Oleh Pui Wen Hang
15 Disember 2021, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penyajak Pui Wen Hang meneliti lima teknik persajakan T. Alias Taib.

Zainal Rashid Ahmad berpandangan bahawa sajak T. Alias Taib ialah foto yang bergerak dalam minda pembaca.

Mengikut kebiasaan, penyajak baharu suka mengemukakan penyataan langsung secara meleret. Kosa katanya bombastik dan metaforanya klise. Gaya bahasa sebegitu tidak menggalakkan pembaca berfikir secara kritis untuk merungkaikan makna yang tersirat. Dalam hal ini, ada eloknya jika kita temukan kelainan dalam sajak T. Alias Taib yang memanfaatkan objek sebagai simbol. Zainal Rashid Ahmad (2020) berpandangan bahawa sajak T. Alias Taib ialah foto yang bergerak dalam minda pembaca. Penulis ialah kamera yang merakamkan unsur-unsur yang zahir seperti rupa, riak wajah dan perbuatan. Kamera tidak sesekali akan memberitahu perasaan dan fikiran pelakon di pentas. Oleh itu, tulisan ringkas ini mengupas lima teknik yang diaplikasikan oleh T. Alias Taib yang menghidupkan objek simbolik dalam sajaknya, berdasarkan kumpulan puisi Peneka Silang Kata (Kata-Pilar, 2019).

Pertama sekali, T. Alias Taib sekadar menyenaraikan satu set objek, kemudian menerangkan ciri atau perbuatan objek tanpa menjelaskan maksud tersirat. Objek-objek tersebut mempunyai maksud simbolik atau kiasan. Hal ini mendorong pembaca meneka emosi yang terkandung dan maksud sebenarnya objek simbolik tersebut. Sebagai contoh:

          dari bangku tunggu stesen keretapi ini
          kulihat lalu lintas bak tali tak berhujung
          berangkat dan tiba berangkat dan tiba
          sewaktu kutanya mereka dari mana hendak ke mana

          peliut pun melengking.

(“gambir, senja”, 2019:102)

Dua objek simbolik telah digunakan, iaitu stesen kereta api dan peliut. Stesen kereta api selalu sesak dengan manusia. Oleh itu, stesen diumpamakan sebagai manusia yang sering bertemu dan berpisah, menimba pengalaman secara berterusan di tempat yang berbeza. Peliut pula bersifat nyaring dan menggelisahkan. Maksud tersirat peliut ialah beban hidup yang sering mendesak manusia bekerja dan mengejar masa. T. Alias Taib telah menggambarkan kegelisahan dan kesibukan hidup dengan sekadar menyenaraikan objek, seperti stesen kereta api, lalu lintas, manusia, peliut. Interaksi objek tersebut membina suasana yang mengandung emosi yang tertentu.

Selain itu, T. Alias Taib menyamakan dua buah objek yang berkongsi ciri yang sama. Kadang-kadang beliau menggunakan kata pemeri adalah dan kadang-kadang tidak. Sebagai contoh:

          balang yang bergoyang kata mereka
          adalah dirimu setengah matang

(“air setengah balang”, 2019:21)

Sajak ini menyamakan objek balang dengan objek diri. Balang yang mengandung air separuh penuh dan selalu bergoyang sama seperti diri sendiri yang setengah matang dan selalu runsing.

Di samping itu, T. Alias Taib mengaplikasikan teknik personifikasi, iaitu menambahkan sifat manusia pada objek yang tidak hidup, misalnya objek itu dapat bercakap dan bergerak. Terdapat empat jenis interaksi objek dalam personifikasi T. Alias Taib, iaitu konkrit-konkrit, abstrak-abstrak dan konkrit-abstrak.

Interaksi personifikasi pertama, iaitu antara dua buah objek konkrit (konkrit-konkrit), terdapat dalam “lukisan”.

          awan dan mentari
          yang tersungkur
          ke bumi

(“lukisan”, 2019:11)

Sajak “lukisan” menceritakan seorang kanak-kanak naif yang melukis objek alam semula jadi pada kanvas. Sajak tersebut menggunakan dua objek konkrit secara personifikasi, iaitu awan dan mentari. Kedua-dua objek dimanusiakan, iaitu “tersungkur ke bumi”. Perbuatan ini membawa konotasi negatif bahawa harapan budak-budak telah hancur.

Interaksi personifikasi yang kedua ialah abstrak-abstrak, iaitu interaksi antara dua objek abstrak, terdapat dalam sajak “menyusun kehidupan”:

          hari ini dia meratapi usianya
          yang lebur di dalam angin

(“menyusun kehidupan”, 2019:20)

Sajak “menyusun kehidupan” memperlihatkan interaksi antara dua objek abstrak, iaitu usia dan angin. Objek usia dan angin telah ditambahi ciri manusia, iaitu usia menjadi seperti serbuk yang dapat melebur, sementara angin menjadi tempat leburnya usia, membawa usia pergi, hilang tanpa jejak. Maksud tersirat sajak ini ialah orang tua yang menyesali kehidupannya.

Interaksi yang ketiga konkrit-abstrak, iaitu interaksi antara objek konkrit dengan objek abstrak, yang terdapat dalam sajak “kubentang sehelai peta”: “di atas rakit ini kukayuh kenanganku” (2019:19).

Dalam sajak ini, terdapat dua objek, iaitu rakit yang merupakan objek konkrit dan kenangan, objek abstrak. Rakit menjadi tempat “aku” mengimbau kenangan. Secara amnya, objek konkrit dan objek abstrak tidak dapat berkomunikasi kerana berada dalam ruang yang berlainan, objek konkrit berada dalam ruang maujud (alam ciptaan) dan objek abstrak lazimnya berada dalam ruang fikiran. Akan tetapi, sajak telah merapatkan dua alam ini untuk mendorong manusia meneroka lapis makna hidup yang lebih mendalam dan mesra. Teknik ini telah membuktikan bahawa manusia dan alam tidak terpisah.

Teknik yang keempat ialah pembandingan pembayang dan maksud. T. Alias Taib suka memulakan sajak dengan sesuatu keadaan yang menjadi pembayang, kemudian mendedahkan maksud yang sebenarnya dalam ayat yang seterusnya, seolah-olah menulis pantun. Teknik ini diaplikasikan dalam sajak “penyair kematian ilham”:

          ini lopak berair coklat
          sudah tiada berlari ketenteraman
          ini selembar hati pekat
          kebulur sebutir petunjuk

(“penyair kematian ilham”, 2019:27)

Dalam sajak di atas, T. Alias Taib mengemukakan objek pembayang dan ciri objek tersebut, iaitu lopak coklat yang tidak jernih lagi. Kemudian, beliau memaparkan maksud yang sebenarnya, iaitu hati pekat yang kehilangan petunjuk untuk menghasilkan sajak yang menyentuh hati. Pembayang dan maksud itu menjadi pembandingan yang menyentuh perasaan, seolah-olah kita memasuki kabus pagi, kemudian kabus itu berarak pergi dan imej gunung yang makin jelas.

Akhir sekali, T. Alias Taib mengimplementasikan teknik mempertentangkan dua keadaan. Pertentangan dua keadaan dapat memberikan kesan emosi yang kuat. Teknik ini digunakan dalam sajak “di akuarium pulau pinang” yang berikut:

          ada sebuah dunia
          kesukaan anak itu
          bebas dan lepas
          di padang terbuka
          ada sebuah dunia
          kebencian ikan itu
          lemas dan terbatas
          di lautan tertutup.

(“di akuarium pulau pinang”, 2019:13)

Dalam sajak “di akuarium pulau pinang”, frasa kesukaan anak itu bertentangan dengan kebencian ikan itu, sementara frasa bebas dan lepas bertentangan dengan lemas dan terbatas. Penyair menceritakan suasana positif tentang seorang anak yang berlari bebas di padang terbuka. Kemudian, penyair mempertentangkan suasana positif itu dengan suasana negatif tentang seekor ikan yang terkurung di dalam ruang terhad akuarium. Pembaca mula-mula membawa perasaan ringan dan bebas di padang, kemudian disogok dengan tekanan dikurung di dalam bekas yang terhad ruangnya. Pertentangan yang sedemikian menegaskan suasana negatif, iaitu kederitaan ikan apabila kebebasannya di laut sudah diragut.

Sebagai kesimpulan, T. Alias Taib suka menggunakan objek sebagai simbol yang membawa maksud kiasan. Objek simbol dihidupkan dan digerakkan dengan pelbagai teknik. Teknik yang paling kerap digunakan ialah teknik personifikasi, diikuti teknik menyenaraikan objek tanpa menyatakan maksud tersirat, menyamakan sebuah objek dengan objek lain, membandingkan pembayang dan maksud, dan akhir sekali pertentangan dua keadaan. Secara tuntas, seseorang penyajak dapat menjimatkan kata-kata dengan menjadi kamera bahasa badan yang lebih realistik dan mengharukan.

Kumpulan puisi Peneka Silang Kata boleh dibeli di sini.

_________________________

Pui Wen Hang ialah seorang guru yang turut mengarang sajak. Beliau kini menetap di Kuantan, Pahang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.