29 November 2021, 21:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cerpen era pascamerdeka melahirkan karya yang pelbagai bentuk dan gaya, yang cuba mengubah warna kesusasteraan Melayu kontemporari. Dalam George Town Literary Festival 2021 (GTLF21), sebuah bual bicara yang dikongsi oleh Hafizah Iszahanid, Ruhaini Matdarin, Azrin Fauzi, dan Sheera Ghafar dikongsikan kepada pelayar internet melalui audio siar di Spotify rasmi GTLF21 dengan tajuknya, “Cerpen: Alam Nyata dan Tak Nyata”.

GTLF berlangsung pada 25 –28 November dengan program-program yang mengangkat wacana sastera dan budaya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ekoran pandemik, penganjur mengadakan program secara hibrid, sebahagiannya secara dalam talian seperti audio siar, video siar dan sebahagian lagi secara fizikal di lokasi rasminya, George Town, Pulau Pinang.

Dalam perbualan mengenai cerpen itu, Hafizah iszahanid sebagai pengelola menyalurkan platform buat para panel membicarakan idea dan pendapat mereka perihal cerpen. Khususnya, dalam perbahasan mengenai kebebasan mengarang cerpen yang diangkat oleh para bicarawan.

Bicarawan pertama, Ruhaini Matdarin menyatakan bahawa cerpenis tidak harus terikat dengan apa-apa konsep, kerana keterikatan itu akan menghalang kreativiti. Peribadinya, Ruhaini berasa penting buat cerpenis untuk bebas bermain dengan ruang waktu, ruang penceritaan dan memanipulasi subjek dalam karya mereka.

“Cerpen mempunyai radius bercerita yang terhad. Jika dibataskan gaya pengarang, ia akan mengehadkan peluang untuk meneroka.

“Isu yang diambil dan diangkat oleh cerpenis ialah isu nyata, dan dengan kerja-kerja interpretasi ke dalam bentuk teks yang berbeza, ia mempunyai pelbagai bentuk dan gaya untuk digarap,“ ujar beliau.

Ruhaini memilih untuk tidak mengehadkan kebebasan berekspresi dengan apa-apa konsep peribadi atau tahap pemikiran tetapi beliau berpegang pada prinsip “isunya tetap berpijak pada dunia nyata”.

Manakala buat Azrin Fauzi, selain masih menekankan peranan pengarang yang perlu “meneroka” dan bergerak “bebas”, beliau tidak lari daripada menemui konsep dan suara kepengarangan yang tersendiri.

Percaya dengan dunia cerpen yang kaya dengan tawaran genre, gaya, rentak dan bahasa, Azrin sebagai cerpenis cenderung untuk meletakkan suara imej dan visual dalam penulisan cerpennya.

“Kerana saya sendiri seorang yang visual,” tambah Azrin.

Apa-apa yang pengarang tawarkan melalui cerpen, juga tidak terhad interpretasinya, kerana pengarang seperti Azrin tidak dapat mengagak apakah reaksi pembaca.

“Pembaca yang datang dari pelbagai latar belakang, maka penerimaan mereka terhadap karya penulis juga rencam.” Justeru, kebebasan dalam berkarya juga mendorong kebebasan dalam membaca.

Begitu juga buat cerpenis Sheera Ghafar. Beliau lebih “keras” memilih untuk tidak mengikatkan dirinya pada mana-mana tetapan penulisan, mahupun kriteria pembaca itu sendiri.

“Secara peribadinya, saya tidak memikirkan apa yang pembaca mahu. Tumpuan penulisan saya adalah pada rasa, pendapat dan idea yang mahu diluahkan.”

Walaupun begitu, Sheera masih memandang kepentingan buat pembaca untuk mengambil isu-isu sosial yang sememangnya ditunjangkan dalam karya-karya beliau.

Antara kenyataan yang kuat bergema dalam dunia penulisan kreatif ialah eskapisme dalam penulisan. Cerpen juga berkaitan dalam hal ini kerana sifat cerpen yang bebas dan fleksibel untuk menggarap idea melalui cereka.

Bagi Ruhaini, pada awal dan permulaan perjalanan penulisan, cerpen boleh bermula dengan perasaan ini, tetapi pembentukannya akan berubah. “Kecenderungannya akan berubah kepada sesuatu yang lebih serius, walaupun ya, ia klise, tetapi ia akan berubah untuk menulis ke arah hala yang lebih bermanfaat, rasa bertanggung jawab dan keinginan untuk berkarya dengan unsur evergreen,” jelas Ruhaini.

Cerpenis Azrin dan Sheera juga bersetuju akan nilai eskapisme dalam mengarang cerpen agak kontra dengan jiwa mereka. Azrin menganggap penulis memang akan lebih mapan kepengarangannya, segaris dengan penambahan usia.

“Cerpen bukanlah eskapisme, ia sebuah eksplorasi, penerokaan. Saya sendiri sebagai pengarang rasa ingin tahu apa hubungannya dengan pembaca, dan apa hubungannya dengan konteks masa hadapan terhadap teks-teks saya.

“Zaman pandemik merubah pandangan saya. Pemikiran ketika menulis kini cenderung untuk memikiran impak kepada pembaca,” jelas Azrin.

Begitu juga Sheera. Beliau menegaskan beliau tidak menulis cerpen kerana eskapisme. “Menulis cerpen bukan eskapisme, tapi luahan. Saya cuma mahu pendapat dan idea saya dikeluarkan.”

Dengar audio siar perbualan ini di sini.

Artikel Berkaitan |

GTLF 2021: Dari Cermin Tilik ke Mikro-Cosmos

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!