15 November 2021, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sik –  YAB Dato’ Seri Haji  Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah berkelapangan menyempurnakan pelancaran buku Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah karya Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hasan yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Umum mengetahui bahawa Shahnon Ahmad merupakan penerima Anugerah Sasterawan Negara (SN) yang kedua pada tahun 1982 atas sumbangan besar beliau dalam dunia sastera dan persuratan Melayu. Beliau banyak menghasilkan karya yang malar segar dan kebanyakan karyanya mencerminkan kehidupan sosiobudaya, politik dan ekonomi masyarakat yang melingkunginya. Sehubungan dengan itu, pada 13 November 2021, DBP dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) mengambil inisiatif melaksanakan Majlis Memperingati SN Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad bertempat di Sik Inn, Kedah.

YAB Dato’ Seri Haji  Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri berbangga dengan kelahiran penulis-penulis prolifik dari Kedah seperti Dato’ A. Rahmad, Dato’ Halim R, Dr. Kassim Ahmad, Azizi Haji Abdullah, dan banyak lagi. Saban tahun penulis di negeri Kedah ini semakin bertambah dan kebanyakan karya yang dihasilkan mampu bersaing dengan karya penulis negeri-negeri lain. Tambah beliau lagi, amat wajar Anugerah Sastera Negeri dapat diusahakan dan direalisasikan dalam waktu terdekat, dan pelbagai pihak sama ada badan bukan kerajaan atau agensi kerajaan perlu berganding bahu menggembleng tenaga mengorbankan masa, tenaga dan dana untuk membantu melahirkan barisan penulis yang berkaliber pada masa hadapan. Penulis-penulis yang berbakat dan bersungguh-sungguh ini wajar diberikan pengiktirafan melalui Anugerah Sastera Negeri sebagai galakan dan motivasi bagi mereka untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.

Sebelum itu, majlis dimulakan dengan Wacana Shahnon dalam Kenangan oleh tiga orang panel jemputan, iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hasan, Dr. Noor Roza Hassan, Dr. Ghazali Din dan Dr. Husairi Hussin selaku moderator. Dalam wacana ini ketiga-tiga panel mengungkapkan karya-karya besar tulisan Shahnon Ahmad seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, Seluang Menodak Baung, Rentong, Sampah dan Tunggul-tunggul Gerigis. Kebanyakan karyanya membawa dunia luar untuk mengenali daerah Sik yang terletak di Hulu Kedah. Karya-karya Shahnon kaya dengan kritikan sosial untuk membangunkan masyarakat luar bandar dan keluar daripada kepompong kemiskinan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Dalam wacana tersebut, satu kata sepakat telah dicapai menerusi Deklarasi Sik 13 November 2021 untuk mewujudkan Pustaleri (Pustaka dan Galeri) Sasterawan Negara Shahnon Ahmad di Banggol Derdap, Sik. Deklarasi ini ditandatangani oleh Haji Abd. Halim Haji Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Ustaz Md Isa bin Shafie, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Encik Mahamad Suhaimi bin Man, Pegawai Daerah Sik, Tuan Haji Abu Hassan Morad, Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Kedah dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hasan.

Wacana Shahnon dalam Kenangan oleh tiga orang panel jemputan, iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hasan, Dr. Noor Roza Hassan, Dr. Ghazali Din dan Dr. Husairi Hussin selaku moderator.

Majlis diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat kepada Allahyarham Shahnon Ahmad.

Majlis pelancaran buku Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Anak Nan Bertuah ditayangkan di Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka, yang boleh ditonton di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi