Oleh Harlym Yeo
3 Januari 2022, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Majlis Malam PEMUISI@Ambang 2022 yang diadakan pada 31 Disember 2021 (Jumaat) mulai jam 10.00 malam secara langsung di Facebook PEMUISI Berkarya menyaksikan komitmen penganjurnya, Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) memasyarakatkan puisi dengan misi “Suara Kemanusiaan Sejagat”.

“Dalam pembangunan negara, puisi dan sastera tidak wajar dipinggirkan kerana sejarah tamadun manusia zaman-berzaman menunjukkan peranan dan sumbangan bahasa, sastera dan budaya dalam pembangunan bangsa dan negara,” kata Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika memberi ucapan perasmian pada malam itu.

Menurut beliau, sastera berperanan dalam pembentukan sahsiah, daya fikir dan penghalusan budi insan, manakala puisi menjadi medium pengungkapan suara batin pemikir bangsa tentang isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan dan kehidupan manusia.

“Dengan sifatnya yang halus dan mengangkat isu melalui estetik yang tinggi, puisi berperanan membentuk pemikiran bangsa,” ujar Datuk Seri.

“Oleh itu, perlu diusahakan pemasyarakatan puisi melalui pelbagai kaedah, agar lebih banyak khalayak yang terlibat dalam penghasilan dan penghayatan puisi untuk penghalusan budi, agar menjadi medium penyampaian ilmu, pemikiran dan isu penting bangsa dan negara.”

Menurut Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, sepanjang tahun 2021, banyak program semakin sukar diadakan secara pertemuan bersemuka gara-gara keadaan pandemik, tetapi PEMUISI terus berswadaya menganjurkan aktiviti-aktiviti puisi dan sastera secara dalam talian.

“Lebih 30 program telah berjaya dianjurkan sepanjang tahun 2021. Antara program yang berjaya mendapat sambutan luar biasa ialah Malam Getaran Jiwa Tan Sri P. Ramlee, Perisytiharan Hari Puisi Malaysia (pada tanggal 13 Jun setiap tahun) oleh YB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) kali ke-2, Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan (SDPSP) 2021, Pengucapan Puisi Antarabangsa Kedamaian Dunia (membabitkan 20 buah negara), Baca Puisi Nanggala, Malam Kemuncak Puisi Buat Palestin, Program Mesra Perkampungan PEMUISI di Hulu Langat, dan Baca Puisi Bulanan PEMUISI@MUZIUM. Dari segi penerbitan, PEMUISI telah berjaya menerbitkan sembilan buah buku antologi puisi dan kumpulan puisi serta menerbitkan majalah bulanan Jurnal PEMUISI yang kini masuk edisi ke-32,” kata Radzuan.

Menurut Radzuan, dari segi hubungan dengan para pemuisi di luar negara, PEMUISI telah membentuk jaringan melalui Kerabat PEMUISI Sedunia, iaitu dianggotai oleh sebanyak 28 organisasi daripada 12 buah negara.

Menyentuh tentang program yang diadakan pada malam itu, Radzuan berkata, “Majlis ini merupakan acara kemuncak program Suara Kesyukuran PEMUISI yang diadakan pada 15 hingga 25 Disember 2021 di Facebook PEMUISI Berkarya, yang mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 150 karya puisi dan video puisi dalam tempoh tersebut.”

Sebanyak sepuluh karya video puisi terpilih untuk siaran program Malam PEMUISI@Ambang 2022 itu. Antara yang terpilih yang juga membaca karya sendiri termasuk Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail (“Syukur”), Samsudin Ahmad (“Dendangan Alam”), Al Khair Al Johore (“Peran Penyair@Pujangga”), Fauziah Md Zakaria (“Coretan Senja”), Sita Aulliya (“Kepadamu”), Kasmah Osingang (“Aku Bersyukur kerana Masih Ada di Sini”), Aisyah Amsal (“Munajat di Sepertiga Malam”), dan Julia Ikin (“Hamparan Syukur”). Manakala, dua orang peserta, iaitu Baiq Mustika memilih karya berjudul “Surat untuk Cinta” nukilan Al Khair Al Johore dan Awang Que Rifa’ie Awang Shur membaca karangan Shur A.S Madrin bertajuk “Persinggahan Destinasi”.

Selain 10 peserta terpilih daripada acara sebelum itu, program malam itu turut membabitkan penampilan Sasterawan Negara, tokoh akademik, budayawan, deklamator kebangsaan, dan penggiat seni tanah air.

“Kita rasa bertuah kerana Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka, Yang Amat Arif Datuk Mohd. Nadzri Abdul Rahman Ibrahim juga turut menyumbangkan sebuah bacaan puisi,” kata Radzuan.

Radzuan juga berharap agar penglibatan Yang Amat Arif akan menarik lebih ramai peguam, pegawai mahkamah dan semua yang terlibat dalam bidang perundangan untuk bersama PEMUISI menyemarakkan dan memartabatkan puisi.

Program Malam PEMUISI@Ambang 2022 turut disemarakkan oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (“Erti Syukur”), Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim (“Jika Tok Janggut Masih Hidup”), Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan (“Hujan di Kuala Lumpur”), Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob (“Abu Bin Adam”), Dr. Zainatul Shuhaida (“Suatu Hari Akan Nampak”), Zaleena E-na (“Landasan” karya A. Aziz Deraman), Marzelan Perindu Seni (“Transisi Keamanan”), Harlym Yeo (“Potret Kedamaian”), Ezad SS (“Lingkaran Kemanusiaan”), dan Nor Asiya Nasir (“Palestin” karya Wanrazuhar).

Program itu juga menampilkan dua johan sayembara puisi yang diadakan oleh PEMUISI baru-baru ini. Mereka ialah Atikapuspha (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan) yang mendeklamasikan puisi berjudul “Cerita dari Sebuah Lingua Franca” karya Taksu Zacharia dan Mohamad Hakimi Mohamad Rejab (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia tahun 2021) yang membaca puisi “Secangkir Dakwat Merah” karya Mas Idayu Muhamadan.

Turut sama menyerikan persembahan program malam itu melalui dendangan lagu puisi ialah Yuzailan Yunus, Siso Kopratasa dan Adiwangsa Sukma. Pengacara majlis dalam talian itu disempurnakan oleh Harlym Yeo dan Bunga Merah.

“Dalam kegiatan akan datang, perlu disantuni golongan pemimpin agar melibatkan diri dan memberikan komitmen dalam perkembangan bahasa, sastera dan budaya,” ujar Prof. Dr. Awang Sariyan yang turut mendeklamasikan sajak beliau berjudul “Erti Syukur”. Antara petikan sajak beliau adalah seperti berikut:

Syukur bukan hiasan lisan
Syukur tertancap di maqam ihsan
Syukur diungkapkan dan dilaksanakan.

Majlis berbentuk kesyukuran bersempena sambutan tahun baharu 2022 yang berlangsung hampir tiga jam itu merupakan penutup tirai program PEMUISI untuk tahun 2021.

Tonton majlis penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.