Oleh A. Aziz Deraman
31 Oktober 2021, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

A. Aziz Deraman menyampaikan belasungkawa dengan mengingat kembali pengalaman persahabatannya bersama-sama Sasterawan Negara ke-11, Allahyarham Dato’ Kemala.

Kemala menjadi salah seorang sasterawan yang saya minati terutama karya-karya puisinya …

Sasterawan Negara (SN), Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah (30 Januari 1941 – 27 Oktober 2021) atau nama penanya KEMALA ialah suatu nama besar yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan di tanah airnya Malaysia dan dalam kalangan negara-negara serantau Nusantara. Keberkesanan kepemimpinannya yang mengangkat nama Nusantara Melayu Raya atau NUMERA (istilah ciptaan beliau) cukup disegani. Allahyarham berjaya menggerakkan kesedaran dan penglibatan rakan-rakan sasterawan dan penulis serumpun melalui suatu wadah kebersamaan untuk bekerjasama mengangkatkan sastera Melayu-Indonesia dengan pelbagai usaha penggalakan dan pengembangan yang meyakinkan.

Saya mengenali beliau sejak 1970-an lagi, apabila memasuki perkhidmatan kerajaan (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) dan bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), lebih-lebih lagi sewaktu memegang jawatan Ketua Pengarah Kebudayaan (1981-1987) dan Setiausaha Bahagian Kebudayaan (SUB), Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan (KKP) Malaysia (1987-1989). KKBS ikut memainkan peranan berganding bahu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bidang pengembangan sastera. KKBS yang akrab dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan pertubuhan seni budaya yang lain banyak mengatur program dengan institusi dan organisasi tadi.

Keakraban saya dengan Allahyarham Kemala menjadi bertambah kukuh apabila saya dilantik kerajaan menerajui DBP pada bulan 1 Ogos 1994, bertukar dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) setelah kekosongan Ketua Pengarah DBP berlalu beberapa bulan sejak akhir 1993. Agaknya pengalaman selama 16 tahun di KKBS dalam dua kali pusingan tugas menyebabkan kerajaan memberikan peluang kepada saya menakhodai bahtera sebuah institusi yang diumpamakan nyalanya “dari api suatu zaman”, terus menyala biarpun dalam tiupan deruan angin cabaran dan pancaroba zaman.

SN Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah

Kemala menjadi salah seorang sasterawan yang saya minati terutama karya-karya puisinya, sama jua dengan saya meminati sasterawan penyair seperti Usman Awang, A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan beberapa orang yang lain, termasuklah sasterawan dan penulis yang seangkatan dengan saya sendiri. Saya dan Kemala sering bertemu dalam acara-acara Hari Sastera, Hari Puisi Nasional, seminar-seminar sastera dan pelbagai bentuk wacana dan bengkel. Di peringkat rantau, para sasterawan dan penulis selalu menyertai Pertemuan Sasterawan Nusantara, Dialog Borneo-Kalimantan, Dialog Pantai dan beberapa lagi. Ada hubungan yang amat rapat antara para sasterawan dengan penulis dari Indonesia, Brunei, Singapura dan kehadiran beberapa orang dari Thailand, Kemboja dan Filipina. Kadang-kadang sarjana dari Barat dan Asia Timur ikut hadir membentangkan kertas kerja di bidang bahasa dan sastera. Kemala kerap diundang membentangkan makalah dalam pertemuan-pertemuan demikian. Kemala berperwatakan lemah lembut dan sopan tatkala berbicara.

Saya teringat pada bulan Januari 1967, sebuah sajak Kemala yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa berjudul “Lagu Kemerdekaan”. Saya menatapnya semasa berada di tingkatan enam atas di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur. Saya memang meminati sajak-sajak Kemala, meskipun tidak semuanya dapat saya baca. Pada masa itu kami belum bertemu mata. Saya sendiri sangat meminati karya sastera atau puisi bertemakan perjuangan (politik, bahasa, sastera), kenegaraan, patriotisme, keagamaan, kemanusiaan, kasih sayang dan kekeluargaan. Antara luahan rasa beliau dalam “Lagu Kemerdekaan”  itu berbunyi:


akulah kemerdekaan —-
akulah kemerdekaan —-
akulah yang bernama kemerdekaan
aku ada di hati petani
aku ada di mata redup nelayan
aku ada di jiwa hidup kuli pabrik
jiwa hidup tanpa belenggu
pakai baju rohaniahmu —-
sarung seluar jasmaniah —-
kikis debu-hitam lata
lahir kembali —-
lahir kembali —-
bersama harga diri

Sajak ini kebetulan baru saya temui dalam antologi puisi Tanah Airku (DBP, 2005:183). Sajak-sajak Kemala ada yang panjang sehingga memakan dua atau tiga halaman, teringat akan tabiat saya sendiri yang sama demikian sifatnya, menulis sajak panjang. Kami berkenalan hanya selepas 1970-an apabila saya memegang jawatan di KKBS dan banyak terlibat dalam program dan kegiatan sastera. KKBS cukup rapat hubungan dengan DBP. Selain itu KKBS kerap menggunakan kemudahan seperti Balai Budaya, Dewan Seminar dan melibatkan tokoh-tokoh DBP dalam program KKBS, khususnya di bidang pembinaan dan pengembangan sastera.

Acara sastera dan sidang Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) Mac 2005 di Mataram Lombok telah saya hadiri selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan pada tahun 2004. Saya dianugerahi Tokoh Pencetus MASTERA oleh Indonesia. Beberapa pegawai DBP dan Kemala ikut bersama-sama. Semasa perjalanan pulang, saya dan Kemala sehari dua bermalam di Surabaya. Bilik hotel kami bersebelahan dan keluar bersama-sama untuk makan atau jalan-jalan. Beberapa minggu, telah ada berlaku peristiwa demonstrasi jalanan rakyat Indonesia khususnya generasi muda, di mana-mana kota termasuklah di Surabaya. Kami berkesempatan menyaksikannya.

Demonstrasi atau tunjuk rasa diadakan atas dua sebab. Pertama kerana isu membantu rumah Indonesia di Malaysia, kedua kerana isu kesenian terutama seni persembahan. Dalam minggu berkenaan terjadinya demonstrasi rakyat Indonesia sebagai tanda protes terhadap Malaysia. Isu utamanya tentang masalah pekerja Indonesia dan media Indonesia tanpa henti-henti mengkritik dan mengutuk Malaysia, dari isu pembantu rumah sehingga kepada kononnya sudah ada “perebutan” pulau-pulau di Selat Sulawesi, dari Ligitan dan Sipadan kepada Ambalat. Ada teguran khususnya dari dalam kalangan para ulama Indonesia, tetapi tidak dihiraukan. Kebijakan dan kebijaksanaan teladan para pemimpin terdahulu merungkaikan isu-isu hubungan dua hala negara bersaudara ini semacam tidak menjadi panduan bersama. (Lihat A. Aziz Deraman, Kerelatifan Budaya, 2018:103).

Manakala seni persembahan Malaysia didakwa mencedok beberapa jenis kesenian dari Indonesia. Malaysia dikatakan “maleng”, pencuri seni sehingga Malaysia disebut “Malengsia”. Sebenarnya anak-anak muda Indonesia ini tidak menyedari sejarah bahawa kesenian seperti Barong, Hamdolok, Kuda Kepang, Wayang Kulit dan Gamelan Jawa yang terdapat di Malaysia kerana penghijrahan orang-orang dari Jawa ke Johor, menetap dan menjadi rakyat Malaysia. Orang Acheh ke Kedah, orang Bugis ke Selangor dan Johor. Bentuk-bentuk kesenian Minang pula kedapatan di Negeri Sembilan kerana perpindahan orang dari Minangkabau. Juga heboh tuduhan tentang tarian “Pendit”, dikatakan dicedok dari tradisi Bali, walhal tarian ini tidak pernah wujud di Malaysia. Berita pergeseran ini mendapat tempat di media antarabangsa. Ada hubungan masam manis buat seketika. Syukur tidak beberapa lama kemudian, suasana menjadi reda dan kembali pulih.

Pada sebelah pagi keesokannya, jika tidak silap, saya ada sebut kepada Kemala saya dapat satu ilham. Ilham tiba sewaktu berbaring-baring di hotel Surabaya pada 10 Mac 2005. Muncul cetusan idea tentang “Jiwa Bersaudara”. Dalam “Jiwa Bersaudara” itu antara lain saya mencatatkan:

Apakah erti semuanya ini
tatkala muncul ujian sejari
kita bertikai membakar jati diri
hilang hormat pada gelora tenang
karam jasa budi di segara syaitan

bukankah kita jiwa bersaudara
kenapa tidak bertemu se meja?

Kemala di Syarahan Perdana A. Kadir Adabi ke-4

Pada 21 November 2019, Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) sebuah pertubuhan yang didaftarkan pada bulan Mei 2011 (lahir daripada cetusan idea saya pada tahun 2010) bersama-sama DBP Wilayah Timur menganjurkan Syarahan Perdana A Kadir Adabi ke-4. Kemala ialah tokoh tamu yang kami undang. Beliau menyuarakan perasaannya pada pembukaan Syarahan Perdana itu dengan kata-kata “Negeri Kelantan selalu di hati saya”. Syarahan ini merupakan program tetap tahunan PERADABAN sejak 2016 melalui kerjasama pelbagai pihak.

Bagi Kemala juga “Sejarah yang menarik bagi Kelantan kerana julung-julung kali Hari Sastera diadakan adalah di Kota Bharu”. Pada tahun 1972 itu, beliau ialah Setiausaha Satu GAPENA. Syarahan beliau bertajuk “Di Bawah Payung Langit Peradaban Ada Seribu Jajaran Pohon Cemara”. Tegas beliau “Kelantan adalah Negeri Penyair, Lubuk Puisi Malaysia”; sambil berpesan agar para penulis muda Kelantan mendinamikkan peluang dan peranan ini dengan sebaik-baiknya bagi kepentingan masyarakat, bangsa, agama, negara dan peradaban Melayu. (Lihat sama Citra PERADABAN, Bil. 8 Tahun 6, Mei-Disember 2019/1439H). Semasa berada tiga hari di Kelantan, kami membawa beliau melawat ke Makam Tok Kenali, seorang ulama Kelantan yang tersohor di rantau Melayu, menikmati nasi berlauk di Kubang Kerian, solat di Masjid Muhammady dan makan nasi “ikan bekok” lauk pauk cara makan kampung di Tumpat.

Kemala melawat Makam Tok Kenali.

Saya sangat terhutang budi kepada Kemala atas kesediaan Allahyarham menulis “pengantar” untuk kumpulan puisi persendirian saya yang pertama berjudul Kau dan Aku, terbitan DBP tahun 1994. DBP telah menghubungi saya sejak 1990 semasa saya berkhidmat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) (1989-1991) untuk mengumpulkan dan menyemak dokumentasi sajak-sajak saya yang tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP untuk diterbitkan. Saya masih ingat pegawai DBP yang menulis surat dan menghubungi saya Puan Izah Aziz dan Puan Rogayah Hamid. Tugas berikut diuruskan Mohd Yussop Ishak. Masa ini saya menjadi Setiausaha Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (1993-1994). Pada masa yang sama, pada pertengahan tahun 1994 itu sudah ada desas desus bahawa Kerajaan akan melantik saya sebagai Ketua Pengarah DBP. Mungkin pengalaman saya di KKBS selama 16 tahun dan kecenderungan saya di bidang penulisan menyebabkan saya dicalonkan, meskipun masih junior. Rupa-rupanya telahan itu benar dan berita-berita di akhbar tersiar begitu kerap. Kumpulan puisi saya tepat diterbitkan seminggu dua sebelum saya melaporkan diri.

Kemala dalam pengantar kumpulan puisi tersebut menggunakan judul “Kau dan Aku: Suara Religius Penyair Melayu”. Beliau memperkenalkan saya sebagai “budayawan dan banyak menumpukan perhatian kepada masalah budaya dan pengurusan budaya. Dia banyak memikir dan melibatkan dirinya sebagai strategis budaya, pemikir yang tidak jenuh-jenuh meletakkan dasar kepada pembentukan budaya Malaysia di mana budaya peribumi sebagai asas yang nyata”, “Lebih-lebih lagi Aziz Deraman memang sedia diakui sebagai penyair yang mempunyai jalur penulisan yang khusus dengan sajak-sajaknya yang bernafas kemelayuan dan keislaman …”, “Kau dan Aku jelas memperlihatkan hubungan yang erat dan pekat antara al-Khalik dan hambanya”, dan “Kau dan Aku adalah mempertembungkan kehidupan yang duniawi, persoalan masyarakat dan hablulwatan, cinta tanah air dengan hablunminannas dengan hablunminallah”. (Kau dan Aku, 1994:ix –xviii).

Setelah memasuki DBP dan menerajuinya ketika berusia 46 tahun, saya sedar masih banyak yang perlu pelajari. Masih banyak kekurangan. Allahyarham SN Dato’ Kemala pada masa saya ke DBP itu masih berkhidmat dan bertugas. Allahyarham seorang yang gigih, cemerlang dan membantu saya dengan sepenuh hati. Hubungan “adik-abang” kerana faktor usia (beliau lebih tua tujuh tahun) begitu saya rasakan, meskipun tidak pernah saya panggil “abang” kepadanya. Allahyarham tidak menolak permintaan saya untuk merujuk beberapa perkara sastera, memberikan pandangan tentang sesuatu isu dan isi penulisan makalah. Semoga segala jasa bakti, budi baik dan kebaikan Allahyarham diterima Allah SWT dan dikurniai ganjaran pahala yang besar. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman serta berada bersama-sama para syuhada dan para solihin. Aamin Ya Rabbal Aalamiin. Al-Fatihah.

_________________________

A. Aziz Deraman atau Dato’ Haji Abdul Aziz Deraman ialah Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (19942004) dan sekarang Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) sejak tahun 2011.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.