Oleh Harlym Yeo
30 Disember 2021, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Khalayak peminat seni puisi dan orang ramai dipelawa bersama Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dalam program terakhir tahun 2021, iaitu Malam PEMUISI@Ambang 2022 yang akan diadakan pada 31 Disember 2021 (Jumaat) mulai jam 10.00 malam secara langsung di Facebook PEMUISI Berkarya.

Program anjuran PEMUISI ini akan menampilkan sepuluh video baca puisi terpilih peserta program Suara Kesyukuran PEMUISI di Facebook PEMUISI Berkarya yang dianjurkan dari 15 hingga 25 Disember 2021. Para peserta termasuk dari luar negara akan disiarkan bersama-sama para pemuisi jemputan yang akan mempersembahkan bacaan puisi, lagu puisi, syair, dan gurindam.

Menurut Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, program kali ini akan disemarakkan dengan puisi-puisi bertemakan kesyukuran.

“Melalui persembahan puisi, para peserta meluahkan kesyukuran ke hadrat Allah atas segala nikmat kesihatan, keamanan, keselamatan, kesempatan beribadat, ketenangan, kegembiraan, bakat kebolehan, pangkat jawatan, isteri anak dan keluarga, wang ringgit harta benda, kecukupan, kemewahan, kebahagiaan, dan lain-lain yang dikurniakan selama ini,” kata beliau.

Penampilan khas yang istimewa ialah acara baca puisi oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka, YAA Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman Ibrahim.

Program ini juga bakal menampilkan Sasterawan Negara, tokoh akademik, budayawan, deklamator kebangsaan, dan penggiat seni tanah air.

Program akan turut disertai oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka), Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim (Presiden PEMUISI), Dato’ Dr. Zurinah Hassan (Sasterawan Negara), Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Atikapuspa (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Sektor Perundangan), dan Marzelan Perindu Seni (deklamator kebangsaan).

Bersama menyerikan acara melalui dendangan lagu puisi dalam slot selingan ialah Adiwangsa Sukma, Siso Kopratasa dan Yuzailan Yunus. Acara ini akan dikemudikan oleh Harlym Yeo dan Bunga Merah.

“Saksikanlah program penutup PEMUISI tahun 2021 yang hebat ini di Facebook PEMUISI Berkarya. Kami mengalu-alukan para pelayar Facebook untuk turut bersama menitip kesyukuran melalui coretan dan komen anda di Facebook PEMUISI Berkarya pada malam berkenaan,” kata Radzuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.