19 November 2021, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu Pemerintah dan pengarang akan saling dan selalu bertentangan, walaupun hal ini bukanlah berlaku pada setiap negara, kerajaan, dan pengarang di dunia.

Rosli K. Matari mengemukakan pandangan demikian, menjawab pertanyaan peserta semasa Bicara Khas Sasterawan Negeri Kelantan berfokus topik “Merdekakah Sastera Kita?” anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) melalui pelantar maya PPAK.

Sasterawan Negeri Kelantan ini menjelaskan, isu penentangan para pengarang terhadap kerajaan merupakan perkara besar di dunia bagi mana-mana negara, justeru berkait doktrin dan corak pemerintahan, salah guna kuasa dan penyelewengan pemerintahan, serta mungkin ketidakadilan dan penindasan terhadap rakyat. Konflik ini terbukti sudah sering berlaku sejak sekian lama, dari dekad dan abad sampai kini.

Jelas beliau, masyarakat umum mungkin tidak begitu menyedari bahawa sebahagian sejarah di dunia adalah mengandungi isu dan isi besar penggulatan antara pengarang dengan kerajaan, berikutan permasalahan tersebut.

Beliau menghuraikan takrif dan hakikat kemerdekaan kesusasteraan dalam konteks negara, serta kaitannya dengan kebebasan kreativiti pengarang, mencakupi global dan tanah air. Pembicaraan menarik beliau berfokuskan undang-undang dan kebebasan, doktrin pemerintah negara, serta tanggungjawab, kreativiti, dan keberanian pengarang, dan juga contoh para pengarang yang menjadi mangsa penindasan pemerintah.

Sasterawan ini menegaskan, undang-undang dan apa-apa doktrin adalah milik negara dan pemerintah. Namun, pengarang harus memiliki jiwa besar dan keberanian menegur atau melawan pemerintah yang mendukung doktrin pemerintahan yang tidak diterima oleh rakyat, atau pemerintah berkepentingan diri yang menyeleweng daripada kebenaran, keadilan dan hakiki kemanusiaan.

Pengarang sebagai golongan genius dan intelektual, melalui kebijaksanaan karya dan kuasa kesusasteraan akan mewakili suara rakyat bagi perjuangan membela serta menegakkan kebenaran. Malah, menurut beliau, itulah sebabnya Napolean Bornaparte pernah menyebutkan, “Aku lebih takutkan sebatang pena pengarang, berbanding seribu pucuk senapang.”

Pada konteks ini, Sasterawan ini tidak menafikan, undang-undang dan doktrin sesuatu pemerintah adalah mempunyai kekuasaan sebagai lebih berkuasa ke atas pengarang. Sungguhpun demikian, pada hujung akhirnya – masyarakat, dunia secara global dan zaman dapat menentukan dengan tepat akan kebenaran antara penggulatan sesuatu pemerintah dengan pengarang pada zamannya. Akan tetapi, hal demikian selalunya terlewat, selepas seseorang pengarang itu terpenjara sekian lama, dizalimi dan sebagainya, atau meninggal dunia.

Beliau mengemukakan contoh serta bukti menarik, berhubung isu dan konflik ini, antaranya sejarah penggulatan pemerintah – pengarang sebagaimana dialami pengarang besar dunia seperti Pablo Neruda, Boris Pasternak, Alexander Solzhenitsyn, Joseph Brodsky, Milan Kundera, termasuklah Socrates, Plato, Voltaire dan Rousseau dalam bidang persuratan falsafah. Manakala, dari rantau ini ialah Pramoedya Ananta Toer.

Termasuk di tanah air kita juga, berlaku pertembungan ini semasa sepanjang period pemerintahan kolonial British dan Jepun. A. Kadir Adabi (Kelantan), Pak Sako dan Ahmad Boestaman, antara contoh pengarang yang cukup diwaspadai, malahan dipenjarakan oleh penjajah justeru kreativiti kesusasteraan dan perjuangan kemerdekaan.

Rosli mengistilahkan konflik dan pertembungan demikian sebagai ‘Kesusasteraan Tertindas’ bagi maksud konflik besar pengarang dengan pemerintah, kreativiti terkongkong dan karya bagi pembelaan rakyat, kebenaran dan keadilan yang diharamkan oleh pemerintah. Beliau mengangkat kembali istilah ini yang sudah pernah dikemukakan sejak 35 tahun lalu pada ceramah berkait peranan besar dan signifikan sastera, di negeri ini sejak 1986 dulu lagi.

Sasterawan ini menyarankan beberapa jalan keluar, sekira para pengarang berhadapan dengan konflik “Kesusasteraan Tertindas”, iaitu:

  • Para pengarang harus berjiwa besar untuk tetap memiliki keberanian,
  • Terus gigih mengarang untuk menegakkan prinsip dan kebenaran,
  • Kesedaran bahawa pengarang merupakan “Anak Zaman” bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat, bangsa, agama dan negara,
  • Memiliki kebijaksanaan kreativiti untuk menerobos karya dalam situasi “Kesusasteraan Tertindas”,
  • Berusaha mencipta karya secara alegori, simbolik, malah mungkin memanfaatkan aliran realisme-magis, sebagai antara kreativiti bermutu tinggi, serta
  • Kelak masyarakat, bangsa, dunia global dan zaman akan menjadi ‘pengadil’ yang tepat terhadap konflik pengarang – pemerintah.

Dalam konteks negara Malaysia, beliau menyatakan pengarang dan media adalah memiliki kebebasan dalam prinsip Negara Demokrasi. Sungguhpun begitu, tiada siapa pun memiliki kebebasan dan kewajaran untuk memperkotak-katikkan isu sensitif berkenaan perkauman, agama, bahasa, kebudayaan, serta hak kemanusiaan.

Bicara sepanjang dua jam ini, khalayak menyaksikan penyair dan tokoh Sasterawan Kelantan terkenal ini petah lancar membincangkan topik, dengan gaya bicara dan tawa jenakanya tersendiri. Malah, beliau mencabar masyarakat untuk merenung mendalam, sekiranya sastera adalah bidang dianggap tidak penting dan berguna, maka mengapa pengarang dan kesusasteraan amat ditakuti oleh sesuatu pemerintah dalam sesebuah negara, sampai kini?

Rosli K. Matari adalah tokoh Sasterawan Negeri Kelantan ke-3 (2020), selepas Allahyarham Sasterawan Negara S. Othman Kelantan (2003) dan Dr. Fatimah Busu (2015).

Tonton program penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.