15 November 2021, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Rajeswari Seetha Raman mengenangkan jasa dan tunjuk ajar “adiguru”nya, Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah yang memekarkan jalan hidup sasteranya.

Tanpa suntikan inspirasi daripadanya, mustahil aku boleh mengharungi samudera sastera yang bergulung-gulung gelombangnya.

Kenangan berenang memintas samudera masa dan menghidupkan mutiara kisah tatkala aksara setia ini mengambil tempat di atas helai-helai putih. Rimbunan kenangan yang terkumpul dalam pangkal akal terlerai, helai demi helai, memasyhurkan pengorbanan indah dan mewah pujangga tersohor dunia yang kini telah kembali ke negeri abadi. Jasa Adiguru Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah yang lebih dikenali sebagai Kemala, yang melakar sejarahku dalam mandala sastera kebangsaan dan sastera antarabangsa, tidak terperi lagi budinya. Dialah Adiguru yang meletakkan batu asas dalam perjalanan perpuisian, penyelidikan dan penterjemahan diri ini.

Laksana suratan takdir, segala-galanya bermula tatkala aku bergelar calon siswazah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM, kini Universiti Putra Malaysia) pada tahun 1995. Rupa-rupanya, pertemuan aku dengan Adiguru telah diaturkan oleh Pencipta Alam Semesta ini. Jika tidak mustahil, puteriku yang dijadualkan melihat dunia pada bulan Julai 1994 diawalkan kelahirannya pada bulan Mei, dua bulan lebih awal daripada tarikh asal, yakni pada usia tujuh bulan tujuh hari, lalu terbit hasrat dalam kalbuku untuk menukarkan opsyen asal daripada Pengajian Inggeris kepada Pengajian Melayu, daripada Fakulti Pengajian Pendidikan kepada Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM pada tahun berikut, yakni tahun 1995. Bukankah ini namanya suratan takdir?

Ada hikmah tersendiri dalam caturan Yang Maha Esa. Tatkala menjadi calon siswazah di FBMK UPM, aku aktif dalam Persatuan Gapura Kreatif yang menyuburkan cinta akan sastera kebangsaan dalam sukma calon siswazah yang bakal menggalas amanah sebagai pendidik melalui pelbagai program sastera peringkat universiti. Dengan aturan-Nya pada tahun 1995, Gapura Kreatif UPM yang masih muda dari segi usia, telah berkolaborasi dengan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKBM) di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjayakan pelbagai aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan dalam kalangan siswa siswi UPM.

Pada tahun 1995, Adiguru Allahyarham Kemala menggalas amanah sebagai Presiden Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKBM). Takdir yang menemukan kami dalam suatu majlis sastera di UPM apabila aku dipilih untuk mendeklamasikan puisi di pentas UPM. Seusai mendeklamasikan puisi, hati melonjak megah menatap wajah pujangga yang sekian lama menjadi dambaan jiwa sesudah menghayati larik-larik puisi sufi dalam buku puisi Meditasi (1972) yang memiliki tingkat intelektual dan falsafah yang tinggi.

Penghayatan puisi sufi dan puisi Islamik tidak pernah menjadi suatu hambatan kepadaku kerana subjek-subjek yang berteraskan Islam, seperti Tasawur Islam, Tamadun Islam, Sejarah Islam, dan Sistem Tulisan Jawi ialah subjek yang dikaji dan diperhalusi untuk peperiksaan awam pada dekad 1970-an. Pemilihan subjek berteraskan Islam meluaskan horizon penghayatan sastera sufi. Aku dapat membaca mata fikir dan mata batin Adiguru Allahyarham Kemala dalam larik-larik puisi Meditasinya.

Tatkala cek sulung dihulurkan oleh Adiguru Allahyarham Kemala seusai mendeklamasikan puisi, nikmat jiwa tidak tersukat, bukan kerana ganjaran diterima tetapi kerana berpeluang bertemu tokoh yang sekian lama digeruni. Bukankah pertemuan rasmi ini juga percaturan Yang Maha Berkuasa?

Kata-kata tahniah yang melompat dari mulut Adiguru Allahyarham Kemala amat bernilai bagi diriku yang masih hijau dan mentah tatkala itu. Masih segar dan subur dalam minda, rona kad nama merah jambu yang dihulurkan dengan pesanan menghubunginya sesudah segulung ijazah menjadi milikku.

Aku digelar ‘nomad’ kerana tidak memiliki ‘rumah’ dan karya eceran bertebaran di jalanan, laksana nomad yang berkelana tanpa hala tuju dan destinasi.

Hari bersilih ganti dan sesudah bergelar graduan, aku mula aktif berkarya dan mengirim sajak ke media cetak arus perdana. Seusai karya tersiar, aku dilamar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai AJK Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKBM) pada tahun 1998.

Ruang dan peluang berguru dengan Adiguru Allahyarham Kemala terbentang panjang sesudah menerajui barisan kepemimpinan PKBM. Suntikan inspirasi dan motivasi yang tidak lekang daripada bibir Adiguru Allahyarham Kemala bukan sahaja menyemarakkan semangat untuk terus mempertingkatkan kualiti karya, malahan menghimpun keyakinan dalam diri untuk terus berkarya secara konsisten dengan idiosinkrasi tersendiri.

Meskipun sajak telah menemui khalayak pembaca, namun tidak terdetik hasrat demi menghimpunkan koleksi sajak dalam sebuah buku kerana tidak diketahui akan manfaat mengumpulkan nukilan sendiri dalam sebuah koleksi. Sehinggalah pada suatu hari, Adiguru Allahyarham Kemala secara berseloroh memanggilku sebagai “nomad”. Aku digelar “nomad” kerana tidak memiliki “rumah” dan karya eceran bertebaran di jalanan, laksana nomad yang berkelana tanpa hala tuju dan destinasi. Usikan itu membakar semangat untuk menerbitkan koleksi puisi sulung seperti penulis lain yang telah memiliki rumah dalam ranah sastera kebangsaan.

Dengan jasa mulia Adiguru Allahyarham KEMALA, lahirlah kumpulan puisi sulung Mekar Bunga pada tahun 2006. Malah, Adiguru Allahyarham yang memilih Mekar Bunga sebagai judul koleksi puisi sulungku. Kesudian Adiguru Allahyarham menulis kata pengantar untuk buku sulung Mekar Bunga dan melancarkannya di Laman Karyawan DBP telah mengubah kedudukanku dalam landskap sastera kebangsaan setelah sekuntum puisi daripada koleksi tersebut terpilih untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2006/2007.

Dalam mandala penulisan deskriptif, jasa mewah pujangga Allahyarham Kemala sukar dihitung kerana jasa-jasanya agak panjang. Sesudah menjadi ahli, AJK dan Setiausaha Agung NUMERA (Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya) yang diasaskan oleh Adiguru Allahyarham KEMALA, laluan untuk membentangkan kertas kerja pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa terbuka luas dan aku berpeluang menjadi pemakalah pada peringkat negeri, kebangsaan dan di beberapa buah negeri luar, termasuklah Bangladesh, Bandung, Jogjakarta, dan Jakarta atas jasa murni Adiguru. Sesudah nama bersinar sebagai pemakalah, maka tawaran dan undangan diterima daripada pelbagai pihak untuk program sastera anjuran mereka, baik di dalam negara mahupun di luar negara. Laluan yang dirintis atas inisiatif Adiguru Allahyarham memudahkan aku mencipta nama di persada antarabangsa.

Bidang penterjemahan juga memiliki senario yang sinonim. Meskipun sudah lama bergelar penterjemah, namun ruang dan peluang yang ditawarkan oleh Adiguru Allahyarham Kemala untuk menterjemahkan koleksi puisi penyair tersohor Bangladesh, Aminur Rahman berjudul Diari Abadi (2016) serta himpunan puisi penyair Bangladesh di bawah judul 6 Penyair Bangladesh (2016) sesudah mendapat lesen sebagai penterjemah bertauliah daripada Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), telah melonjakkan kegemilangan diri dalam persada penterjemahan antarabangsa apabila kaedah terjemahan penulis dalam koleksi puisi Diari Abadi dikaji oleh sarjana Indonesia, Siamir Marulafau dengan judul “A Study on Translation in Aminur Rahman’s Poetry Writings by Raja Rajeswari Seetha Raman” yang terpilih sebagai kajian Scopus terbaik untuk menerima anugerah antarabangsa daripada IASET (International Academy of Science, Engineering and Technology), Amerika Syarikat.

Pengiktirafan IASET telah melayakkan diri ini sebagai penterjemah berwibawa untuk menterjemahkan puisi penyair tersohor dunia untuk majalah digital Point Editions di Sepanyol dan blog Poetry Bridges di Poland pada tahun 2018. Sesudah warga dunia berkeyakinan dengan kaedah penterjemahanku, majalah digital Bharath Vision di India telah melantikku untuk menterjemahkan puisi terbaik warga dunia dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu untuk bacaan peminat puisi. Semua penghormatan dan pengiktirafan ini tidak mungkin menjadi milikku jika batu asas tidak diletakkan oleh Adiguru Allahyarham Kemala. Mutiara kata Adiguru Allahyarham Kemala agar aku kekal sebagai pencipta dan penterjemah puisi kerana ketelitian dan kebijaksanaan dalam memilih diksi puisi membakar semangat untuk memantapkan kualiti karya dari semasa ke semasa.

Pengiktirafan tertinggi sebagai Tokoh Srikandi NUMERA pada tahun 2018 atas sumbanganku mengantarabangsakan bahasa dan sastera kebangsaan di peringkat dunia telah menyemarakkan semangat untuk terus melebarkan sayapku. Azam dan iltizam, kata kunci yang sering meniti di bibir Adiguru Allahyarham Kemala dijadikan kata-kata azimat dalam mengharungi rintangan, baik dalam bidang penyelidikan mahupun dalam bidang penterjemahan.

Setelah ratusan puisi penyair tersohor dunia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk bacaan warga dunia, maka aku mula memperkukuh kedudukan dalam sastera antarabangsa sebagai penterjemah dengan mengirim nukilan puisi untuk penerbitan berwibawa di Amerika Syarikat, Mesir, Uzbekistan, India, Hong Kong, China, New Zealand, Portugal, Seychelles, Bangladesh, Romania, Sepanyol, dan Poland. Sehingga kini, puisiku telah menembusi sekitar 37 bahasa dunia yang melayakkan aku sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Ikon Sastera Antarabangsa (2018) daripada Persatuan Sastera Kontemporari Amlor, Uttar Pradesh, India.

Daripada seorang individu kerdil yang tiada apa-apa nama dalam persada sastera kebangsaan, aku kini diterima sebagai ahli World Nations Writers’ Union (WNWU) kerana jasa Adiguru Allahyarham Kemala. Pertemuan aku dengan Adiguru Allahyarham sesungguhnya ada hikmah tersembunyi yang terlerai sudah sesudah tiga dekad. Tanpa suntikan inspirasi daripadanya, mustahil aku boleh mengharungi samudera sastera yang bergulung-gulung gelombangnya.

Pelantikanku sebagai Penasihat Kanan Kesusasteraan Melayu dan Terjemahan bagi Malaysia dan ASEAN pada tarikh keramat 16 September 2021, Hari Malaysia, sememangnya ada hikmah yang tersendiri. Satu-satunya aspirasi Adiguru Allahyarham Kemala yang belum terealisasi adalah untuk melihat pengantarabangsaan sastera kebangsaan di seantero dunia. NUMERA diasaskan demi melebarkan sayap sastera kebangsaan ke seluruh pelosok dunia. Kini, tanggungjawab tersebut jatuh atas pundakku sebagai anak didik Adiguru Allahyarham yang bakal merealisasikan aspirasi mahaguruku, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Adiguru Allahyarham Kemala telah kembali kepada Pencipta Alam Semesta. Misteri pertemuanku dengan Adiguru Allahyarham tiga dekad yang lalu terlerai sudah. Tiada apa-apa yang berlaku secara kebetulan di dunia ini. Segala-galanya berlaku mengikut perancangan-Nya. Obor sastera yang dihidupkan olehnya akan setia bernyala. Semoga bakti dan budi sastera Adiguru Allahyarham Kemala kepada pertiwi tidak terhenti selepas ketiadaannya lagi. Sama-sama kita doakan.

_________________________

Raja Rajeswari Seetha Raman ialah bekas pensyarah, penyair, penterjemah, penyelidik puisi, dan AJK NUMERA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.