24 Disember 2021, 07:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Besut – Manuskrip Melayu ialah karya yang bertulis tangan, terutama dalam tulisan Jawi yang dihasilkan dalam lingkungan awal kurun ke-16 hingga awal kurun ke-20 dalam bahasa rumpun Melayu mengenai alam dan tamadun Melayu. Pelbagai bidang ilmu Alam Melayu terkandung dalam manuskrip ini, antaranya sastera, sejarah, agama, perubatan (tib), undang-undang, ketatanegaraan, kesenian, azimat, dan petua.

Melihat pada kepentingan manuskrip Melayu yang perlu sentiasa dikaji dan dibincangkan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur menganjurkan Seminar Manuskrip Jawi dan Persuratan Melayu 2021 pada 8 Disember (Rabu) di Dewan Bendahara, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Kota Putra, Besut, Terengganu. Program anjuran bersama Sektor Kecemerlangan Peradaban dan Persuratan Alam Melayu, IPG Kampus Sultan Mizan ini menampilkan Profesor Dr. Jelani Harun dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, sebagai pembentang kertas kerja ucap utama berjudul “Karya Agung Melayu Wilayah Timur: Konsep, Penerokaan Manuskrip dan Pemerkasaan”.

Prof. Jelani Harun menggariskan beberapa prinsip asas sesebuah manuskrip silam boleh diangkat sebagai karya agung. Antara prinsip yang digariskan ialah kekuatan karya dalam menyampaikan pesanan kepada masyarakat, nilai budaya dan pandangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan, dan juga kehalusan seni bahasanya. Soal beliau, wujudkah karya agung yang boleh mewakili Wilayah Timur mewakili negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Patani?

Wilayah Timur pernah muncul sebagai pusat kesultanan dan peradaban Melayu yang meninggalkan kesan sejarah yang besar kepada negara. Di Pahang misalnya, terhasil Hukum Kanun Pahang dan Hikayat Pahang yang mengandungi catatan penting tentang sejarah pemerintahan dan amalan adat istiadat yang menjadi mercu tertinggi sejarah persuratan di negeri tersebut. Hikayat Pahang antara karya yang wajar diangkat sebagai karya agung bagi negeri tersebut.

Bagaimana pula dengan negeri Kelantan? Koleksi manuskrip dari Kelantan yang disimpan di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM), Perpustakaan Negara Malaysia, antaranya ialah Syair Musuh Kelantan, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Puteri Saadung, Sejarah Peperangan Tok Janggut, dan beberapa kitab agama. Sehingga hari ini, ketinggian tamadun persuratan di negeri Kelantan masih bergantung pada Hikayat Seri Kelantan yang mengandungi sejarah asal pembukaan dan pembangunan tradisi kesultanan Kelantan.

Prof. Jelani mengatakan Hikayat Seri Kelantan ialah satu-satunya karya historiografi Melayu yang menggunakan perkataan ‘Seri’ bagi memuliakan panggilan negeri Kelantan, yang terasa kebesaran, kelembutan malah keindahannya. Namun begitu, sehingga kini tidak diketahui siapakah pengarangnya. Hikayat ini pernah diselenggarakan oleh Mohd. Taib Othman dan diterbitkan oleh DBP. Penerbitannya berdasarkan sebuah salinan fotostat manuskrip Jawi yang tersimpan di Universiti Malaya. Hal ini mengundang persoalan tentang di manakah kewujudan asal hikayat tersebut sekali gus membuka ruang filologi berterusan kepada pengkaji seterusnya.

Apakah pula karya agung yang boleh diangkat bagi negeri Terengganu? Menurut Jelani Harun, negeri ini juga memiliki karya sejarahnya yang tersendiri, misalnya Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga yang dikarang oleh Tengku Dalam Kalthum binti Tengku Wok Khazaki yang merupakan cucu Sultan Zainal Abidin III. Syair ini istimewa apabila menceritakan pelbagai peristiwa berkaitan sejarah, sikap dan cara pemerintahan Sultan Zainal Abidin III yang disifatkan adil, alim, pemurah, berani, dan bijaksana, hinggalah era kemangkatan baginda. Syair yang dikarang pada tahun 1936 ini mengandungi 3084 rangkap syair, dan direkodkan sebagai naskhah syair Melayu terpanjang yang diketahui wujud setakat ini.

Wilayah Patani pula pernah melahirkan sejumlah besar manuskrip yang tersimpan di dalam dan luar negara. Kekuatan manuskrip Patani lebih tertumpu dalam penyalinan al-Quran dan pelbagai kitab agama, di samping beberapa buah karya sejarah dan syair. Antara judul manuksrip berkaitan sejarah Patani yang pernah diteliti oleh Prof. Jelani termasuklah Sejarah Pergerakan Bangsa Thai, Sejarah Patani, Sejarah Tanah Melayu, dan Hikayat Patani (dieja juga sebagai Hikayat Fathani). Sehingga kini, Hikayat Patani masih berada pada kedudukannya yang tersendiri sebagai sebuah historiografi yang menceritakan sejarah awal pembukaan negeri dan pemerintahan raja-raja Patani. Sebagai sebuah karya sejarah, Hikayat Patani mengandungi catatan penting tentang raja-raja pemerintah Patani dan mencatatkan hubungan Patani dengan Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, dan Johor.

Proses penerokaan dan pemerkasaan manuskrip Wilayah Timur harus berterusan dan berlaku secara serentak. Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk mengenengahkan manuskrip yang sedia ada melalui aktiviti penyelidikan dan penerbitan. Beliau mengharapkan karya-karya besar seperti Hikayat Seri Kelantan, Hikayat Pahang dan Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga dicetak dalam bentuk yang lebih baharu dan sempurna agar dapat disebarkan secara meluas kepada masyarakat. Tugas ini perlu digembleng oleh DBP dan institusi penerbitan yang lainnya, tegas beliau sewaktu bercakap di hadapan lebih 200 orang khalayak di Dewan Bendahara, IPG Kampus Sultan Mizan.

Pemakalah lain yang turut diundang dalam seminar ini ialah Dr. Engku Ibrahim Engku Wok Zin dari Universiti Sultan Zainal Abidin yang membentangkan tajuk kertas kajian beliau, “Penulisan Nazam ilmiah di Terengganu: Tumpuan kepada Nazam Jawahir alSaniyyah”. Ustaz Zaidi Hassan, Pengarah Perpustakaan Nur az-Zahrah pula membentangkan kajiannya, “Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani: Pemikir Agung Melayu” dan Dr. Wan Khairoslinda Wan Mohd Khairi bersama-sama Fathenwan Wan Mohd Nor, dari Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP, membentangkan kertas kerja berjudul “Memasyarakatkan Sastera melalui Kajian Manuskrip Melayu”.

Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur yang mewakili Ketua Pengarah DBP sewaktu merasmikan majlis, mengharapkan agar seminar ini mampu memberikan maklumat sebanyak mungkin tentang manuskrip Wilayah Timur dan Alam Melayu. Beliau juga berharap lebih ramai generasi baharu hari ini meminati dan menceburkan diri dalam bidang filologi dan seterusnya tampil mengkaji puluhan ribu lagi manuskrip yang berteraburan di perpustakaan atau pusat manuskrip di dalam dan luar negara. Turut hadir ialah Dr. Haji Ahamad Rahim, Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.