21 Disember 2021, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Negeri Kedah Darul Aman akan menjadi tuan rumah kepada Hari Puisi Nasional pada tahun 2023, dengan kerjasama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Kerajaan Negeri Kedah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Hal ini diucapkan oleh Ketua Satu ASASI, Encik Abu Hassan Morad pada Dialog Puncak Karyawan ASASI 2021 yang diadakan di Hotel Zaque’s pada 17 dan 18 Disember 2021. Penganjuran ini ialah kesinambungan daripada program yang diadakan di Johor Darul Takzim pada tahun ini.

Menurut Abu Hassan Morad lagi, penganjuran tersebut diharap mampu menjadikan Kedah sebagai salah satu destinasi pilihan kepada peserta-peserta program untuk mengenali Kedah dengan lebih dekat lagi.

Lokasi program itu akan diadakan di Daerah Padang Terap, yang diwakili oleh Ahli Parlimen Padang Terap, iaitu YB Mahadzir Khalid merangkap Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Peruntukan khas untuk penganjuran program itu akan disalurkan oleh Pejabat Parlimen Padang Terap dan juga daripada Kerajaaa Negeri Kedah melalui Pejabat Menteri Besar Kedah.

Sepanjang dua hari program Dialog Puncak ke-31 berlangsung, pelbagai aktiviti turut diadakan, termasuk acara bicara karya yang melibat kumpulan puisi remaja Jalan Dugaan yang dihasilkan oleh Wadiassofi Jaafar dan diulas oleh Mohamad Azmi Ab Rahman dari Universiti Utara Malaysia, manakala novel Kempeitai hasil karya Putraery Ussin diulas oleh Haji Zulkefli Dollah.

Ceramah mengenai aspek bahasa dan penyuntingan dalam karya sastera, iaitu cara menghasilkan manuskrip dan menghantar manuskrip kepada DBP disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, iaitu Puan Nurul Julia Henry. Sementara itu, Editor Bahagian Buku Sastera DBP Puan Zaharahanum Kamarudin pula menyampaikan ceramah mengenai cara-cara menghantar karya untuk majalah-majalah terbitan DBP.

Majlis yang diadakan itu turut diserikan dengan persembahan bacaan puisi oleh Chef Faizal Mehat serta pelancaran buku karya ahli ASASI yang disempurnakan oleh Bendahari GAPENA, iaitu Tuan Haji Hamzah Hamdani.

Majlis juga turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada peserta-peserta bengkel yang berjaya menghasilkan puisi dan cerpen terbaik bersempena dengan Dialog Puncak kali ini. Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Bendahari GAPENA, Tuan Haji Hamzah Hamdani.

Berita Berkaitan |

Dialog Puncak Karyawan ASASI ke-31 Himpun Penulis Kedah

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.