpa teman-teman yang sudah lama tak ketemu walaupun kali ini cuma melalui alam maya,” kata Lily.

Beliau menjelaskan walaupun pada tahun 2017, beliau sudah menetap di Jakarta tetapi masih datang ke Singapura untuk ikut hadir dalam acara Lentera Puisi ketika itu.

“Selama enam kali diadakan, saya pernah sekali sahaja tidak hadir kerana ada halangan atas urusan keluarga. Jadi, istimewanya kali ini kerana diadakan secara maya. Walau dalam keterbatasan apa pun, kita tetap masih boleh berjumpa dan baca puisi,” ujar beliau yang berharap agar keadaan pandemik ini segera berakhir dan program bersemuka boleh diadakan dengan lebih kerap.

Singapura pula diwakili oleh Suratman Markasan, Maarof Salleh, Eunos Asah, Rohman Munasip, Chairul Fahmy, Abdul Rahim Omar, Khalid Bin Zainul, Samsudin Said, Hamed Ismail, Az Shariff, Mohd Khair Mohd Yasin, Herman Rothman, Cg Karmin, Anie Din, Sam Sumadi dan Ratnasam Sib II, Amnah Majid, Khaziah Bte Yem, Nordita Taib, Faridah Taib, dan Hartinah Ahmad.

Yahya Hamid

Pasangan suami isteri Sam Sumadi dan Ratnasam Sib II yang mendendangkan lagu puisi Larut dan Jiwa karya Ratnasam Sib II telah dua kali berturut-turut mengambil bahagian.

Menurut pengelola yang juga pengacara majlis, Yahya Hamid, semenjak awal lagi beliau ingin menyediakan suatu wadah untuk para pemuisi atau sesiapa yang berminat untuk mendeklamasi puisi.

“Matlamat saya hanyalah memartabatkan bahasa dan sastera Melayu, meskipun saya sendiri bukan pakar dalam bidang tersebut. Ke depannya, saya akan meningkatkan usaha melibatkan lebih ramai anak muda melibatkan diri dalam sastera Melayu umumnya, dan puisi Melayu khususnya. Keunikan puisi Melayu ialah puisinya dapat dideklamasikan dengan penuh jiwa dan penghayatan, tidak seperti halnya dengan puisi bahasa-bahasa lain,” jelas beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.