27 November 2021, 21:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Yayasan Warisan Johor amat giat menjalankan aktiviti berunsur sejarah, seni dan budaya dalam usaha memelihara dan memperjuangkan warisan Johor. Antara aktiviti terbaharu yang dijalankan ialah Bicara Sastera Lisan Negeri Johor: Warisan Bangsa Merentas Zaman yang telah berlangsung pada 21 November jam 10.00 pagi secara dalam talian melalui laman Facebooknya.

Tiga panel dijemput untuk membicarakan sastera lisan dari pelbagai aspek. Mereka ialah Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar, Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Madiawati [email protected], Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, dan Dr. Rohaya Md. Ali, Pensyarah Kanan Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Utara Malaysia. Bual bicara ini dikendalikan oleh Dr. Zubir Idris, pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut Dr. Roslina selaku panel pertama, apabila menyebut sastera lisan, hal itu terkait rapat dengan fungsi “penglipur lara”. Tonggak utama yang menghidupkan sastera lisan ialah penglipur lara. Sesuai dengan maksud ‘penglipur’, iaitu menghiburkan dan ‘lara’ pula bermaksud duka atau kesedihan di hati. Justeru, peranan penglipur lara ialah menghiburkan masyarakat yang berduka lara dengan bahasa yang indah berpandukan sumber-sumber alam yang segar. Lazimnya juga, dalam menyampaikan cerita-cerita sastera lisan, seseorang penglipur lara akan menitipkan pantun semasa bercerita. Oleh hal yang demikian, seni berceritanya akan terlihat segar, menarik minat dan menjadi tumpuan masyarakat pada zaman tersebut.

Kekuatan dan kelebihan sastera lisan sangat banyak membentuk individu hidup secara berkumpulan, mendengar adat, budaya, maklumat, pengajaran, dan juga memperoleh ilmu kawalan sosial. Nyanyian rakyat, aktiviti berbalas pantun dan hidangan cerita-cerita rakyat seperti “Sang Kancil”, “Jula Juli Bintang Tujuh” dan sebagainya, ialah sumber asas yang membentuk jati diri, nilai kesopanan dan seni bergaul dalam diri anak-anak kecil dan anak-anak muda pada ketika itu. Justeru, penglipur lara memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat, khususnya masyarakat dahulu kala.

Manakala Dr. Madiawati Mamat pula melihat telah berlakunya perubahan tradisi lisan kepada bentuk digitalisasi pada sastera rakyat era kini. Perubahan yang melintasi satu jangka masa tertentu ini dipersembahkan dalam pelbagai bentuk, yang dapat dinikmati oleh generasi muda masa kini. Meskipun penyampaian “sastera lisan”nya bukan lagi disampaikan oleh penglipur lara, namun matlamatnya sampai dalam bentuk yang berbeza.

“Lagu Rakyat misalnya, mempunyai fungsi yang merangkumi kehidupan manusia. Seperti lagu Buai Laju-laju, ia sesuai dengan usia dan berfungsi sebagai hiburan kepada bayi yang sering didodoikan semasa dalam buaian,” ujar Dr. Madiawati.

Antara lain termasuk lagu Anak Itik Tok Wi, Can Ma Li Can, Injit-injit Semut dan pelbagai lagi. Lagu-lagu tersebut dipopularkan dengan pelbagai tema, rentak baharu dalam pelbagai wadah penyampaian, namun tidak sampai mengubah teks asal. Hal ini secara tidak langsung dilihat membentuk sosialisasi masyarakat yang sesuai dengan zamannya.

Terkini, siri animasi popular Didi and Friends mengambil inisiatif memperkenalkan lagu-lagu rakyat melalui slot-slot yang ditayangkan di saluran Astro. Sambutannya bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak bahkan memancing minat orang dewasa juga. Siri animasi Upin dan Ipin dan Pada Zaman Dahulu yang menampilkan koleksi cerita Sang Kancil dipersembahkan dengan gaya animasi yang lebih segar. Meskipun tidak terlihat fungsi penglipur lara secara tradisional, namun peranan  watak penyampai seperti “Tok Aki” dalam cerita Pada Zaman Dahulu telah mengambil peranan penglipur lara itu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga turut mengambil peranan penting menghidupkan sastera lisan pada era digital melalui cerita animasi Unggas. Kesemua usaha ini tidak wajar dikesampingkan, tambahan pula ia diusahakan oleh anak-anak tempatan.

Dr. Rohaya Md. Ali pula menambah, “Kita kenal sastera rakyat Inggeris melalui adaptasi sejak lama dahulu. Itulah usaha orang-orang Barat memupuk nilai tradisi budaya warisan bangsa mereka kepada masyarakatnya. Di Malaysia, sastera rakyat secara lisan berlaku perubahan apabila disalin dengan tulisan Jawi. Kemudian, dirumikan dalam bentuk buku atau teks dan kini, didigitalkan. Adaptasi digital laris di pasaran.”

Antara filem hasil karya adaptasi ialah Magika (2010), sebuah filem muzikal fantasi. Filem itu mengadun kisah dongeng, mitos dan lagenda, membawa khalayak penonton memasuki imbauan zaman silam. Meskipun berlaku pengubahsuaian, namun filem tersebut tidak menghilangkan nilai daripada teks asal.

Pada akhir bual bicara, ketiga-tiga panel menyimpulkan bahawa penglipur lara tidak dapat diwariskan dalam era kini kerana masyarakat sudah kepupusan tukang cerita, yang kebanyakannya merupakan warga tua yang telah uzur. Hal ini lebih sukar apabila bahan-bahan yang disimpan oleh sesebuah keluarga yang mewarisi kisah-kisah lipur lara daripada datuk dan nenek moyang mereka telah rosak, sama ada dalam bentuk pita rakaman atau salinan bertulis.

Justeru, usaha yang dilakukan oleh pengamal industri kreatif perlu disokong. Jika berlaku tokok tambah atau ubah suai teks dan cerita dalam bentuk baharu, hal itu bergantung pada pertimbangan pengamal industri kreatif. Seperti kisah “Si Tanggang”, meskipun sarat pengajaran namun dari segi psikologi kanak-kanak, cerita ini tidak sesuai dengan minda mereka, apatah lagi untuk menontonnya. Barangkali pengamal industri kreatif ada cara tertentu untuk mengubahnya dalam era baharu kini.

Tonton bicara sastera ini di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi