10 November 2021, 07:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Puisi baharu itu bersifat (bentuk dan gayanya) bebaslah, manakala puisi lama, puisi tradisi pula bentuk serta sifatnya sama. Masyarakat dahulu, budaya dan tradisi mereka memiliki semangat komunal (kekitaan), maka bentuk-bentuk puisi lama atau puisi tradisional berada dalam satu jalur dan bentuk yang sama, kerana masyarakat Melayu terdahulu tidak keluar daripada kalangan kelompok masyarakat mereka. Berbeza pula daripada masyarakat moden hari ini yang memiliki sifat individualiti yang kuat,” jelas Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dalam Wacana PENA yang diadakan secara dalam talian pada 5 November (Jumaat) 2021 lalu.

Mohamad Saleeh Rahamad sebagai panel tetap wacana, disertai bersama dua panel jemputan, iaitu pertamanya seorang tokoh penyair yang prolifik, Roslan Madun, serta penggiat muzik, sastera dan syair dari Tanjungpinang, Indonesia, Muhammad Febriyadi. Wacana PENA ke-13 kendalian Mohd Khair Ngadiron minggu itu membincangkan tajuk “Puisi Tradisi: Kelam atau Gemilang?”.

Muhammad Febriyadi yang juga digelar sebagai “Penyair Muda” di Tanjungpinang menyatakan bahawa anak muda di Tanjungpinang merupakan antara pencetus semangat dan semarak yang melestarikan puisi-puisi lama dalam kalangan masyarakat tempatan beliau.

Menurutnya lagi, memang dirasai dan terlihat kemunculan gerakan serta gagasan yang kuat daripada inisiatif anak-anak muda di sana bagi mengukuhkan lagi kewujudan budaya puisi tradisi (atau puisi lama) dalam kalangan masyarakat Tanjungpinang.

“Anak muda di Tanjungpinang dengan tenaga dan semangat yang luar biasa mereka berjaya mengangkat budaya ini dengan inisiatif kolaborasi puisi tradisi dengan puisi moden, serta menumpukan tumpuan untuk menarik minat orang-orang muda ke dalam puisi, kerana setelah minat barulah kita boleh memupuk pula semangat kecintaan pada puisi-puisi lama. Setelah adanya perasaan cinta, barulah kegiatan melestarikan akan terlaksana,” jelas Febriyadi.

Sementara itu, Roslan Madun juga bersetuju dan menyambut mesra inisiatif anak muda yang besar peranannya dalam memulihara dan memperkembangkan budaya puisi tradisi negara.

Perkembangan dan perjalanan puisi dalam kalangan anak muda sangat menarik untuk diperhatikan kerana jiwa mereka yang gemar menjelajah dan meneroka menghasilkan sebuah reaksi atau pengucapan puisi-puisi tradisi mengikut pendekatan mereka.

“Ini zaman dan dunia mereka (generasi muda), maka kita harus raikan selera mereka, inisiatif mereka, malah menggalakkan mereka untuk merubah irama dalam puisi tradisi, demi menyuburkan jiwa mereka dalam puisi tradisi,” tambah Roslan.

Katanya lagi, “orang lama mungkin harus pantau” kerana asalkan perubahan itu tidaklah sehingga melenyapkan identiti puisi tradisi, inisiatif sebegini wajar diraikan.

Inisiatif seumpama ini dapat dilihat dengan usaha-usaha aktivis puisi dan sastera melalui media sosial, seperti berucap dan menyebarkan puisi-puisi tradisi buat pelayar-pelayar media sosial. Fenomena puisi tradisi yang diserap ke platform moden ini malah meluaskan lagi bentuk-bentuk, reaksi dan gaya penerimaan puisi tradisi dari segi irama, nada dan rona puisi.

Dalam hal ini, Saleeh Rahamad amat mengangkat usaha dan fenomena ini. Berdasarkan pemerhatian beliau, jika puisi-puisi tradisi itu hanya kekal dalam satu irama sahaja, dinamika puisi itu akan terencat. Hal ini kerana, generasi muda akan timbul rasa untuk membentuk ciptaan mereka sendiri melalui karya-karya puisi tradisi yang mereka cintai.

“Asalkan ia tidak merubah, merendahkan atau menghancurkan maknanya, ia tidaklah salah,” tambah Saleeh.

Roslan Madun juga menekan bahawa, untuk memastikan kejayaan mengangkat puisi tradisi, sokongan pihak-pihak lain adalah sangat utama dan penting. “Tanpa sokongan pihak luar, mustahil usaha kebudayaan ini akan menemui kejayaan,” ujarnya.

Tonton wacana penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.