17 Disember 2021, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dua buah program sastera di negara kita yang besar tetapi semakin sepi ialah Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional. Di tengah-tengah persoalan mengapakah kedua-duanya seperti menghilang, ada yang mencadangkan penganjuran sebuah hari besar untuk sasterawan di negara ini. Para pencadang turut mengesyorkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) merancang penganjuran satu perhimpunan khas secara besar-besaran yang diberi nama Hari Sasterawan Malaysia yang diharap akan lebih gah daripada Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional. Raja Yusoff Ariffin tertarik dengan cadangan berkenaan selain mengambil pendapat beberapa rakan penulis mengenainya.

Hari Sasterawan Malaysia wajar dijalankan secara santai, tidak terlalu rasmi, tetapi bermanfaat kepada semua lapisan penulis, tanpa sebarang pemisah.

Menurut beberapa cadangan yang sampai kepada penulis, jika mengikut logik dan kebiasaan, program Hari Sasterawan Malaysia (HSM) boleh mempertemu dan menjalinkan silaturahim semua lapisan individu yang pernah terlibat dalam dunia persuratan, termasuk sasterawan, novelis, cerpenis, penyair, penulis skrip drama, penulis akademik, penulis agama, penulis politik, wartawan, editor, wakil penerbit, dan kartunis.

Mengikut kelazimannya juga, program sedemikian elok diadakan selama tiga hari supaya banyak kegiatan berfaedah untuk para penulis dalam setiap bidang boleh dilaksanakan. Dalam hal ini, setiap penulis layak diberikan kesempatan membuka laman penjualan buku (atau untuk pameran), di samping bertukar-tukar karya. Menerusi cara sedemikian, penulis boleh menurunkan autograf sebagai kenang-kenangan kepada pembeli sambil berkenalan.

HSM wajar dijalankan secara santai, tidak terlalu rasmi, tetapi bermanfaat kepada semua lapisan penulis, tanpa sebarang pemisah. Mengikut kebiasaan, pelbagai program sastera berskala kecil dan besar diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh para pemakalah jemputan. Namun begitu, hanya beberapa sesi forum sahaja dilaksanakan untuk membuka ruang dan peluang kepada penulis.

Forum tersebut boleh diberi khas kepada para editor akhbar dan majalah, serta wakil-wakil badan penerbitan yang berkait rapat dengan penyiaran karya. Pelbagai masalah berkaitan boleh dibincangkan dan diselesaikan.

Para pencadang turut berharap agar penganjur dapat mengatur kaedah promosi yang berkesan agar ramai yang mahu menyertai HSM. Penganjur boleh mengundang peserta menerusi surat rasmi yang disusuli dengan panggilan telefon, walaupun hal ini boleh dilaksanakan menerusi media sosial. Hal ini sedemikian kerana surat rasmi lebih menyentuh perasaan.

Kalau mengikut cadangan tersebut, HSM bakal menjadi acara besar. Justeru, disertakan cadangan agar kerajaan dapat mengiktiraf HSM sebagai hari cuti am kerana kerajaan boleh berbuat sedemikian. Diharapkan, pihak yang paling relevan seperti GAPENA dapat memohon dan membuat “desakan” itu.

Hari Sasterawan Malaysia tidak patut serupa dan klise seperti sambutan hari-hari sastera yang lain.

Menurut penulis bebas, Anbakri Haron, sasterawan membawa satu aliran, dan harus mengalirkan arus, selalu wajar mempunyai misi dan alasan untuk mewajarkan kehadiran mereka dalam masyarakat. Bagi beliau, sukar untuk menumbuhkan “rasa berguna” jika kita kabur dengan peranan dan fungsi sasterawan.

Tegas Anbakri, perkara ini wajar dibedah dengan saksama untuk nantinya dijadikan hala tuju. Jika hal sedemikian tidak mahu dijadikan “keutamaan” dalam pertemuan yang dicadangkan untuk tiga hari itu, penganjuran HSM tidak perlu.

Jika hanya mengadakan sebuah karnival, dan tiba-tiba khalayak penggiat hanya akan mendengar celoteh “dewa-dewa sastera”, yang diakhiri acara santai seperti baca puisi sehingga larut malam, hal itu sudah klise dan tiada pembaharuan. Hal itu seolah-olah cuba menyarungkan kebaya ke tubuh sastera lama untuk ke pesta. Masih lagi celoteh sehala tentang dunia sastera yang “serba divine”, dengan budaya mengagung-agungkan jargon perjuangan masa lalu, sekali gus memasyhurkan karya magnum opus pemain terdahulu.

Anbakri sekali lagi menekankan, perlunya bertanyakan “rasa berguna” sasterawan dalam konteks sebuah gerakan sekumpulan pemain bahasa yang bernuansa. Bagaimana peranan sasterawan wajar dihubungkaitkan dengan krisis nilai yang sedang sebegitu tenat, mengancam dan ditanggung oleh khalayak massa terkini di sana sini perlu dilihat.

Jika hal ini tidak dimantapkan, Anbakri bimbang sasterawan kita akan sekali lagi digesa untuk “bergerak dalam kekosongan”. Justeru, jika acara HSM perlu diadakan juga, menurut Anbakri, kemuncaknya adalah dengan mengeluarkan satu sumpah atau sebuah gagasan besar yang “terfokus pada nilai”.

Tambahnya yang juga seorang penyanyi dan komposer lagu puisi bebas, mungkin gesaan yang terkandung dalam Surah Asy-Syu’araa ayat 224–227 diizinkan mendapat tempat dalam diskusi ke arah memunculkan satu perbahasan bernas pada hari sambutan sepenting HSM.

Bagi Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia, Adiwangsa Sukma, Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional kurang mampu menarik perhatian, dan pengisiannya juga agak klise setiap kali diadakan.

Jika mahu mengadakan HSM, kata komposer dan penyanyi lagu puisi bebas itu, dua perkara utama yang perlu difikirkan ialah visi dan objektif penganjurannya, serta sejauh mana programnya dapat memberikan impak baharu dan meraikan pemikiran sasterawan itu sendiri. Pengisiannya juga, tambah Adiwangsa, jangan serupa dan klise seperti sambutan hari-hari sastera yang lain.

Kalau mahu diadakan juga, Adiwangsa berpendapat, acara-acara lain yang tidak begitu berfungsi mencapai matlamatnya (jika pun ada) elok disatukan. HSM juga, katanya, mestilah menjadi acara kemuncak dunia sastera dengan memfokuskan pada spektrum kebijaksanaan Sasterawan Negara itu sendiri, merangkumi pemikiran, ekonomi, politik, kesusasteraan, keamanan sejagat, kemanusiaan, dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, Maroof Seman RS menganggap HSM bukanlah satu keperluan, sebaliknya program sebegini hanya lebih bersifat iseng dan glamor sahaja.

Tegas deklamator terkenal tanah air yang juga Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 1997 itu, Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional jangan dibayangi oleh HSM, kerana kedua-duanya telah lama wujud, dan sedikit sebanyak telah memberikan kesan positif kepada kesusasteraan negara.

Kata Maroof, mengapa perlu disebutkan lagi Hari Sasterawan kerana sastera ialah manifestasi sasterawan. Tambahnya, yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk menambah baik Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional, bukan mengadakan sebuah lagi hari pertemuan ataupun perhimpunan sasterawan.

Setelah dilampirkan setiap cadangan dan bangkangan, mungkin hal ini eloklah difikir-fikirkan oleh pihak pelaksana dan persatuan akan kesesuaian atau ketidaksesuaian Hari Sasterawan Malaysia.

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.