Oleh Karmila Azmi
1 Disember 2021, 07:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Perubahan sezaman dengan ketibaan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) membawa pelbagai kesan baik dan buruk kepada manusia seluruhnya. Tanpa menidakkan kebaikannya, gelombang IR4.0 juga membawa bersama kesan atau kemungkinan negatif yang mampu menggugat iman dan keberadaan jiwa pengarang, dan dalam konteks ini sastera Islam.

Hal ini disebut oleh Profesor Kesusasteraan Bandingan, Universiti Sains Malaysia Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar menerusi ucaptamanya “Tasawur Islam dan Manhaj Rabbani dalam Sastera Melayu Islami” sempena Nadwah Sastera Islam Serantau yang disiarkan secara langsung di laman sosial, Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka pagi semalam.

Md. Salleh berkata, kemaraan IR4.0 tidak boleh disekat kerana hal itu ialah sebahagian proses perubahan dalam masyarakat. Ia mula diperkatakan sejak tahun 2016 dengan hampir setiap inci kehidupan manusia akan mendapat tempiasnya.

“IR 4.0 ialah edisi terbaharu selepas tiga revolusi yang sudah kita jalani, iaitu pada tahun 1784, 1870 dan 1969.

“IR4.0 ini besar kemungkinan akan terus memperkasakan kecerdasan buatan dan akan merampas pekerjaan manusia,” katanya.

Tegas Md. Salleh, bidang sastera tidak terkecuali malah pada tahun 2016, Jepun sudah menghasilkan cyborg yang mampu menghasilkan novel. Naskhah itu yang berjudul The Day a Computer Writes a Novel hampir memenangi hadiah sastera di negara berkenaan.

Dalam konteks pengarang sastera Islami, Md. Salleh berkata, kemunculan cyborg yang menulis ini tidak menepati ciri-ciri pengarang yang seharusnya, yakni yang berpegang teguh pada ajaran Islam dan beriman kepada Allah.

“Hal ini kerana, karya Islami bukan dihasilkan hanya untuk berseronok atau meningkatkan keuntungan jualan sebaliknya ia adalah untuk mendekatkan penulis dan pembaca dengan ajaran-Nya.

Cyborg tidak memiliki jiwa dan roh sekali gus tidak mampu mengungkapkan watak hamba dan khalifah Allah, apalagi memenuhi kehendak seni Islam yang murni,” katanya.

Tegas Md. Salleh, perkembangan IR4.0 juga mempelbagaikan bentuk komunikasi yang menyaksikan setiap manusia mampu berhubung antara satu sama lain, bukan sahaja melalui e-mel tetapi pelbagai aplikasi komunikasi yang lain. Hal ini membawa faedah kepada manusia tetapi dalam masa yang sama membawa kesan yang negatif.

Hal ini katanya boleh dilihat dengan kes keruntuhan akhlak dalam kalangan umat Melayu-Islam yang semakin meningkat, begitu juga dengan cubaan penyebaran agama lain kepada umat Islam.

“Tujuan sastera Islam adalah untuk membantu pengarang dan khalayak menjadi insan yang sempurna, iaitu menjadi manhaj rabbani yang diperlukan dalam kegiatan sastera.

“Manhaj Rabbani ini merujuk kepada jalan terang yang membolehkan manusia sentiasa meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dalam matlamat hidupnya dan segala amalannya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif ketika merasmikan acara itu menyebutkan Islam tidak pernah menolak sastera secara mutlak, justeru setiap pengarang sastera Islam mempunyai akidah yang jelas.

Sastera Islam itu juga katanya meletakkan keutamaan kepada karya yang membawa kesan positif kepada manusia, malah kerja mencari ilmu itu merupakan fardu untuk setiap umat Islam.

“Cabang persuratan Islam patut lebih fokus kerana karyanya mengandungi ajaran Islam. Penulis perlu bertanggungjawab pada karyanya kerana soal agama bukanlah hal yang boleh dipermainkan,” katanya.

Tonton majlis perasmian di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.