4 November 2021, 21:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pontian – Puisi ialah terapi yang mampu memulihkan semangat seorang penulis, bahkan dapat merawat kebejatan suasana dan sengketa yang berlaku dalam masyarakat. Hal ini merupakan sebahagian daripada agenda utama dalam Forum Penyair Hari Puisi Nasional ke-21 yang berlangsung di Rumah Citra Seri Pinang, Benut, Pontian, Johor pada 30 Oktober lalu.

Soalan-soalan yang dikemukakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad selaku moderator kepada empat orang panel mendapat maklum balas yang tersendiri. Apakah fungsi puisi dalam usaha membina perdamaian manusia sejagat?

Panelis pertama, Haji Mohd Rosli Bakir berpendapat bahawa puisi bukanlah semata-mata medium atau alat untuk menzahirkan idea yang berkaitan dengan kehidupan. Malah lebih penting, puisi lazimnya mengundang manusia untuk kembali mensyukuri kehidupan yang dikurniakan oleh Allah. Apabila melihat persekitaran yang sarat dengan sengketa, maka puisi mengambil peranan menterjemahkan perasaan seseorang.

Kata Haji Rosli juga, “Selagi tidak bersyukur selagi itulah keangkuhan membusut dalam diri.” Justeru, puisi ialah wadah meluah rasa dan fikiran berkaitan konsep kedamaian.

Menjawab persoalan Saleeh Rahamad tentang impak puisi dalam keadaan yang huru-hara tika ini, sama ada di dunia atau Malaysia sekalipun dari sudut pandang politik dan hubungan antara kaum, maka kata Haji Rosli, “ia kembali kepada bagaimana hasil karya itu diperkatakan secara berterusan. Jika berdiam diri, selagi itulah ia tidak akan diperkatakan.” Sindiran halus ini secara tidak langsung mencabar para penyair untuk benar-benar berjuang bersama puisi-puisi yang dihasilkan.

Manakala Syafiq Zulakifli pula menjelaskan kewujudan puisi-puisi kedaiaman sejak zaman Jahiliyah dalam kebudayaan bangsa Arab ketika soalan tentangnya diajukan. Puisi begitu bertujuan untuk mententeramkan masyarakat pada zaman tersebut kerana bangsa Arab Jahiliyah begitu dikenali sebagai masyarakat yang pemarah, pembengis dan buruk akhlak. Ketika ditanya tentang pandangannya terhadap puisi-puisi muallaqat, Syafiq tidak menjawab persoalan tersebut sebaliknya membawa sidang hadirin melihat kepada daya cetusan ilham penyair-penyair yang lahir dari latar pendidikan luar negara, tentang pesona kepenyairan mereka yang mampu mencetuskan puisi-puisi berunsur kedamaian.

Menyorot kembali pada istilah ‘Muallaqat’, ia bermaksud puisi-puisi terpilih yang digantungkan di dinding Kaabah semasa zaman jahiliyah. Masyarakat jahiliyah pada ketika itu sangat suka menggubah syair hingga pada kemuncak keaktifan mereka, terlahirlah semboyan asy-Syi’ru diwanul Arab yang bermaksud “puisi ialah rumah bagi bangsa Arab”. Hal ini kerana mereka beranggapan, puisi-puisi yang tercetus daripada pemikiran penyair ialah puncak peradaban dan warisan kebudayaan Jahiliyah. Justeru, untuk menguji keabsahan dan keindahan karya yang dihasilkan oleh golongan penyair yang diyakini mempunyai pangkat dan kedudukan terhormat, maka diadakan proses dendang syair di tempat terbuka, sambil disaksikan oleh khalayak umum disamping para juri terpilih. Pada akhirnya, penetapan tujuh penyair yang dipilih, maka ternobatlah Umru Al-Qais sebagai penyair utama dalam kebudayaan dan kesenian Arab Jahiliyah. Itulah hanya sekali berlakunya peristiwa besar sebagai tanda menghargai kepenyairan bangsa Arab yang begitu disanjung. Tidak dapat dinafikan juga, pengaruh dan cetusan dunia kepenyairan di dunia tika ini bermula di sini.

Panel ketiga pula ialah Saudara Zainal Abidin Suhaili (Abizai), penerima SEA Write Award dan Sasterawan Negeri Sarawak, menjawab soalan moderator tentang cara menghasilkan puisi-puisi kedamaian. “Penyair bukan sekadar merakam tetapi perlu membawa fikiran, falsafah dan harus menghayati serta masuk ke dalam sesuatu isu. Justeru, ia lahir daripada hati yang bersih dan mulus, dari dalam diri penyair itu sendiri,” ujarnya.

“Kedamaian adalah punca segala ketenangan di dunia. Jika hati kotor, maka tidak wujud segala macam bantuan daripada orang. Bagi umat Islam pula, punca perdamaian dan kedamaian adalah daripada pentadbiran negara kerana kedamaian seharusnya bermula daripada perkara yang tidak dicemari,” jelas Abizai.

“Setiap kali menulis puisi, saya selalu memikirkan politik itu adalah kotor. Maka puisilah yang mengelokkannya. Namun demikian, selalu terjadi penyair sering terperangkap dalam satu istilah kata: ‘orang yang ditempatkan dalam satu tempat yang dihuni oleh orang yang berniat jahat’, kerana selalu terperangkap dengan sangka buruk, prejudis dan akhirnya mencipta kata-kata yang indah, penuh perlambangan, metafora dan berkias. Hal ini kerana penyair inginkan kedamaian, keharmonian dan dapat merentas apa jua sempadan,” ujar Datuk Jasni Matlani, penerima SEA Write Award,  ketika diajukan soalan tentang bagaimana beliau menghasilkan karya.

Pada akhirnya, Jasni menyatakan kerjaya yang paling selamat di dunia ialah kerjaya sebagai seorang penyair, kerana tanda protes dapat dizahirkan melalui bahasa yang indah, terselindung sama ada secara monolog, naratif dan sebagainya, dengan menyentuh latar budaya dan unsur-unsur perdamaian.

Saleeh Rahamad menyimpulkan pada akhir sesi forum dengan begitu santai sambil bercanda bahawa penyair ialah pemimpi-pemimpi yang hidup dalam mimpi-mimpi aneh sahaja, kerana apa-apa yang dimimpikan tidak mudah menjadi kenyataan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.