Oleh Orked Una
30 November 2021, 08:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Pada tahun ini, festival sastera yang menyatukan sastera dunia di sebuah pulau kecil yang sarat budaya kembali lagi dengan tema Mikro-Cosmos. George Town Literary Festival (GTLF) yang ke-11 ini bermula dari 25–28 November 2021.

Pada 27 November yang lepas, majlis pelancaran buku antologi Muara: Confluence/Pertemuan telah berlangsung di Bangunan UAB dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook George Town Literary Festival pada pukul 6.00 petang dengan menampilkan empat tokoh yang menjayakan Muara, iaitu Pauline Fan, Izzudin Ramly dan editor Hafiz Hamzah dan Badrul Hisham Ismail.

Istimewanya, kelahiran Muara merupakan tanda meraikan ulang tahun GTLF yang kesepuluh, hasil daripada usaha sama GTLF dan jurnal Svara bagi merakamkan segala rasa dan warna festival sastera antarabangsa ini. Naskhah dwibahasa Muara menghimpunkan esei, cerpen, puisi, ulasan buku, dan terjemahan karya penulis tanah air, serantau dan seluruh dunia dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Karya yang dimuatkan dalam antologi Muara turut merakamkan ceramah acara GTLF tahun lepas dan barisan penulisnya dipilih bagi menghasilkan koleksi karya yang menyatukan sastera yang rencam dan sentiasa dinamik. Menurut Hafiz Hamzah, beliau berpuas hati dengan kemantapan susunan karya bahasa Melayu penerbitan ini yang menyeimbangkan dan meraikan karya sastera bagi tatapan pembaca pelbagai latar belakang.

Pada akhir sesi pelancaran buku tersebut, puisi para penulis Muara, iaitu Masuma Tavakoli, Nikola Madžirov, Georg Trakl, dan Thira Mohamad dikongsikan kepada penonton dalam versi asal dan versi terjemahan oleh para penutur bahasa karya asli dan para penterjemah puisi-puisi tersebut.

Buku Muara: Confluence/Pertemuan boleh didapati menerusi Tintabudi bermula 1 Disember 2021.

Tonton majlis penuh di sini.

Artikel Berkaitan |

GTLF 2021: Dari Cermin Tilik ke Mikro-Cosmos

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.