Oleh Orked Una
22 November 2021, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak karya berjaya diangkat menjadi telefilem dan filem. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga semakin giat mengangkat karya terbitan mereka untuk diadaptasikan. Menerusi adaptasi karya-karya ini, khalayak dan sastera dapat dirapatkan, dan karya sastera makin mendekati pilihan pembacaan.

Tiga karya adaptasi terbitan DBP telah dicalonkan dalam Anugerah Telenovela 2020/2021. Karya-karya tersebut ialah Sesekali dan Pendoa yang Ikhlas dalam Kategori Telefilem Tayangan 2019, manakala drama bersiri Korban Kasih bagi Kategori Telenovela Tayangan 2020.

Telefilem Sesekali merupakan adaptasi daripada puisi “Sesekali” (2006) oleh Siti Zaleha M. Hashim yang diterbitkan oleh Unit Drama TV RTM dengan kerjasama DBP dan diarahkan oleh Hisyamudin Ahmad. Telefilem ini kemudiannya diadaptasikan pula kepada novel oleh Lily Haslina Nasir yang juga merupakan penulis skrip telefilem tersebut. Telefilem Sesekali menemui penonton pada 14 Jun 2019 (Jumaat), pukul 9.30 malam di TV2.

Cerpen “Pendoa yang Ikhlas” karya sasterawan Allahyarham Azizi Hj. Abdullah diangkat menjadi telefilem di bawah arahan pengarah Wan Afzan Wan Daud, terbitan Unit Drama RTM dengan kerjasama DBP, dan skrip oleh Amin Mashyur. Telefilem ini disiarkan bermula 27 Oktober 2019, pukul 9.00 malam di TV1.

Novel Korban Kasih karya Fatimah Saidin yang diangkat menjadi drama bersiri (telenovela) Korban Kasih diarahkan oleh Mohd Fazil Yahya, diterbitkan oleh Mache All Star United dan skrip oleh Farhana Fauri. Telenovela ini disiarkan bermula 24 April pada pukul 7.00 malam di TV1. Dalam hal ini, kedua-dua novel karya Fatimah Saidin, Korban Kasih (2005) dan Korban Kasih 2 (2015) diangkat menjadi telenovela dengan tajuk yang sama.

Pada Anugerah Telenovela 2018 yang lepas, karya adaptasi terbitan DBP telah memenangi tiga anugerah.

“Supertelefilem” Srengenge adaptasi daripada novel Srengenge (1973) karya Sasterawan Negara Allahyarham Shahnon Ahmad telah merangkul Anugerah Telefilem Terbaik, Anugerah Pengarah Telefilem Terbaik dan Anugerah Penulis Skrip Telefilem Terbaik. Telefilem ini diarahkan oleh Mahuddin Ibrahim, diterbitkan oleh Arca Creative House Sdn. Bhd. dan skrip oleh Wan Mahani Hassan. Telefilem ini pernah ditayangkan pada 27 Mei 2016, pukul 10.05 malam di TV1.

Malam Anugerah Telenovela 2020/2021 yang bakal diadakan tidak lama lagi akan dimaklumkan di ruang media sosial rasmi Anugerah Telenovela (Facebook, Instagram dan Twitter). Karya-karya yang dicalonkan boleh dirujuk di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi