Oleh Ilham Budiman
5 November 2021, 08:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Orang awam berpeluang membentangkan kertas kerja berkaitan folklor dibuka kepada individu umum, dari dalam dan luar negeri, sekiranya berminat menyertai barisan pembentang bagi Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia (International Webinar on Malaysian Folklore) yang dicadangkan berlangsung, 3–4 Disember 2021.

Webinar dianjurkan bersama-sama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM). Penaung ialah Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Kelantan, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Webinar folklor ini bertemakan: Laut, Sungai & Paya (The Sea, The River & The Swamps). Meskipun berfokuskan warisan folklor Melayu di negara ini, namun bagi pembentang kertas kerja terbuka boleh bebas membentang tentang folklor bangsa lain, etnik dan sebagainya, sama ada pada kaitannya dengan negara ini, Nusantara atau mana-mana negara di dunia. Namun, hendaklah berkait dengan fokus laut, sungai atau paya yang ditetapkan oleh Penganjur.

Sarjana, calon sarjana, pensyarah, penulis, budayawan, individu berpengalaman, siswa dan lain-lain dialu-alukan menyertai kategori kertas kerja terbuka ini. Pembentangan boleh secara individu atau kumpulan. Kertas kerja hendaklah ditulis dan dibentangkan dalam bahasa Melayu, manakala bahasa Inggeris hanya dibenarkan bagi penyertaan dari luar negara sahaja.

Naib Presiden PERADABAN, Aminuddin Mamat, berkata peluang ini bertujuan membuka ruang membantu individu berkeperluan khas pada segi akademik, tugas atau kerjaya, latihan, dan sebagainya, di samping kertas kerja terbuka ini boleh turut memberikan perkongsian ilmu dan pengetahuan luas bagi kepentingan masyarakat.

Penganjur tidak menyediakan sagu hati pada pembentang kategori kertas kerja terbuka ini, justeru bertujuan memberikan laluan bagi peluang dan keperluan di atas. Namun, pembentang tidak dikenakan yuran pendaftaran kepada Penganjur.

Individu berminat menyertai pembentangan kertas kerja terbuka ini boleh menghubungi Setiausaha Kertas Kerja Terbuka (Dr. Nasirin Abdillah) melalui telefon: 011-2920 2202 atau e-mel: [email protected]

Tarikh akhir serahan kertas kerja ialah pada 30 November 2021.

Webinar folkor ini akan disertai seramai 26 orang pembentang dari dalam dan luar negara pada kategori:
1. Kertas kerja Ucap Utama;
2. Kertas kerja Teras;
3. Kertas kerja dari Luar Negara; selain
4. Kertas kerja Terbuka.

Orang awam boleh mengikuti webinar ini secara percuma melalui sawang talian maya yang akan dimaklumkan kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.