Oleh Harlym Yeo
23 Disember 2021, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seramai 38 orang peserta daripada pelbagai latar profesion menyertai bengkel asas penulisan sajak secara dalam talian bersama penulis tersohor Kelantan, Awang Abdullah@Pui Tiong Gee pada 20 Disember (Isnin) jam 9.00 malam.

Program tersebut ialah anjuran Kumpulan Anak Seni Pulau Serai (KAPRI) dengan kerjasama Alumni Bengkel Puisi Merdeka (ALUMNI) dan Erney Academy. Bengkel tersebut tertumpu pada perkongsian panduan dan tip tentang asas-asas penting penulisan puisi moden, khususnya sajak. Awang Abdullah merupakan seorang pesara guru, jurulatih seni (puisi) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu dan juga seorang penulis puisi, novel, cerpen, drama, biografi, berita, dan rencana. Antara karya beliau termasuklah Memori Bukit Besi, J.M Aziz: Penyair Berjiwa Besar, kumpulan puisi Kita Akan Dewasa, dan Sajak-sajak Telegram.

“Bakat dimiliki perlu diasah, digilap untuk menghasilkan kreativiti mampat dan kreatif serta berdaya saing. Bertitik tolak dari situ, satu penghasilan sajak kreatif memerlukan kotak fikiran luar biasa dan hebat. Maka untuk itu, sesi pembelajaran melalui bengkel penulisan sajak ini diadakan, walaupun secara dalam talian,” ujar Awang, yang juga seorang aktivis sastera yang berpengalaman luas lebih 45 tahun.

Katanya, bengkel itu dapat dimanfaatkan oleh peminat sajak khususnya penulis pemula yang ingin mempelajari teknik penulisan sajak. Para peserta didedahkan dengan pelbagai contoh sajak yang puitis, konsep bahasa dan isi serta tema.

Pembimbing menekankan kepentingan sesebuah sajak dari aspek fizikal dan batin, selain menyajikan beberapa contoh aspek bahasa dan bagaimana kaedah untuk mengubah bahasa biasa menjadi bahasa puitis.

Awang juga sempat mengulas daripada mana datang idea menulis, bagaimana memulakan penulisan dan apakah inti pati sajak yang perlu ditulis oleh pengkarya.

Bengkel selama sejam setengah itu disampaikan secara bersahaja dan berjaya menimbulkan suasana yang santai dengan dikemudi oleh tiga hos, iaitu Harlym Yeo, Erney Putri Ali dan Hamid Habeed Mohd.

Seorang Jurutera Bahagian, JKR Bahagian Sarikei Sarawak, Toh Chee Leong berkata, tujuan beliau mengikuti bengkel itu adalah untuk mendalami ilmu penulisan sajak agar dapat menghasilkan karya yang lebih berimpak tinggi.

“Nota pengajarannya ringkas, padat dan penjelasan yang senang untuk difahami. Saya berharap bengkel seumpama ini boleh diteruskan dengan topik lain seperti Dari Kertas Ke Pentas atau Tulis Sajak Deklamasi Sajak,” katanya lagi.

Seorang penulis dari Brunei Darussalam, Sosonjan A. Khan turut bersama dalam bengkel itu dengan tujuan untuk menimba ilmu.

“Saya suka menimba ilmu. Sebab ilmu semakin digali semakin banyak yang akan kita ketahui lagi. Kita tidak boleh berhenti daripada terus belajar. Pengalaman yang saya peroleh daripada menghadiri bengkel ini pun adalah satu ilmu juga buat saya,” kata beliau yang juga merupakan penulis novel Antalas Sukma (DBP Brunei, 2007).

Para peserta juga disediakan satu platform untuk berkarya melalui buku antologi sajak khas berjudul “Negeri Tercantik Di Tanah Kalbu” yang bakal diterbitkan dengan mengabadikan kenangan pada zaman kanak-kanak atau bertemakan ibu selenggaraan Awang Abdulah dan Hamir Habeed Mohd.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.