Oleh Harlym Yeo
15 Disember 2021, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Puisi tradisional Melayu dijulang oleh sekumpulan peminat puisi dari Malaysia, Singapura, China, dan Australia dalam program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 15.0 anjuran kerjasama antara Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Alumni Bengkel Puisi Merdeka, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program itu dipancarkan secara dalam talian melalui pelantar Zoom ke Facebook Pemuisi Berkarya, Pusat Budaya UUM, dan DBP pada 12 Disember lalu. Program menampilkan 24 persembahan dalam bentuk puisi tradisional, seperti syair, pantun, gurindam, nazam, seloka, serta lagu rakyat, termasuk persembahan wayang kulit dan lagu puisi. Slot puisi moden seperti deklamasi sajak juga diselitkan sebagai dedikasi, khususnya untuk para mahasiswa UUM.

Persembahan slot puisi moden didahului dengan persembahan istimewa daripada budayawan dan mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Kapten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob yang melantunkan puisinya berjudul “Masih Tajamkah Mata Kerismu” dengan pesanan berikut, “Pesan guru tua/Jangan persia ilmu di dada bila di menara.”

“Puisi ini mengisahkan penuntutan ilmu oleh seorang murid yang berfokus pada integriti, kejujuran dan akhlak sebagai bekal untuk kehidupan, khasnya kalau nanti jadi pemimpin. Guru yang mengajarnya berharap muridnya itu akan berintegriti, jujur dan berakhlak mulia. Maka ditauliahkan muridnya itu,” jelas Hashim tentang pilihan puisi persembahannya itu yang dituju khusus untuk para mahasiswa.

Slot tersebut diikuti oleh persembahan puisi berjudul “Ingatan Pada Suatu Kasih Yang Tak Jadi” karya Zurinah Hassan oleh Zamri Aminuddin, alumni UUM, dan diteruskan dengan persembahan para mahasiswa UUM, Noradila Amirah Saperi@Sapri, “Suatu Kehidupan Dunia”; Nur Nabilahhanis Binti Razali, “Mengenal Erti Sebuah Kehidupan”; Nurulhusna Aliyanisa, “Diri”; Mohamad Rizwan Abd Rahim, “Sajak Perantau”; dan Wan Nor Nadia Wan Dapat, “Renungan Keheningan Malam”. Manakala Raja Nurul Farhana mendendangkan puisi tradisional berjudul “Syair Perahu” karya Hamzah Fansuri sebagai pembuka gelanggang.

“Kenalilah puisi tradisi kerana puisi tradisi ialah akar kita. Dah kenal puisi tradisi, kita tahu kita punya akar yang besar dan kukuh, dan kita sepatutnya jadi pohon yang rimbun dan teguh,” nasihat Sasterawan Negara wanita pertama Malaysia, Dato’ Dr. Zurinah Hassan yang turut menggemilangkan program dengan persembahan puisi beliau berjudul “Syair Kuala Lumpur”.

“Seloka Pak Kaduk” menjadi pilihan pendeklamasi dan penulis kelahiran Kelantan tersohor, Dr. Lim Swee Tin dan pensyarah Sichuan International Studies University, China, Hanna Aleesya. Dengan bimbingan dan didikan Hanna, beliau juga menampilkan dua orang warganegara China, Zhang Wan’er dan Li Kecheng mendedikasikan lagu rakyat yang pernah dipopularkan oleh Roslan Madun, tulisan T. Alias Taib, Lemak Manis.

Manakala para pelayar juga terpesona dengan kemerduan suara Juara Dendangan Syair Antarabangsa 2019, Dr. Shafa’atussara Silahudin yang mengalunkan “Gurindam Fasal Keenam” karangan Raja Ali Haji.

Dr. Shafa’atussara Silahudin.

Lagu rakyat dan lagu puisi juga menjadi pilihan ramai peserta untuk program itu. Antaranya termasuklah persembahan daripada Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim yang mendendangkan Zapin Watak, lagu dan lirik nukilan Wanrazuhar. Dekan Tari ASWARA dan Adiguru CENDANA, Zamzuriah Zahari, menghiburkan khalayak pelayar Facebook dengan tarian dan lagu Anak Ayam. Kumpulan penggiat seni sastera dari Terengganu yang terdiri daripada Pui Tiong Gee@Awang Abdullah, Sharifah Shakira Tuan Mansor dan Radzilah Mohd Zain, mempersembahkan pantun dan lagu rakyat Terengganu, Inang Rodat. Dari luar negara, program kali ini mengetengahkan lagu Peranakan dari Melbourne, Australia berjudul Di Kebun Bunga oleh Margaret De Silva, manakala pasangan suami isteri dari Singapura, Sam Sumardi dan Ratnasam Sib II, mempersembahkan lagu puisi Syair Bangkitlah Kita karya Ratnasam Sib II.

“Nazam Luruh Corona” yang dihasilkan ketika dalam keadaan kuarantin akibat wabak COVID-19 dendangan dan karangan Galuh Cendra Kirana meruntunkan jiwa penonton dengan gemeresik vokal dan bait-bait puisi yang indah. Alunan syair “Jasa Guru” irama Tok Kenali, Cikgu Norliza Salim dari Sekolah Kebangsaan LKTP Linggiu, Kota Tinggi, Johor juga menyerikan program itu di samping persembahan unik paduan wayang kulit dan seloka “Pesanan Ayah” oleh Rusdi MN dari Sibu. Persembahan pantun pula disampaikan oleh Mohd Rizal Ismail yang berjudul “Integriti” dan Ratu Rugu Rugu bertajuk “Nasihat Kehidupan”.

Melalui segmen bual bicara yang dinamakan Canai Puisi, program itu menampilkan aktivis sastera budaya dan Penyair Nusantara, Roslan Madun yang berkongsi ilmu tentang “Puisi Tradisional: Apa Yang Tersirat”.

Roslan menjelaskan, puisi tradisional ialah sastera komunikasi yang menyelitkan unsur-unsur pengajaran yang berkaitan nilai-nilai disiplin, hukum-hakam tentang Islam dengan strategi dan kiasan untuk meraih kejayaan dalam hidup.

“Ia wajar dikembangkan dari satu generasi ke generasi yang lain, dan saya yakin puisi tradisional tidak akan hilang selagi usia bumi masih ada,” tegas Roslan.

Menurutnya lagi, puisi ialah jambatan kasih sayang yang wajar diakrabi khalayak dalam kalangan orang muda agar lahir rasa memiliki, sekali gus puisi akan dijulang ke tahap yang lebih gemilang.

Segmen bual bicara itu diacarakan oleh Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Asmawiza Haji Hussin. Majlis dikemudi oleh pengacara gandingan Harlym Yeo dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.

Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 16.0 edisi bulan Januari pula dijangka akan bersiaran pada 1 Januari 2022, Sabtu, 9.00 malam. Acara tersebut bakal menampilkan mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman dengan judul “Seni Puisi Pada Era Moden”.

Tonton majlis penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.