15 November 2021, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Pandemik yang melanda dunia pada awal tahun 2020 sehingga ke hari ini, ternyata tidak menoktahkan keaktifan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) daripada menghasilkan enam penerbitan bagi karya-karya penulis yang bernaung di bawahnya.  Antologi Anekdot Travelog, Antologi Puisi Suara Jiwa Buat Palestin, Antologi Cerpen Tasbih Tujuh Butir, Antologi Senyuman Momen Indah Sepanjang Jalan, Antologi Puisi Wajah di Kanvas, dan Antologi Puisi Kasih Hingga ke Syurga berjaya dilancarkan pada Majlis Penyampaian Hadiah, Sayembara Penulisan Kreatif negeri Kelantan 2021 dan Pelancaran Antologi terbitan GEMA di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan pada 13 November 2021.

Atas penerbitan yang amat memberangsangkan ini, YB. Mejar (B) Dato’ Hj. Md. Anizam Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, telah menzahirkan falsafah bahawa sastera mampu membahagiakan jiwa kerana gemerlapan karya-karya penulis yang diraikan dalam majlis ini umpama “bintang-bintang di langit”.

Selain itu, beliau turut berkongsi tentang rancangan Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) dengan kerjasama persatuan-persatuan sastera dan budaya di negeri Kelantan untuk menganjurkan Hari Sastera Negeri Kelantan pada tahun hadapan yang menyasarkan penyertaan para pelajar sekolah, siswa/siswi institusi pengajian tinggi (IPT) dan umum dalam menyegarkan usaha-usaha menyemarakkan kegiatan sastera dan budaya di negeri “lubuk sastera” ini.

YB Mejar (B) Dato’ Hj. Md. Anizam juga turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sayembara Penulisan Kreatif Negeri Kelantan 2021. Penulisan Kategori Cerpen menobatkan karya penulisan Nor Anita Salleh yang bertajuk “Tasbih Tujuh Butir” sebagai Johan, “Menunggu Tuah” oleh Nik Zainun Nik Abu Bakar sebagai Naib Johan dan Wan Fatimah Sofea dengan cerpen bertajuk “Pada Kesempatan Kali Ini” pada tempat ketiga. Manakala bagi Penulisan Kategori Puisi, Umi Solehah menjadi Johan dengan puisi yang bertajuk “Beta Puteri Dikhianati Arjunanya”, dengan diikuti oleh Ruzilawati Man dengan “Mawar Hilang Duri” dan “Pohon Sastera di Taman Tamadun Bangsa” oleh Anuar Salleh pada tempat ketiga. Semua pemenang menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan daripada pihak penganjur.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran YBrs. En. Muhammad Ikhram Fadhly Hussin, Ketua Unit Sastera dan Penerbitan, yang mewakili Pengarah DBPWT, penulis-penulis negeri Kelantan yang berbangsa Melayu, Cina dan Siam, serta beberapa orang wakil persatuan penulis sebagai tanda sokongan. Majlis turut diserikan dengan persembahan-persembahan bacaan cerpen dan puisi oleh para pemenang sayembara pada penghujung acara.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi