Oleh Harlym Yeo
14 November 2021, 21:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Seni Mengindahkan Kehidupan” ialah topik perbualan program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 14.0 dengan karyawan multibakat Dr. Lim Swee Tin pada 13 Nov lalu, pada jam 9.00 malam melalui aplikasi Zoom dan dipancarkan ke Facebook PEMUISI Berkarya, Pusat Budaya UUM dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Program gandingan kerjasama antara Alumni Bengkel Puisi Merdeka, Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) serta sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya dilaksanakan secara konsisten setiap bulan sejak Oktober tahun lalu.

“Kesan daripada pandemik sejak tahun lalu telah mencetuskan fenomena seni dalam talian dan ia satu usaha yang lebih praktikal kerana peserta dari pelbagai negara dapat menyertainya tanpa perlu berada di satu lokasi secara fizikal,” ujar Pengarah Program dan Presiden Alumni Bengkel Puisi Merdeka, Harlym Yeo.

Harlym berkata, antara objektif acara ini adalah bertujuan untuk mengantarabangsakan puisi Melayu ke persada global.

“Melalui acara sebegini, dapatlah penggemar sastera membugarkan rasa cinta sekali gus menggalakkan penggunaan bahasa Malaysia pada peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Turut menyerikan acara ini ialah Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Dr. Lim Swee Tin, Ahmad Sarju, Awang Abdullah, dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail.

Selain penyertaan dari Malaysia, sebanyak lima buah negara yang turut memeriahkan acara deklamasi puisi kali ini. Program kali ini melibatkan penyertaan dari negara Brunei Darussalam, Indonesia, China, Belanda, dan Singapura. Antara peserta antarabangsa yang turut menyemarakkan program ini melalui persembahan puisi masing-masing termasuklah Sastri Bakry dari Indonesia yang mendeklamasikan “Desa Ponggok”, Sosonjan A. Khan dari Brunei dengan “Di Bawah Bendera Kemanusiaan”, Sita Aulliya dari Belanda dengan “Camar Yang Pulang”, dan pasangan suami isteri Sam Sumardi dan Ratnasam Sib II dari Singapura dengan “Cinta”. Manakala wakil mahasiswa Sichuan International Studies University, China, Pi Jiayi dan Li Kecheng bersama pensyarah mereka Hanna Aleesya.

Menurut Pengarah Pusat Budaya dan Seni, UUM, Asmawiza Haji Hussin, beliau mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama daripada pelbagai pihak, dari luar dan dalam negara dalam usaha menyemarakkan budaya dan seni agar UUM kekal relevan dengan peredaran semasa dan terus menyumbang bakti demi menyahut hala tuju Malaysia menjadi negara maju dan rakyat berbudaya, sekali gus mendukung Dasar Kebudayaan Negara 2021 (atau DAKEN 2021) dalam usaha mengukuhkan tamadun seni negara.

Menurut salah seorang peserta dari Malaysia, karyawan kelahiran negeri Kelantan Pui Tiong Gee@Awang Abdullah yang turut mendeklamasikan puisi “Tiga Bahasa” berganding dengan Siti Nutdyamila Ayob dan Nurul Syahzuaniey Ayuniey Mazelan, program ini sangat bagus, bermula dengan cogan kata sehingga pengisian, ada acuan yang tersendiri dengan jaringan global yang hebat.

Manakala SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan yang memberi sokongan dan mengambil bahagian secara konsisten pada setiap program menunjukkan kekagumannya tentang penganjuran program tersebut. “Kalau tiada pandemik tidak wujud peluang seperti ini. Bahkan mungkin tak difikirkan,” ulas Zurinah.

Zurinah mendeklamasikan puisi beliau yang berjudul “Hujan di Kuala Lumpur” sebagai pembuka tirai persembahan pada slot pertama.

Peserta dari Indonesia, Sastri Bakry berkata, “Persatuan PEMUISI tidak sahaja fokus berkarya tetapi juga memberi tumpuan kepada misi membina, memotivasi dan mendorong yang muda-muda untuk berkarya”.

Ujar beliau lagi, perpaduan senior dan junior, profesional dan pemula menjadi daya tariknya.

“Terus terang dulu saya hanya berfikir sekali bererti setelah itu mati. Alhamdulillah, ternyata dugaan saya salah. Tetap semangat, konsisten dan fokus sampai dunia kiamat,” sambung Sastri lagi.

Menyentuh tentang paduan tenaga profesional dan pemula serta tradisional dan moden, program Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 14.0 ini berjaya menampilkan gabungan tenaga pensyarah dan mahasiswa dari Sichuan International Studies University, China.

Penampilan Hanna Aleesya pada awal rancangan melalui lagu Tenang berirama moden dengan Beat Kosong – I Love You, dan persembahan tradisional dikir barat sebagai penutup tirai daripada kumpulan mahasiswa beliau, The Dikir SISU dengan penampilan Cikgu Hanna.

Selain itu, Pi Jiayi dan Li Kecheng, pelajar yang baru belajar bahasa Melayu selama setahun dua bulan dengan masing-masing mempersembahkan karya sendiri berjudul “Seekor Kambing, Seingatan Saya” dan “Sekeping Ingatan” menarik perhatian penonton dengan kelancaran dan penghayatan mereka mengarang dan mendeklamasikan puisi.

Menerusi program kali ini, Ahmad Sarju juga ditonjolkan atas pengiktifan beliau baru-baru ini sebagai penerima Anugerah Penyair GAPENA 2021. Slot pertama bual bicara ini menyelitkan pengalaman dan motivasi beliau yang sudah berkecimpung selama 60 tahun dalam bidang kesusasteraan tanah air. Beliau juga mengambil kesempatan ini membacakan pantun berjudul “Budi Dijunjung” dan “Pantun untuk Penulis Johor”.Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim yang juga turut mengalunkan sajak karya beliau berjudul “Sastera Bangsa” sewaktu diminta memberikan reaksi buat program yang sudah 14 kali diadakan pada setiap bulan menyatakan sokongan padunya pada setiap edisi program ini.

“Program ini cukup bermanfaat dengan pengisian yang sangat baik dan penglibatan pemuisi-pemuisi aktif dari dalam dan luar negara. Ditambah lagi dengan slot bual bicara yang menampilkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, sudah tentu memberi nilai tambah yang amat bermakna, khususnya memberi input yang besar dalam kalangan para pelajar universiti.”

Perkongsian ilmu dalam slot bual bicara kedua selama lebih lima puluh minit mengutarakan tajuk berkaitan “Seni Mengindahkan Kehidupan” bersama sasterawan dan budayawan Dr. Lim Swee Tin.

Dr. Lim menyeru pengkarya agar menghasilkan karya yang baik dan bermutu. Katanya, “Bukan melalui nilai-nilai yang melulu, bukan terus terang atau secara terang-terangan kerana karya yang baik dan indah ialah karya yang mendukung falsafah dan pemikiran yang tinggi. Ia boleh membawa bahasa kita ke aras yang lebih terpuji dan tersanjung.”

Bual bicara kali ini mencakupi pengertian tentang seni mengindahkan kehidupan, penciptaan seni sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia, penghayatan jiwa dalam memahami keindahan, dan pengekalan nilai estetika dalam sesebuah karya.

Nasihat Dr. Lim kepada penonton agar menghasilkan karya sastera yang dapat membijaksanakan setiap orang. Karya yang mampu membina dan membawa perubahan yang lebih baik dan positif kepada khalayak pembaca dalam kerangka menjana peralihan peradaban yang membina tamadun supaya menjadi lebih gemilang.

Tambah beliau, “Puisi memerlukan acuan seumpama ini. Puisi itu sendiri hakikatnya dirasai, selain difahami”.

Peserta lain yang turut mewarnai acuan progam kali ini termasuk nyanyian lagu puisi daripada Exco PEMUISI Yuzailan Yunus melalui karya tulisan Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Seloka Rakyat, Rusdi MN dengan karya sendiri berjudul “Musafir Yang Berfikir”, Ratu Rugu Rugu memberi pesanan kepada khalayak melalui karya Harlym Yeo berjudul “Warisan Merdeka”, Setiausaha KEMUDI Nurul Syahida Hassan dengan judul “Tunas Merdeka” karya Roslan Mohamed Noor, dan Hanis A.M mempersembahkan puisi sendiri berjudul “Bacalah”.

Manakala pengacara majlis Harlym Yeo dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail masing-masing mendeklamasikan puisi karya Dr. Lim Swee Tin berjudul “Perebutan” dan “Kota Baca”.

Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan 15.0 edisi bulan Disember dijangka akan bersiaran pada 12/12/2021, Ahad, 9.00 malam menerusi pelatar Zoom dan dipancarkan ke Facebook PEMUISI Berkarya, Pusat Budaya UUM dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tonton program penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.