25 November 2021, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 merupakan sebuah jabatan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Umum mengetahui bahawa matlamat penubuhan DBP adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. DBP juga berperanan mengembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan. Lantaran itu, karyawan DBP tidak dapat dipisahkan dengan bidang persuratan Melayu.

Suatu ketika dahulu, DBP merupakan sebuah organisasi yang sentiasa dikunjungi oleh para penulis dan tokoh-tokoh besar kesusasteraan Melayu. Malah, kebanyakan warga DBP juga terdiri daripada penulis tersohor yang dikenali dalam ranah penulisan tanah air. Antaranya termasuk Sasterawan Negara (SN) Keris Mas, Usman Awang, Abdullah Hussain, Anwar Ridhwan, Kemala, dan Baharuddin Zainal.

Namun, seiring dengan perkembangan waktu dan peredaran zaman, penulis-penulis tersebut tidak lagi berkhidmat dengan DBP kerana sudah menikmati dunia persaraan. Persoalannya, adakah karyawan DBP kini masih terlibat dalam dunia penulisan karya sastera?

Nor Muhamad sewaktu membentangkan kertas kerja beliau dalam Seminar Bahasa dan Sastera (SEBARA) 2021 menjelaskan bahawa generasi penulis mapan dan tersohor yang masih berkhidmat di DBP pada masa kini boleh dikatakan semakin kurang kerana faktor persaraan. Namun, masih ada beberapa orang tokoh penulis DBP berusia 50 tahun ke atas yang masih lagi menulis. Antara penulis tersebut termasuk Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera), Filzah Ibrahim (Akademi DBP), E-Pian a/l Pro Poul (DBP Wilayah Utara), Jaafar Hamdan, dan Rosani Hiplee, masing-masing dari DBP Cawangan Sarawak. Kesemua penulis ini menghasilkan karya dalam bentuk buku.

“Namun jika diteliti, generasi penulis 50 tahun ke bawah kebanyakannya terdidik dalam bidang di luar sastera dan bahasa. Hal ini kerana DBP secara terbuka memberikan ruang kepada sesiapa sahaja yang berkelayakan menyertai organisasi keramat ini. Antara penulis DBP generasi baharu yang prolifik, ialah Saifullizan Yahaya, Shahrun Nizal Mohd Nor, Muhammad Fadli al-Akiti, Azura Halid, Mohd Faizal Jamil, Nur Ainaa Abdul Hamid, W. Zalina Rajali, Marwati Wahab, Azimin Daud, Hafizul Osman, Fathenwan Wan Mohd Nor, Nur Asyikin Zauzi, dan Hasni Jamali, ” jelas Nor Muhammad.

Kertas kerja Nor Muhamad yang ditulis bersama-sama Shahrun Nizal Mohd Nor berjudul “Penulis Karyawan DBP: Kewujudan dan Usaha Penggalakannya” turut meneliti penglibatan karyawan DBP dalam dunia penulisan esei dan kritikan sastera.

Ujar Nor Muhamad, “Rata-rata pengkritik sastera tanah air terdiri daripada para penyelidik dan pensyarah universiti dalam bidang sastera. DBP pernah memiliki beberapa orang karyawan yang terlibat dalam penulisan kritikan, seperti Hamzah Hamdani, Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim, Mohamad Daud Mohamad, dan A. Wahab Hamzah. Namun, nama-nama ini sudah tidak lagi berkhidmat kerana telah bersara. Antara karyawan DBP masa kini yang masih berkhidmat dan terlibat dalam dunia penulisan esei dan kritikan termasuklah Dr. Hazami Jahari, Jaafar Hamdan, Abdul Rashid Subet, Dr. Syaidul Azam Kamarudin, Mohamad Ikhram Fadly Husain, dan Shahrun Nizal Mohd Nor.”

Tambah Nor Muhammad, “Terdapat juga beberapa orang karyawan DBP yang menghasilkan karya, tetapi secara eceran dalam pelbagai genre. Sebahagiannya menonjol dan dikenali oleh warga sastera tanah air kerana kualiti yang dihasilkannya. Sebahagiannya pula mungkin menulis secara diam-diam tanpa mahu menonjolkan diri mereka.”

Mengulas lanjut tentang karyawan DBP yang giat menulis, sokongan yang berterusan daripada pihak pengurusan tertinggi DBP harus ditingkatkan. “Keunggulan DBP sejak dahulu bukan sekadar diukur pada impak hasil aktiviti pengembangan bahasa dan sastera, ataupun hasil penyelidikan dan penerbitan buku semata-mata tetapi nama DBP kekal gah kerana mempunyai karyawan yang hebat dalam penulisan karya sastera. Malah, ada dalam kalangan mereka diangkat sebagai tokoh politik, birokrat, sasterawan, intelektual, dan sarjana. Untuk mendapatkan kualiti karya yang baik, beberapa inisiatif seperti bengkel bimbingan penulisan, kaedah pementoran dan diskusi karya penulis DBP wajar diadakan, khas untuk karyawan DBP,” tegas Nor Muhammad lagi.

Nor Muhammad merupakan salah seorang pembentang dalam SEBARA 2021 yang berlangsung pada 24 November 2021 (Rabu), pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang anjuran Bahagian Penyelidikan Bahasa, Bahagian Penyelidikan Sastera dan Akademi DBP.

SEBARA yang bertemakan “Cabaran Bahasa, Sastera dan penerbitan dalam Era Digital: Peluang dan Ancaman” diadakan bertujuan untuk membina karyawan DBP yang berketerampilan, berwibawa dan meneruskan tradisi keilmuan dalam kalangan karyawan DBP, seiring dengan perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta era digital. Seminar yang dianjurkan secara dalam talian ini dirasmikan oleh YBhg. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.