22 November 2021, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejarah penemuan dunia penulisan Alam Melayu dapat dibahagikan kepada dua fasa, iaitu fasa sebelum kedatangan Islam dan fasa selepas kedatangan Islam. Tradisi penulisan sebelum kedatangan Islam banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit dan jenis tulisan Pallava, India. Hal ini terbukti sejak abad ke-3 atau ke-4 Masihi melalui penemuan Batu Bersurat Campa Tua dan Batu Bersurat Kutai. Setelah itu, perkembangan demi perkembangan berlaku sehingga pengaruh tulisan tradisi India berubah kepada tulisan Jawi selepas kedatangan Islam ke Alam Melayu sekitar abad ke-11 hingga abad ke-17, iaitu selepas penubuhan kerajaan Srivijaya pada abad ke-6 Masihi.

Di sinilah bermulanya perkembangan bahasa Melayu yang pada ketika itu menjadikan tulisan Jawi sebagai tulisan rasmi yang diguna pakai dalam istana-istana mahupun urusan rasmi perdagangan. Kewujudan tulisan Jawi pula berasal daripada perkataan Arab yang dibawa oleh para pedagang dan alim ulama sehingga akhirnya agama Islam yang menapak di kepulauan Melayu tersebar dengan begitu pesat .

“Tradisi kajian linguistik Melayu sudah bermula sejak abad ke-7 dan kedatangan Islam ke Alam Melayu yang mencapai tahap agama bagi kerajaan Melayu pada abad ke-13 Masihi, turut mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu dan bahasa ranah-ranah lain,” ujar YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam segmen ke-11, “Sumbangan Za’ba dalam Bahasa dan Persuratan” melalui siri Sekolah Pemikiran Pendeta Za’ba yang telah dijalankan sejak 2 Oktober lalu. Program ini ialah hasil usaha bersama Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Pahang, DBP, Institut Peradaban Melayu UPSI, dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Jelas Awang Sariyan, “Hal ini terbukti apabila dalam catatan Yi Jing, iaitu seorang Pendeta Buddha pada tahun 671M menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dalam agama itu di Jambi (pusat kerajaan Srivijaya). Bahkan, pada abad ke-15M telah wujud jabatan jurubahasa (Ta Dong Si) dan bahasa asing (Si Yi Guan) di istana maharaja Dinasti Ming yang melibatkan bahasa Melayu sebagai bahasa asing yang penting. Jadi, jika telah wujud jabatan bahasa asing ini yang melibatkan bahasa Melayu tentulah sudah ada kajian linguistik tentangnya meskipun tanpa teori yang formal.”

Rentetan itu, wujud kamus bahasa Melayu pertama, Man La Jia Guo Yi Yu (Kamus Dwibahasa Melayu-Cina) pada abad ke-15 dan mengandungi 17 ranah istilah dalam pelbagai bidang, antaranya termasuk astronomi, cuaca, flora, geografi, masa, anotomi, barang kemas, istana dan bangunan, sejarah, sosial, dan lain-lain.

Perkembangan demi perkembangan ini yang menyaksikan kemunculan istilah-istilah dalam bahasa Inggeris dan Arab dari satu abad ke satu abad telah dimanfaatkan oleh Za’ba dalam buku-bukunya yang telah ditulis sejak tahun 1920-an. Za’ba dengan jiwa yang begitu tawaduk juga mengakui bahawa beliau banyak merujuk Kamus Jawi-Melayu-Inggeris karangan R.J. Wilkinson untuk menghasilkan rumusan aturan ejaan Rumi dan Jawi.

Pelbagai penyelidikan dan analisis dilakukan oleh Za’ba tentang ragam bahasa Melayu hingga akhirnya, beliau berjaya meletakkan asas bahasa Melayu untuk manfaat pembaca sehingga kini. Za’ba ialah tokoh rintis bahasa Melayu baharu yang berjaya menulis dengan kehebatan dan ketinggian akal, meskipun bersumberkan rujukan yang terhad namun bersumberkan ilmu yang luas. Jelas dapat dibuktikan karya-karya Za’ba telah dikarang 10 tahun lebih awal daripada retorik Barat dan mendahului tokoh linguistik Amerika, iaitu Leonard Bloomfield yang muncul pada tahun 1930-an dengan struktur linguistiknya yang sangat dikenali dalam dunia Barat suatu masa dahulu.

Za’ba menjadi pencetus pada peletakan asas sistem bahasa Melayu baharu, sama ada dari sudut ejaan, tatabahasa mahupun retorik. Beliaulah yang menandai perkembangan dalam bidang keilmuan dan linguistik Melayu baharu yang akhirnya atas jasa besar ini telah dikurniakan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan pada tahun 1973 bersempena Majlis Konvokesyen Pertama UKM. Namun begitu, beliau tidak dapat hadir kerana sakit dan akhirnya meninggal dunia pada 23 Oktober 1973.

“Ilmu yang kuat dan jelas daripada Za’ba terletak pada kekuatan intuisinya dan pemerhatiannya terhadap sistem bahasa Melayu, meskipun beliau tidak terdedah secara formal dalam bidang linguistik pada ketika itu. Bahkan, Za’ba tidak pernah belajar ilmu fonologi (fonetik). Namun dengan ketajaman fikiran, beliau dapat membuat analisis tentang hubungan bunyi dan ejaan. Sedangkan diketahui umum ilmu fonologi mula muncul pada tahun 1960-an. Inilah bukti kehebatan Za’ba. Tidak dapat dinafikan bahawa Alam Melayu mempunyai tokoh bahasa yang hebat. Bahkan, kita tidak boleh menyatakan hanya orang-orang Barat yang mampu mengeluarkan teori dan rumusan kerana ketokohan orang Melayu telah dibuktikan oleh Za’ba,” ujar Awang Sariyan pada separuh akhir program.

Inilah ketokohan dan kecintaan Za’ba dalam dunia persuratan dan bahasa Melayu yang amat wajar dicontohi. Semoga anak kelahiran Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan ini terus lestari di bibir dan ingatan anak bangsa selamanya. Program bersempena Dekad Membaca Kebangsaan ini telah berlangsung pada 13 November 2021 yang lalu jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari secara dalam talian di serambi maya Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tonton syarahan penuh di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi