15 November 2021, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Siri perbincangan buku sastera terjemahan bahasa Cina yang dibawa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN) yang berlangsung dari Ogos hingga November 2021 menemui penghujungnya dengan program bicara Titian Sastera: Bicara Buku Sastera “Purnama Batu Jed: Sebuah Keluarga Muslim China” pada 13 November (Sabtu), pukul 3.00 petang, menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kali ini, pengelola dan pembicara jemputan membicarakan sebuah karya sastera karangan Huo Da, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul Purnama Batu Jed. Dua orang panel jemputan yang mewarnai pelantar pembicara ialah penterjemah bebas dan editor, Nur Amirah Zainal, serta penyampai berita RTM serta pengacara televisyen Selamat Pagi Malaysia, Syuhaida Ariffin.

Purnama Batu Jed ialah sebuah novel berbahasa Cina karya Huo Da dengan tajuk asalnya, Mùsīlín de zàngli (1988). Terjemahan langsung bagi judul asalnya berbunyi “Upacara Pengebumian Sang Muslim”.

Huo Da merupakan penulis wanita, dan menurut Amirah Zainal, khalayak ramai kebanyakannya tidak tahu bahawa Huo Da ialah seorang pengarang Muslim asli China. Berketurunan daripada kaum Hui, beliau berasal dari Beijing dan dilahirkan pada tahun 1945. Dalam ranah sastera, Huo Da disenaraikan sebagai salah seorang pengarang yang penting dalam ranah sastera moden China.

Buku Purnama Batu Jed ini juga telah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kesusasteraan Mao Dun pada tahun 1991, sebuah anugerah yang berprestij tinggi di negara China. Novel ini juga pernah diadaptasikan menjadi filem pada tahun 1993.

Latar novelnya mengisahkan sebuah keluarga Muslim sebagai teraju utama. Keluarga ini dipaparkan sebagai penjual dan pengukir batu jed.

Amirah menceritakan, “Turun dan naiknya kehidupan keluarga ini mempunyai perkaitan dengan batu-batu jed itu yang menjadi sumber kehidupan mereka.” Atas sebab itu juga, “batu jed” yang berperanan penting dalam novel ini dipilih sebagai judul bagi versi bahasa Melayu.

Dalam terbitan terjemahan Inggeris pula, buku ini dijudulkan sebagai The Jade King: History Of A Chinese Muslim Family. Ia diterbitkan pertama kalinya kepada khalayak pembaca antarabangsa pada tahun 1992, setahun setelah menerima Anugerah Sastera Mao Dun. Rekod sambutan buat pembaca antarabangsa adalah sangat tinggi, sehingga ia menjadi novel yang sangat laris di pasaran.

Amirah yang pernah membesar di China menyatakan, batu jed amat penting sebagai tanda kekayaan warga Cina, malah lebih bernilai daripada emas dan perak. Batu jed memainkan peranan penting dalam sejarah dan pembentukan corak kebudayaan bumi China sehingga hari ini.

Purnama Batu Jed menampilkan saga keluarga tiga generasi yang menjalani kehidupan sebagai penganut Islam yang merentas zaman-zaman genting, bermula dari era penjajahan Jepun pada Perang Dunia Kedua, era Revolusi Kebudayaan, sehingga zaman setelah revolusi berakhir. Dikhabarkan juga bahawa Huo Da menulis novel ini berdasarkan bibit-bibit pengalaman sebenar beliau.

Menurut Syuhaida Ariffin pula, “Tema besarnya yang lebih bersifat kekeluargaan, mewujudkan bibit keintiman dan membumi buat pembaca.” Tema yang menekankan emosi dapat dirasai oleh pembaca negara asalnya mahupun khalayak di luar, kerana bahasa hubungan kekeluargaan dan cinta sememangnya universal. Tambah Syuhaida lagi, novel ini juga mengetengahkan ruang untuk khalayak menghayati rupa persepsi masyarakat China ketika itu terhadap masyarakat Muslim tempatan.

Bagi Amirah Zainal, sebagai editor yang menyunting terjemahan karya Purnama Batu Jed, beliau mendapati kerja mencari diksi dan ayat untuk setiap barisan terjemahan bukanlah kerja yang mudah, ditambah pula dengan lenggok kepuitisan pengarang dan unsur Islam dan Arab yang memerlukan usaha penelitian yang lebih mendalam.

“Seperti babak turutan mengambil wuduk dalam novel ini, ia disunting supaya sesuai dengan konteks pembaca bahasa Melayu,” ujar Amirah. Di dalamnya juga pengarang menyisipkan beberapa istilah Arab, bait hadis Nabi serta ayat al-Quran yang memerlukan penglibatan dan kepakaran yang luar biasa daripada editorial.

Sempena siri bicara karya ini juga, DBP menganjurkan Pertandingan Resensi Buku, dengan hadiah pertama yang bernilai RM1000, hadiah kedua RM700, hadiah ketiga RM500, dan tiga hadiah sagu hati masing-masing bernilai RM300 bagi pemenang. Sila rujuk maklumat di sini.

Majlis perasmian yang diadakan pada 17 Ogos lalu dirasmikan oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran. Turut hadir ketika itu ialah Presiden HAN, Dato’ Goh Hin San, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan, dan Pengerusi Persatuan Penulis China, Tie Ning.

Tonton bicara karya ini di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.