Oleh Karmila Azmi
27 November 2021, 18:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seramai 14 orang penulis diumumkan sebagai pemenang Sayembara Penulisan Puisi 50 Tahun GAPENA dalam majlis ringkas bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan ke-50 persatuan penulis nasional itu hari ini.

Daripada jumlah itu, empat orang penulis diumumkan sebagai pemenang hadiah utama, iaitu Shapiai Muhammad Ramly, Mohd Rosli Nik Mat atau Rosli K. Matari, Solihin Osman, dan Md. Yusof Ali atau Ria Asmira.

Sebagai pemenang hadiah utama, mereka menerima wang tunai RM1000 setiap seorang dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Tuan Haji Md. Johari Hasan.

Antologi Sayembara Penulisan Puisi 50 Tahun GAPENA: Kalau Kau Hawa Berikan Aku Cinta.

Sayembara itu diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-50 GAPENA dan semua karya pemenang dibukukan dalam Antologi Pemenang Sayembara Puisi 50 Tahun GAPENA, Kalau Kau Hawa Berikan Aku Cinta.

Sementara itu, YBhg. Tuan Haji Md. Johari dalam ucapan perasmian berkata, DBP dan GAPENA mempunyai hubungan yang erat, malah DBP sentiasa bersama dalam kegiatan GAPENA, sama ada dalam skala besar atau kecil.

YBhg. Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP semasa merasmikan Pelancaran Antologi Sayembara Penulisan Puisi 50 Tahun GAPENA: Kalau Kau Hawa Berikan Aku Cinta.

 

 

 

“DBP ditubuhkan pada 22 Jun 1956 hasil inisiatif para pejuang bahasa dan sastera. Jadi sudah sewajarnya DBP mendukung gerakan golongan penulis yang bergabung dengan GAPENA,” katanya.

Tegas YBhg. Tuan Haji Md. Johari, GAPENA sebagai badan bukan kerajaan yang tidak mendapat bantuan dana daripada mana-mana pihak perlu dihargai. Apatah lagi dalam keadaan penularan COVID-19 yang belum berakhir, GAPENA tetap gigih mengadakan aktiviti secara bersemuka dengan pematuhan pada prosedur operasi standard (SOP)  yang ketat.

“Bagi pihak DBP, saya mengalu-alukan sebarang cadangan untuk bekerjasama dalam acara GAPENA pada masa akan datang.

“Saya dimaklumkan bahawa GAPENA sedang merancang untuk meneruskan acara tradisinya seperti Hari Puisi Nasional, Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan dan lain-lain.

“Sebarang cadangan perlu dikemukakan lebih awal supaya memudahkan kami membantu secara terancang,” katanya.

Selain pemenang utama, turut dipilih ialah 10 penerima hadiah pemenang, iaitu Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah, Dr. Aminudin Mansor atau Ami Masra, Hasnah Yusoff, Ja’afar Haji Hamdan, dan Muhammad Fawwaz Mohd Fitri.

Turut diumumkan sebagai pemenang ialah Ramlan Abdul Wahab, Rohana Karno, Ross Nina Ahmad, Shazmee Rizal Padzali@Salim, dan Zalina Ahmad.

Tonton majlis perasmian penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.