4 Januari 2022, 07:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Usaha Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan majlis pelancaran antologi puisi Sajak-sajak Daerah Pesisir yang diselenggarakan oleh Awang Abdullah dan Che Zawiah Che Pa menerima pujian daripada Yang Dihormati CP Dato’ Shafein Mamat, Ketua Polis Kelantan.

Beliau yang sudah 37 tahun meninggalkan dunia sastera dan penulisan merakamkan ucapan terima kasih kepada PPK dan Awang Abdullah khususnya, yang berkali-kali mengundang beliau untuk hadir menyempurnakan program ini. Beliau salah seorang pengasas yang menubuhkan Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR) – kini dikenali sebagai Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan, berasa terharu kerana diundang dan menyaksikan sendiri komitmen ramai penulis yang hadir menjayakan program ini.

“Kalau keadaan mengizinkan, PDRM Kelantan akan mengadakan program kesenian dengan kolaborasi PPK dan badan-badan penulis yang lain. Dalam kalangan warga polis, saya dapati ada yang berminat dalam lapangan sastera dan kita berharap cetusan idea bersama itu nanti dapat memberikan impak kepada khalayak pada hari ini. Masyarakat hari ini terbuka kepada media sosial dan mesej yang disampaikan nanti semoga dapat diterima (oleh masyarakat).

“Saya amat menghargai usaha yang jarang-jarang dilakukan oleh penulis seperti Awang Abdullah dan Che Zawiah Che Pa yang bergerak secara solo (menyelenggarakan dan menerbitkan antologi puisi) sebegini. Inisiatif Cikgu Awang ini sehingga dapat mengumpulkan penulis dalam medium dan SOP baharu, dan saya akan terus menyokong usaha murni beliau (dalam mengembangkan kesusasteraan) ini.”

Majlis pada pagi Jumaat itu dimulai dengan ucapan Ketua Satu PPK, Haji Wan A. Rafar. Beliau mengucapkan tahniah kepada penyair asal Kelantan dan kini menetap di Terengganu, Awang Abdullah, yang berjaya mengumpulkan puisi daripada otai-otai penyair. “Usaha ini bukan senang kerana sesetengahnya sudah bersara, lama tidak berkarya atau mengalami writer’s block.”

Majlis setrusnya dimeriahkan dengan acara deklamasi dan baca puisi. Juara Kebangsaan, Maroof Seman dan Tengku Anizan Tengku Ibrahim tampil membuka persembahan dengan mendeklamasikan puisi berjudul “Desir III” karya Marzuki Ali. Erney Putri Ali mendeklamasikan sajaknya yang berjudul “Bicara Hati”. Awang Abdullah pula dengan sajak tiga bahasa berjudul “Keluarga Malaysia” dan Ezane Haji Daud menyampaikan sajak bertajuk “Mengenang Jebat dari Naskhah Sejarah”. Penyair lain yang turut tampil membuat persembahan ialah Che Jamilah A. Rahman, dan Chu E Liang.

Segmen kedua pula menyaksikan persembahan unik dalam kalangan peserta. Wee Soo Lian dan Sujata Wee berduet mendeklamasikan sajak berjudul “Pancang” karya A. Aziz Deraman. Meriam Awang Lah menyampaikan tiga rangkap pantun budi dan diikuti dengan dua rangkap syair irama tradisi Tok Kenali. Zarir Ali pula bermula dengan fragmen yang dipetik daripada filem Anakku Sazali sebelum mendeklamasikan sebuah sajak. Abham TR menyampaikan sajak beliau berjudul “Garis-garis”. Anuar Musa tampil dengan ucapan ringkas, diikuti oleh Zainal Abidin Muhamad yang menyampaikan sajak “Topeng” nukilan Mukhtar Mustafa, dan Darma Mohammad mempersembahkan sajak “Hujan”.

Program ini menampilkan kejutan apabila ada hadiah misteri diberikan kepada tiga persembahan terbaik oleh tiga juri yang dirahsiakan pada awalnya. Kamarulzaman Ismail, Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) telah menghakimi kumpulan persembahan bagi segmen satu dan beliau telah memilih pasangan deklamasi Maroof Seman dan Tengku Anizan sebagai persembahan terbaik daripada segmen satu. Muhamad Ikhram Fadhly Hussin (DBPWT) pula mengadili persembahan bagi segmen kedua. Beliau telah memilih Wee Soo Lian dan Sujata Wee sebagai penerima hadiah bagi persembahan terbaik. Dato’ Shafein Mamat pula diberi penghormatan untuk memilih satu persembahan terbaik daripada kedua-dua segmen dan Erny Puteri Ali dipilih sebagai pemenang. Semua pendeklamasi menerima cenderamata buku daripada pihak DBP Wilayah Timur.

Antara tetamu yang tampil mendeklamasikan sajak ialah Dato’ Shafein Mamat, Dato’ A. Aziz Deraman, dan Wan A. Rafar. Persembahan kemuncak oleh tetamu istimewa Sabri Yunus, pelakon dan pengarah drama TV terkenal, mempersembahkan sebuah sajak satira dalam dialek Kelantan.

Abdul Hadi Yusoff, Setiausaha PPK selaku pengacara majlis, turut mempersembahkan sebuah pantun jenaka dalam dialek Kelantan. Program yang diadakan di Perpustakaan Awam Islam dar Nur al-Zahra, Kota Bharu ini diadakan pada 31 Disember 2021, dihadiri oleh lebih 60 orang penulis Kelantan dan Terengganu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.