Oleh Ilham Budiman
3 Januari 2022, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Betapa perlunya kesedaran dalam kalangan masyarakat, terutama bagi generasi muda menerima hakikat bahawa folklor pada masa sekarang sedang mengalami cabaran dan perubahan. Hal itu merupakan isu utama yang diketengahkan oleh Dato’ A. Aziz Deraman melalui Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia, berlangsung pada 3–4 Disember baru-baru ini.

Beliau berkata, arah tuju folklor sangat bergantung pada kesedaran masyarakat dan sejauh mana keprihatinan pewarisnya memelihara serta menggalakkan perkembangannya. Hal ini kerana perubahan boleh terjadi disebabkan oleh perubahan budaya sesuatu masyarakat itu sendiri, khususnya berkaitan perubahan dalam kemajuan hidup moden dan perlumbaan demi mengubah status ekonomi.

Dato’ A. Aziz Deraman membentangkan kertas ucap utamanya yang bertajuk “Folklor Melayu: Cabaran dan Arah Masa Depan”. Beliau menghuraikan perubahan ini berlaku sejak beberapa lama, khususnya apabila negara mencapai kemerdekaan, maka pelbagai rancangan pembangunan dilaksanakan di Malaysia dan di negara-negara serumpun bangsa di peringkat rantau.

Beliau menerangkan, faktor pembangunan moden mendatangkan perubahan pada struktur dan sistem tradisional, lantas menimbulkan gejala-gejala baharu.

“Kesannya, bukan sahaja terhadap beberapa bidang kehidupan tertentu, tetapi juga kesannya terhadap warisan budaya dan warisan folklor.”

Masyarakat Melayu misalnya, turut ikut mengalami perubahan fikiran dan pemikiran melalui pelbagai aspek kehidupan masyarakat dan budayanya. Dalam pada itu, proses pemasyarakatan pun terkesan, dengan adanya perubahan mengikut trend baharu sehingga sukar dipisahkan, termasuk dasar-dasar berhubung dengan pendidikan.

Beliau tidak menafikan kepentingan dan manfaat besar perubahan pada modenisasi. Namun begitu, faktor kesilapan, kekeliruan dan ketidakfahaman generasi muda untuk menghargai serta mencintai warisan budaya bangsa sendiri telah mengakibatkan keterhakisan dan kelunturan jati diri.

Tegas beliau, “Proses perubahan yang dialami oleh masyarakat kini telah membawa kesan yang hebat terhadap beberapa aspek perwarisan budaya Melayu. Padahal, warisan tradisional bangsa adalah sangat bernilai tinggi dan harus dipelihara serta dipulihara.”

A. Aziz Deraman yang terkenal sebagai tokoh pemikir, menjelaskan perubahan dan perkembangan sosiobudaya di rantau Nusantara atau di Malaysia sendiri, bukan sekadar memungkinkan, malah telah mewujudkan perubahan terhadap sikap, tabiat atau bagaimana terjadinya perbezaan dalam cara pewarisan aspek-aspek budaya.

“Pemuliharaan, penggalakan dan gerak usaha untuk menanamkan jiwa baharu yang bertujuan menimbulkan rasa kesayangan terhadap budaya bangsa adalah sangat perlu dan amat penting.

“Langkah ini akan merupakan cara pengimbangan antara perubahan dengan kerelevanan kepentingan warisan tradisional,” tegasnya.

Menurutnya lagi, dalam penelitian tradisi budaya sesuatu masyarakat, lazimnya hubungan sesuatu ciri budaya akan dikaitkan dengan fungsinya. Maka, bagi melihat kedudukan folklor dalam masyarakat Melayu, hal ini memerlukan pemerhatian dan sudut pendekatan yang diakronik.

Pada konteks peranan folklor dalam masyarakat Melayu, beliau menegaskan, “Folklor atau tradisi lisan mempunyai banyak kepentingan dari segi peranannya.”

Antaranya, bagi memupuk kesatuan (oneness), rasa kebersamaan (sense of belonging), rasa kekitaan (esprit de corps), keharmonian, dan penghubung antara anggota masyarakat. Fungsi penting folklor pula dapat dikaitkan dengan aspek hiburan, pengesahan budaya (cultural legitimacy), pemasyarakatan (socialization), dan pengekalan penerimaan masyarakat. Faktor-faktor tersebut memang sedikit sebanyak ada hubungannya dengan kedudukan tradisi lisan atau status folklor dalam masyarakat.

“Folklor menjadi sangat berfaedah bagi tujuan melihat aspek-aspek budaya tradisional sesuatu masyarakat. Ia akan berguna untuk diperhatikan bagaimana masyarakat itu menjalani kehidupan mereka merentasi zaman.

“Tradisinya memiliki fungsi kawalan sosial (social control), fungsi nilai-nilai budaya (cultural values) yang mengawal kehidupan anggota masyarakatnya; sebagaimana yang terdapat dalam pantun, syair, peribahasa, perumpamaan, gurindam, seloka, nazam, pepatah, petitih, perbilangan adat, dan undang-undang Melayu lama,” beliau menjelaskan.

Katanya lagi, keperluan terhadap penyelidikan dan pendokumentasiannya, bahkan penerbitan menjadi antara langkah-langkah yang boleh menghubungkannya dengan pelbagai ranah kehidupan masyarakat. Aspek-aspek sedemikian berguna untuk dijadikan rujukan atau bahan sumber tentang aneka macam warisan, misalnya sastera, antropologi, sejarah, perubatan tradisional, linguistik, malah dapat menyerlahkan fenomena tradisi budaya masyarakat itu sendiri.

Proses memasyarakatkan anggota masyarakat lazimnya disalurkan melalui pemupukan nilai dan norma, prinsip-prinsip berkeluarga, bermasyarakat, nilai muafakat, kerjasama berkomuniti, sehingga seseorang itu memahami apakah yang masyarakat itu perlukan. Peribadinya boleh terbina melalui perilaku, sebagaimana masyarakat kehendaki.

“Oleh yang demikian, fenomena folklor atau tradisi lisan itu tetap berkaitan dengan kehidupan masyarakat manusia,” tegas beliau. “Banyak kebudayaan di dunia ini dalam pewarisannya mengutamakan tradisi lisan, khasnya folklor.”

Sesungguhnya, folklore atau tradisi lisan dapat menggambarkan pandangan alam (Weltanschauung) bangsa atau masyarakat yang mencitrakan budaya, pemikiran, tahap pengetahuan, dan aneka corak warisan masyarakat dalam banyak perkara. Setiap bangsa, masyarakat, kumpulan etnik, dan suku bangsa memang mempunyai pandangan alam dan etos yang tersendiri.

“Namun, pada umumnya, tradisi lisan semakin tersisih oleh arus pembangunan material, kerana citra dan sifat penting masyarakat tradisional telah mengalami suatu corak transformasi sehingga mengakibatkan citra, sifat dan ciri-ciri budaya tradisional kehilangan fungsinya.”

Terdapat beberapa faktor yang dapat dikaitkan dengan kemerosotan situasi mahupun fungsi tradisi lisan dalam masyarakat masa kini.

“Faktor utama, salah satunya, kemajuan yang pesat dalam bidang ilmu pengetahuan yang sesetengahnya semata-mata beralaskan pemikiran saintifik, menyangkal warisan tradisional yang dianggap tidak berasaskan sains dan logik. Di samping itu, arus modenisasi yang lebih mementingkan material, mengatasi kepentingan warisan tradisional,” tegas Dato’ A. Aziz Deraman.

Seramai 4790 peserta mengikuti Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia ini pada hari perasmiannya yang disiarkan secara langsung melalui Pelantar Sosial DBP dan aplikasi Zoom. Manakala, keseluruhan segmen pembentangan kertas kerja webinar selama dua hari, sepanjang pagi hingga malam, menarik minat seramai kira-kira 7000 peserta.

Berita Berkaitan | 

Alam Sekitar Inspirasi Folklor Warisan Masyarakat

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!