26 November 2021, 11:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Che Abdullah Che Ya mengupas sastera popular daripada buku kajian Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme.

Kurangnya kajian dan penulisan tentang sastera popular menyebabkan definisi dan konsep sastera popular terus diperkatakan.

Isu sastera popular bukan isu baharu dalam arena kesusasteraan negara. Isu ini sering kali dibicarakan oleh pengkaji kesusasteraan, baik tentang konsep mahupun permasalahan lain, seperti moral dan pendidikan. Tulisan-tulisan itu biasanya memberikan tanggapan yang agak negatif terhadap sastera popular, seperti bersifat komersial dan mementingkan keuntungan.

Kurangnya kajian dan penulisan tentang sastera popular menyebabkan definisi dan konsep sastera popular terus diperkatakan. Menyedari situasi ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil langkah menganjurkan bengkel khusus bagi membincangkan sastera popular, baik dari sudut konsep mahupun pemikiran dan nilai sastera. Untuk tujuan itu, DBP telah menganjurkan dua bengkel, iaitu Bengkel Kajian Novel Popular di Malaysia pada tahun 2006 dan Bengkel Konsep Sastera Popular Malaysia pada tahun 2009. Kedua-dua bengkel tersebut cuba untuk merungkaikan isu yang berkaitan dengan pendefinisian dan juga untuk menentukan garis pemisah antara konsep, genre dan isu sastera popular dengan sastera serius atau sastera tulen (Misran Rokimin, 2020:xi).

Kertas kerja yang dibentangkan oleh sarjana tempatan dalam kedua-dua bengkel tersebut telah diterbitkan pada tahun 2020, dengan tajuk Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme. Buku ini dibahagikan dalam dua bahagian. Bahagian I mengandungi sembilan kajian tentang konsep sastera popular dan Bahagian II pula memuatkan 15 kajian teks novel popular yang dihasilkan oleh penulis negara. Perbincangan-perbincangan yang dilontarkan oleh penulis banyak memberikan manfaat, khususnya dalam menentukan definisi dan konsep sastera popular.

Terdapat karya serius yang memiliki ciri popular dan terdapat juga karya popular yang memiliki ciri serius, seperti terdapat unsur ilmu dan pendidikan.

Bahagian I mengandungi sembilan buah kertas kerja yang membincangkan tentang konsep sastera popular dari perspektif Barat dan Malaysia. Konsep sastera popular secara langsung dibincangkan oleh Hashim Ismail melalui kajian beliau, “Benarkah Kegagalan Artistik adalah Kejayaan Popular?”, Saleeh Rahamad melalui tulisan beliau, “Sastera Popular dan Potensinya dalam Pengajian Akademik”, Mohd. Hanafi Ibrahim, “ Sastera Popular dalam Jalur Kesusasteraan Melayu”, dan Mohamad Mokhtar Hassan, “Sastera Popular: Satu Kajian Perbandingan”. Hashim Ismail telah melihat hubungan sastera popular dengan budaya popular dalam memahami konsep dan definisi budaya popular. Hashim banyak membincangkan pendapat sarjana luar negara, khususnya dari Afrika dan Amerika tentang konsep budaya dan sastera popular, seperti Gilert Seldes, M.Thomas Inge dan lain-lain. Dalam memahami kosep sastera popular ini, beliau telah mengemukakan tulisan Reddy (1974) yang mengariskan konsep sastera popular India, iaitu:

  • Fiksyen dianggap sebagai penyelesaian masalah kewangan, dan pengarang tidak perlu memikirkan dia patut berkerja keras untuknya. Stimulasi psikologi yang popular.
  • Karangan bukan hasil ekspresi daripada suara kebenaran atau pengalaman benar.
  • Dengan pengiktirafan pengikutnya, ia membawa situasi emosi dan idea yang pelbagai kepentingan, dan menyakinkan pembaca bahawa ia satu hasil kerja genius.
  • Pengarang memberikan stimulus psikologi yang popular dengan kehendak emosi pembaca umum, ikut hasrat pembaca.
  • Pengarang seperti seorang ahli propaganda, memberikan pengiktirafan mengikut kehendak dan keperluan umum.
  • Pengarang tidak menggalakkan pembaca untuk berfikir pilihan frasa dan petikan ayat-ayat berdoktrin mengikut persediaan pembaca.
  • Dari segi penerbit, muncul penerbit yang lebih banyak dari segi kuantiti berbanding sebelumnya.
  • Penerbit mempunyai kaedah penerbitan berdasarkan hasrat pasar. Ia mengekalkan formula jenis buku dan pengarang yang sedia memiliki tarikan, termasuk dari segi corak kulit buku.

(2020:16)

Hashim turut menampilkan beberapa kajian lain, seperti Emmanuel Obiechina (1973) di Afrika. Dalam kajiannya, Obiechina menyatakan sebarang bentuk sastera yang berhubung dengan rakyat hendaklah mempunyai tiga elemen penting, iaitu mesti mudah dari segi bahasa dan teknik, mesti bersifat umum, dan harganya mesti murah. Hashim menegaskan bahawa pada tahun-tahun 1970-an, budaya popular, seni tinggi dan sastera popular mendapat perhatian ahli akdemik di Afrika, Amerika dan England.

Muhammad Saleeh Rahamad melalui kertas kerja beliau, “Sastera Popular dan Potensinya dalam Pengajian Akademik” menegaskan, dalam membincangkan konsep dan definisi sastera popular, pengkaji memperlihatkan kesukaran untuk memberikan definisi yang tepat kerana terdapat pertindihan ciri antara sastera popular dengan sastera serius. Dalam hal ini, terdapat karya serius yang memiliki ciri popular dan terdapat juga karya popular yang memiliki ciri serius, seperti terdapat unsur ilmu dan pendidikan.

Dalam menentukan konsep dan definisi ini, kebanyakan pengkaji menggariskan beberapa hal yang diambil kira dalam menentukan definisi sastera popular, iaitu karya tersebut dianggap popular sekiranya dibaca oleh ramai pembaca. Tujuan pembacaan adalah sebagai hiburan kerana karya ini bersifat hiburan. Mohamad Mokhtar Hassan mengariskan empat perkara yang diambil kira dalam menentukan konsep dan definisi sastera popular, iaitu:

  1. Dibaca ramai;
  2. Dibaca untuk hiburan;
  3. Bersifat hiburan; dan
  4. Rendah nilai-nilai estetika.

Untuk memahami konsep sastera popular ini, pengkaji turut melihatnya dari pelbagai aspek. Kamariah Kamaruddin telah melihat konsep sastera popular melalui tema yang dikemukakan oleh pengarang. Kamariah melalui kertas kerja beliau, “Tema dalam Novel-novel Popular: Analisis terhadap Novel-novel Pilihan Norhayati Ibrahim” menjelaskan bahawa tema cinta menjadi tema utama dalam novel popular Malaysia. Selain tema cinta, tema-tema lain termasuklah tema perjuangan wanita, khususnya dalam alaf baharu ini dan tema kehidupan warga kota.

Melihat konsep dari sudut tema turut dilakukan oleh Misran Rokimin melalui tulisannya, “Aspek Kepengarangan Dua Penulis Muda: Novel Popular dan Novel Serius”. Dalam penulisan beliau, Misran telah membandingkan karya popular yang dihasilkan oleh Ahadiat Akashah dengan karya serius yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani. Walau bagaimanapun, Misran membandingkan kedua-dua karya ini bukan sahaja dari aspek tema tetapi turut melihat dari aspek plot dan gaya bahasa. Kajian beliau memperlihatkan wujud perbezaan anatara dua genre ini di mana karya popular lebih banyak membawa kisah kehidupan harian, manakala karya serius membawa isu yang lebih besar.

Teks ini juga dapat memperbetul tanggapan negatif terhadap sastera popular, kerana sebalik kelemahannya, karya sastera popular turut berbicara tentang moral, pendidikan dan pegangan agama.

Perbandingan antara novel popular dengan novel serius secara langsung dikemukakan oleh Talib Samat melalui kajiannya, “Perandingan Novel Popular dengan Novel Serius”. Kajian perbandingan Talib agak menyeluruh dari aspek kepengarangan, tema dan persoalan, struktur novel, strategi naratif. Kajian turut menyentuh tentang bentuk novel, penerbit, jumlah cetakan, dan strategi pemasaran. Bagi beliau, kedua-dua genre ini, baik serius mahupun popular berguna dalam perjuangan memanusiiakan jiwa manusia di saat manusia semakin hilang sifat-sifat kemanusiaan. Berbeza daripada pengkaji lain, Talib melihat kepentingan sastera popular yang seirang dengan kepentingan karya serius. Mohammad Fadzeli Jaafar pula melalui kertas kerja beliau, “Karya Serius vs Karya Popular: Analisis Aspek Gaya Bahasa”. Beliau melihat secara perbandingan antara karya serius dengan karya popular dari aspek bahasa, seperti leksikal, gramatikal, kiasan, konteks, dan perpaduan. Mohammad Fadzeli telah memperlihatkan perbezaan yang ketara antara karya popular dengan karya serius dari semua aspek.

Sebagai rumusan pada perbincangan konsep sastera popular di Malaysia oleh tokoh-tokoh di atas, dapat disenaraikan tujuh ciri tentang novel popular tempatan. Pertama, novel popular haruslah digemari ramai. Meskipun ada pertikaian juga sama ada konteks popular itu mendapat sambutan atau ditentukan oleh ciri-ciri lain, seperti tema dan persoalan, gaya bahasa dan sebagainya. Kedua. novel popular bersifat komersial. Penghasilannya bermotifkan keuntungan. Justeru, novel popular akan melihat pembaca sebagai pembeli. Penerbitannya akan cenderung mengikut kehendak pembaca. Ketiga, penghasilan novel popular akan dikawal oleh persekitaran. Penulis akan menghasilkan karya berdasarkan kehendak pembaca, bukan apa yang ingin mereka perkatakan. Keempat, novel popular akan mewujudkan dunia persedo, iaitu dunia yang penuh dengan kepura-puraan. Yang digambarkan ialah kehidupan mewah yang indah-indah. Kelima, dunia pembaca dikecilkan. Novel popular akan mengecilkan dunia pembaca kerana ceritanya berkisarkan hal yang sama dan plot cerita berada dalam putaran yang sama. Keenam, novel popular juga terpisah daripada ikatan tradisi. Banyak karya popular melanggar norma dan kepercayaan yang dipegang oleh masyarakat selama ini. Hal ini terjadi kerana pengarang sekadar memenuhi kepuasan dan selera pembaca. Terakhir, novel popular akan membawa pembaca ke sebuah dunia yang tersendiri yang penuh dengan imaginasi dan fantasi yang bebas daripada realiti.

Buku Sastera Popular: Antara Komersialisme dengan Intelektualisme menjanjikan pengetahuan dan pemahaman yang hampir lengkap tentang sastera popular. Hal ini akan banyak membantu khalayak sastera kerana kurangnya buku-buku yang membicarakan sastera popular dalam persada kritikan tempatan. Teks ini juga dapat memperbetul tanggapan negatif terhadap sastera popular, kerana sebalik kelemahannya, karya sastera popular turut berbicara tentang moral, pendidikan dan pegangan agama, baik secara langsung mahupun tidak langsung.

Namun begitu, DBP dan penerbitan lain juga harus memastikan penerbitan karya tidak terlalu jauh dengan waktu penulisan agar bahan yang ditulis tidak terasa ketinggalan. Dalam isu sastera popular misalnya, sekarang ada isu yang lebih besar seperti karya-karya yang diterbitkan oleh Fixi dan penerbit-penerbit persendirian. Memandangkan kajian yang dilakukan dalam teks ini telah melebihi 10 tahun, adalah menjadi harapan DBP atau pihak-pihak lain meneruskan penerbitan kajian mengenai sastera popular kerana hakikatnya, karya sastera popular turut memainkan peranan besar dalam jalur perkembangan sastera tanah air.

_________________________

Che Abdullah Che Ya merupakan pensyarah kanan Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.