Oleh Karmila Azmi
16 November 2021, 08:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagi sebahagian kita, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dikenali sebagai tokoh akademik yang sangat besar sumbangannya dalam keilmuan Islam. Namun peluncuran dua buah kumpulan puisinya, Mutiara Taman Adabi & Dalam Terang dalam sebuah buku puisi khas, ternyata memperkenalkan umum kepada sisi lain beliau.

Kedua-dua naskhah itu yang awalnya diterbitkan pada tahun 2004 ialah cetusan pemikiran Wan Mohd Nor yang masih berpaksikan ilmu Islam dengan tafsiran tanggungjawab masyakat berdasarkan al-Quran. Kumpulan puisi ini turut menyelitkan falsafah politik dan ilmu sejarah yang membawa pembaca berfikir dengan lebih jelas mengenai kehidupan manusia dan pengakhirannya.

Kedua-dua naskhah itu kini diterbitkan semula pada tahun ini oleh Nuun Adabi Nusa Bangsa, syarikat penerbitan di Indonesia. Majlis peluncurannya yang dibuat secara dalam talian baru-baru ini turut mengundang tokoh ilmuwan Dr. Adian Husaini, Prof. Tatiana Denisova dan Dr. Malki Ahmad Nasir sebagai pembahas.

Wan Mohd Nor dalam kata pembukaannya menyebut, beliau bukanlah seorang penyair yang terlatih namun sejak zaman persekolahan dan juga ketika menuntut di Amerika Syarikat, beliau banyak menulis puisi.

“Bagaimanapun, sekitar 2002 dan 2003, berlaku dua punca besar dalam dunia Islam yang menggerakkan naluri, iaitu perubahan institusi pendidikan tinggi yang banyak merungkaikan masalah fundamental umat Islam yang membawa perubahan pada pemikiran dan budaya umat Islam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

“Hal ini mendapat respons yang baik daripada umat Islam dan bukan Islam, manakala satu lagi faktor ialah peristiwa 11 September yang menyaksikan hal-hal berkaitan Islam menjadi problematic.

“Saya amat tertekan tetapi saya tidak dapat bersuara dan ketika itulah saya melihat kembali puisi-puisi yang ditulis,” katanya.

Tegas Wan Mohd Noor, ketika itu beliau sendiri terkejut dengan tulisannya dan bagaimana setiap kata dalam larik puisi itu mempunyai makna yang dalam. Malah katanya, ketika menulis puisi baharu, beliau sendiri tertanya-tanya bagaimana mampu berbuat demikian berdasarkan kedudukannya sebagai ahli akademik yang lebih kerap menggunakan bahasa Inggeris.

Tambahnya, apabila membaca puisi lama menimbulkan rasa teruja dan “naik bulu roma” bagaimana setiap bait bahasa itu dapat merakamkan perasaan dan pemikirannya dengan lengkap dan tepat.

“Apabila saya memilih tajuk Taman Adabi, ramai yang bertanya mengapa disebabkan di Malaysia Adabi itu merujuk kepada dua perkara utama, iaitu institusi pendidikan dan jenama rempah ratus.

“Tapi saya memilih perkataan adabi disebabkan ia merupakan konsep penting yang dibawa oleh Prof. Syed Naquib al-Attas berkaitan dengan adab, iaitu pengenalan diri terhadap kedudukan kita di sisi Allah SWT.

“Jadi Mutiara Taman Adabi merujuk kepada ilmu yang benar dan betul dan bersinar terang, serta bersinar terang mengajar manusia bertindak dengan cara yang betul,” katanya.

Tonton majlis peluncuran penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.