Oleh Karmila Azmi
15 Disember 2021, 07:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur “Identiti negara sudah ‘terburai’ dan ia berlaku agak lama sehingga menyebabkan hal-hal budaya dan bahasa kelihatannya sudah ditolak ke tepi.” Begitulah kata-kata Sasterawan Negara (SN), Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam simposium berjudul Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971: Sebuah Simposium Pasca-50 Tahun yang diadakan di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya.

Acara itu dianjurkan secara bersama-sama oleh PUSAKA, Svara, CENDANA, dan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya yang bertujuan untuk merenung semula konteks dan niat Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Dalam acara yang turut menampilkan Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican (Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Dr. Roslina Ismail (Timbalan Dekan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya), Salehhuddin Md. Salleh (Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan), dan dimudah cara oleh Eddin Khoo, Muhammad berkata, suatu bangsa yang matang mesti mempunyai bahasa kebangsaan, tetapi di Malaysia hal itu juga sudah “terburai”. Beliau berkata, selepas merdeka, masyarakat Malaysia bersama-sama membangunkan negara dan mengambil bahagian untuk tujuan itu tetapi menjelang 1980-an, masyarakat bukan Melayu semakin menyisih daripada arus perdana.

Katanya, hal itu mungkin disebabkan hampir semua perkara di Malaysia dipolitikkan sedangkan kita seharusnya cepat matang dalam hal itu.

“Berpolitik itu boleh tetapi gunakanlah untuk memperbaiki keadaan. Pengalaman saya merantau hampir ke 70 buah negara dunia, saya merasakan negara ini cukup dan ada segala-galanya cuma kita saja melihatnya kurang dari pelbagai segi.”

“Pemikiran kita tentang budaya dan bahasa juga banyak dirosakkan oleh ahli politik menyebabkan kita masyarakat Malaysia terpisah-pisah mengikut kaum,” katanya.

Dari segi bahasa tegas Muhammad, kita masih melihat bahasa Inggeris sebagai satu-satunya bahasa yang boleh memajukan negara sedangkan banyak negara lain tidak pun menggunakan bahasa itu untuk maju, malah tegasnya, bahasa Inggeris meminjam frasa asing termasuk, daripada bahasa Melayu.

“Kita perlu nyahkan pemikiran kolonial daripada akal dan hidup kita, barulah kita boleh melihat dan berbangga dengan pencapaian kita.”

Tambahnya, disebabkan oleh kekurangan pembabitan orang bukan Melayu dalam perjuangan bahasa dan sastera, negara tidak ada pengarang bukan Melayu yang hebat. Ketika ini, hanya ada Dr. Lim Swee Tin sedangkan Malaysia memerlukan lebih ramai kerana ketiadaan mereka menyebabkan sastera kita hanya tertumpu pada pengisahan satu bangsa sahaja.

“Saya merasakan bahasa dan sastera kita sekarang berada di tahap corot dan tidak dipedulikan,” katanya.

Tonton acara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.