18 November 2021, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Shamsudin Othman menerusi acara Hari Puisi Nasional ke-21 pada 30 Oktober yang lalu menyatakan bahawa Muzaf Ahmad, seorang penyair muda yang kini menetap di Jepun, sebagai salah seorang penyair yang berperanan penting di negara era kini.

“Penyair Muzaf Ahmad dalam jalur keempat perkembangan puisi negara (era dan jalur terkini), pernah membicarakan kedamaian dalam ‘Perjalanan Penyair’, dan menyampaikan makna kepuisian kedamaian baharu,” ujar Shamsudin. Beliau menganggap, penyair-penyair mutakhir kini juga tidak kurang lincahnya dalam usaha memecah bentuk dan gaya puisi yang sentiasa berkembang.

Naskhah Sepasang Sayap di Bahu

Kumpulan puisi Sepasang Sayap di Bahu ini juga ialah rakaman peristiwa, merakam pengalaman saya sepanjang tahun 2015 hingga 2018, sama ada peristiwa peribadi mahupun peristiwa sekeliling yang saya amati.

Muzaf Ahmad, pemenang Hadiah Sastera MASTERA ke-9 bulan Oktober yang lepas, merangkul hadiah itu melalui sebuah kumpulan puisinya, Sepasang Sayap di Bahu. Naskhah kumpulan puisi itu ialah buku kedua beliau yang diterbitkan pada tahun 2018, dan perjalanan penghasilannya agak panjang.

Dalam sesi temu bual pendek wakil sidang editorial Dewan Sastera bersama-sama Muzaf Ahmad baru-baru ini, beliau menyatakan manuskrip bagi Sepasang Sayap di Bahu menemui pihak penerbit kerana Muzaf memang berniat untuk menyertai Sayembara Puisi Kata-Pilar, sebuah sayembara puisi anjuran rumah penerbitan Kata-Pilar pada tahun 2018.

“Sebenarnya, sayembaralah punca terhasilnya buku puisi ini. Disebabkan niat untuk menyertai sayembara, saya mengumpul semula puisi-puisi yang dinukilkan sepanjang saya berkelana dan berkarya dari tahun 2015 hingga 2018. Saya berani menyatakan bahawa temanya rencam,” jelas Muzaf.

Disusun dengan teliti oleh Muzaf sendiri mengikut garapan penceritaan, perlambangan dan maksud dalaman tertentu, pembahagian penyusunan puisi-puisi Sepasang Sayap di Bahu dipecahkan kepada tiga bahagian.

Malah, bahagian pertamanya dibahagi pula kepada tiga bahagian lebih kecil lagi yang dimulakan dengan puisi yang menggunakan kata ganti diri pertama. Bahagian kedua pula melibatkan kata ganti diri kedua seperti watak ‘engkau’, ‘kamu’, manakala bahagian tiga pula melibatkan penggunaan subjek dengan panggilan kata ganti diri ketiga seperti ‘dia’ dan ‘mereka’.

Merujuk beberapa kritikan, ulasan dan komen pembaca bukunya, Muzaf bersetuju dengan ulasan Iman Danial Hakim yang menyifatkan buku Sepasang Sayap di Bahu sebagai “buku puisi kembara dan kritikan sosial”.

“Asalnya memang saya pernah berhasrat untuk menghasilkan kumpulan puisi bertema kembara. Namun begitu, tanpa berselindung, ia juga ditulis sebagai kritikan sosial, kerana saya tidak boleh lari daripada mengkritik, tapi lebih ditumpukan kepada golongan politikus yang korup. Saya memang suka mengkritik.

“Kumpulan puisi Sepasang Sayap di Bahu ini juga ialah rakaman peristiwa, merakam pengalaman saya sepanjang tahun 2015 hingga 2018, sama ada peristiwa peribadi mahupun peristiwa sekeliling yang saya amati,” jelas Muzaf.

Suara Kepenyairan Muzaf Ahmad

Kita sebagai penulis, yang juga seorang manusia menggalas peranan tersendiri, seperti ahli masyarakat, anak, abang, malah sahabat, kita ini mempunyai tanggungjawab yang besar.

“Ini fakta: puisi-puisi saya kebanyakannya, jika mempunyai imej dan perlambangan, ia adalah apa yang berlaku di hadapan saya. Apa-apa yang saya lalui itulah, apa-apa yang saya akan tuliskan ke dalam puisi, tidak sekali-kali cerita atau peristiwa rekaan.” Muzaf memberi satu kenyataan menarik setelah ditala soalan cara beliau menukilkan puisi.

Menurut beliau, imej-imej yang terdapat dalam karya puisinya, semuanya diambil atau ditangkap daripada sumber hakiki di sekelilingnya. Jika ada manusia yang bermain piano dalam bait puisinya, hal itu kerana Muzaf melihat seorang manusia bermain piano ketika beliau menulis. Jika ada kisah kunci yang hilang dan tenggelam dalam bait puisinya, petang sebelum beliau tulis puisi itu, ada peristiwa kehilangan kunci yang benar-benar berlaku.

Pertama kali beliau berkarya dan berpuisi adalah melalui majalah Dewan Siswa. Itulah yang mula mencetuskan rasa minat beliau terhadap bidang penulisan. Selain itu, di sekolah beliau juga, terdapat majalah Dewan Sastera, yang menyaksikan Muzaf sebagai pembaca tunggal majalah unik itu daripada kalangan pelajar lain. Apabila diselak-selak helaian majalahnya, minat beliau terhadap sastera dan puisi semakin mendalam dan mula berakar.

“Pada peringkat awal itu, saya banyak belajar melalui membaca dan menghayati komen-komen dan tulisan kritikan karya sastera dalam majalah Dewan Sastera mahupun Dewan Siswa,” ujar Muzaf Ahmad.

Setelah melalui fasa pemikiran dan kesedaran, beliau yang masih di bangku sekolah mula menggali dunia penulisan dan kepenyairan dengan lebih mendalam, sebelum mula terbitnya rasa sedar bahawa sebenarnya mereka yang menulis karya ini bukan sekadar menulis.

“Kita sebagai penulis, yang juga seorang manusia menggalas peranan tersendiri, seperti ahli masyarakat, anak, abang, malah sahabat, kita ini mempunyai tanggungjawab yang besar,” tegas Muzaf. Manusia harus memainkan peranan untuk membantu kebaikan sejagat masyarakatnya.

Setelah memperoleh kejayaan mencipta nama sebagai penyair yang mendapat hati dalam kalangan pembaca dan peminat sastera, Muzaf mengambil peluang ini untuk menyampaikan rasa penghargaan buat rumah penerbitan Kata-Pilar, yang membantu beliau dalam menghasilkan buku kumpulan puisi Sepasang Sayap di Bahu.

“Terutamanya buat Abang Fahd Razy, yang mengangkat kemampuan saya dan membawa saya mengorak masuk ke dunia sastera dan penulisan ini sehingga terhasilnya buku Sepasang Sayap di Bahu,” tambah Muzaf. Katanya lagi, tanpa mereka, kemungkinan besar tidak adalah nama Muzaf Ahmad dalam ranah puisi Melayu.

Muzaf Ahmad juga sedar jelas akan kelompok unik peminat-peminat sastera, dan baginya “peminat sastera ini tidak akan hilang”, malah akan dikuatkan ketetapan hati mereka dalam ranah penjalin jiwa kemanusiaan ini.

Beliau sendiri berasa beban di bahu sebagai penyair untuk memasyarakatkan sastera agar lebih rapat dengan masyarakat. “Jujurnya dan hakikatnya, karya sastera memang berat, jadi saya kena bawa sesuatu yang lebih ringan dalam karya-karya saya, tidak seperti saya pada awal-awal peringkat dahulu.” Awal dahulu, beliau sendiri selalu dikritik oleh Faisal Tehrani kerana gaya penulisannya dahulu.

Bercerita pula tentang penyair-penyair kegemaran, nama-nama seperti Sasterawan Negara Dato’ Anwar Ridhwan, T. Alias Taib dan Rahimidin Zahari menjadi pilihan Muzaf Ahmad.

Anwar Ridhwan adalah antara sasterawan yang paling beliau gemari, kerana kemasyhurannya menyusun bahasa yang cukup kemas, “seakan-akan karangannya disunting beratus-ratus kali.” Anwar Ridhwan juga menulis dengan perasaan yang menghidupkan bait-baitnya, dan hal ini dapat dilihat dalam kumpulan puisinya, Tercipta Dari Tanya.

Tambahnya lagi, Anwar Ridhwan mempunyai gaya pemilihan diksi yang sempurna, tidak terlalu bombastik namun ditapis mencukupi ruang dan daya untuk menguasai jiwa pembaca, langsung memberikan inspirasi buat Muzaf.

Penyair Allahyarham T. Alias Taib pula, Muzaf menyifatkan sebagai penyair yang mampu bermain imej yang dibawa dengan kelainan yang tersendiri dan berona tempatan. Allahyarham Rahimidin Zahari yang juga pernah merangkul Hadiah Sastera MASTERA, dilakar pula oleh Muzaf sebagai tokoh penyair yang berkarya dengan tona-tona bersifat peribadi yang sama seperti pilihannya, yang juga mempunyai unsur ketuhanan dan kerohanian. Karya-karya puisi Allahyarham amat rapat dan akrab dengannya, mempunyai bau keintiman yang disuarakan.

Dunia Kepenyairan Hari Ini?

Perkembangan dunia kepenyairan di Malaysia sebenarnya amat positif.

Bagi Muzaf Ahmad, walaupun beliau tidak menetap di Malaysia, beliau merasakan perkembangan penerbitan buku puisi dilihat sangat positif.

“Dahulu, orang takut untuk terbitkan buku kumpulan puisi, kerana ia tidak mendatangkan keuntungan tinggi, namun hari ini, dengan kelahiran rumah penerbitan seperti Kata-Pilar, usaha-usaha menerbitkan buku kumpulan puisi semakin kuat dan mendapat tempat di hati khalayak, sama ada peminat sastera, puisi mahupun khalayak perdana dan awam.”

“Malah, dengan perkembangan teknologi, terlihat penggunaan media sosial yang meluas menyuburkan suara-suara puisi.” Menyimpulkan bicara, setelah bertahun-tahun aktif menulis dan berkarya, Muzaf kini sedang berehat. Beliau sedang mengambil peluang masa dan ruang untuk menumpukan kerja membaca, mengamati karya-karya penyair lain, dan belajar daripada karya-karya yang tidak terhingga ilmunya di luar sana.

Selain itu, beliau juga meluahkan, memenangi Hadiah Sastera MASTERA tersebut memberikan peluang buat beliau untuk menanamkan semangat kepada generasi baharu supaya kekal berkarya dan berpuisi. Dengan platform yang tersedia, seperti JendelaDBP, wajarlah beliau memikirkan usaha untuk manfaat rakan-rakan generasi baharu di negara sendiri. Kemungkinan satu hari nanti, Muzaf akan kembali ke tanah air, bekerja dan berjuang demi menyemarakkan jiwa puisi anak muda negara.

Ikuti laman rasmi Muzaf Ahmad di sini.

_________________________

Sidang editorial Dewan Sastera mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Muzaf Ahmad atas kemenangannya pada peringkat Asia Tenggara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.