25 Oktober 2021, 19:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Norshah Aizat Shuaib dan Mazmin Mat Akhir menampilkan sudut khas Sasterawan Negara di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menjambatani sains dengan kemanusiaan.

Ketidakseimbangan antara sains dengan kemanusiaan merupakan suatu penghalang besar ke arah pemupukan nilai insaniah dalam diri seseorang pelajar.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan membentuk manusia yang seimbang dan harmonis dari semua aspek kemanusiaan. Aspek kemanusiaan tersebut adalah dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, serta berpandukan kepercayaan kepada Tuhan dan bersahsiah terpuji. Keseimbangan kesemua aspek ini mustahak bagi pembangunan sahsiah pelajar yang menyeluruh. Pembangunan holistik ini merupakan suatu teras dalam reka bentuk kurikulum dari peringkat sekolah hinggalah ke universiti.

Seorang sarjana British, C.P. Snow dalam The Two Cultures menegaskan pemisahan antara sains dengan kemanusiaan merupakan antara penyebab masalah-masalah global sukar diselesaikan. Ketidakseimbangan antara sains dengan kemanusiaan merupakan suatu penghalang besar ke arah pemupukan nilai insaniah dalam diri seseorang pelajar. Pendidikan tidak seharusnya terlalu tertumpu ke arah suatu bidang semata-mata. Pengkhususan yang terlalu mendalam menyebabkan pelajar tidak cuba untuk menerokai bahagian-bahagian ilmu di luar bidang. Contohnya, pelajar bidang kejuruteraan tidak mengambil endah tentang ilmu kemanusiaan, seperti cara berkomunikasi dan pemahaman tentang emosi. Pelajar ini akan mampu menterjemah teori kompleks kepada sesuatu aplikasi teknologi yang canggih untuk kebaikan manusia, namun dia tidak mampu untuk menjadi seorang manusia yang seimbang, seperti yang diharapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Langkah memperkenalkan Sasterawan Negara di universiti awam merupakan satu inisiatif awal bagi menyuburkan cinta kepada sastera tempatan dalam kalangan mahasiswa universiti. Karya serta pemikiran para Sasterawan Negara dapat diperkenalkan melalui pelbagai pelantar dan pendekatan. Saat negara bergerak pantas dengan Revolusi Perindustrian 4.0 dan perkembangan teknologi, pemerkasaan karya sastera dalam membentuk keperibadian pelajar merupakan suatu keperluan. Karya sastera mampu berfungsi dengan baik sebagai wadah yang melahirkan generasi mahasiswa yang unggul.

Usaha ini dapat meningkatkan penghayatan warga pendidikan tinggi terhadap karya sastera tanah air dan nilai murni yang terkandung di dalamnya. Melalui cara ini, karya-karya nukilan Sasterawan Negara akan dibaca, dihayati dan seterusnya dibincangkan dalam wacana ilmu peringkat universiti.

Dalam usaha memahami makna tersirat puisi-puisi Zurinah Hassan membolehkan pelajar melatih pemikiran untuk menjadi lebih kritis.

Sebagai sebuah universti berasaskan bidang kejuruteraan, pendedahan tentang karya kesusasteraan kepada golongan pelajar adalah terhad di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Pengenalan terhadap karya-karya ini akan mampu memupuk kemahiran insaniah dalam diri pelajar, selari dengan misi dan visi UniMAP untuk melahirkan graduan holistik yang mampu menyumbang kepada daya saing industri negara.

Dalam usaha mendekatkan khalayak pelajar dengan golongan sasterawan, pihak pengurusan UniMAP telah melantik Sasterawan Negara yang ke-13, iaitu Dato’ Dr. Zurinah Hassan sebagai profesor adjung, berkuat kuasa pada Sidang Akademik 2019/2020. Sebagai profesor adjung, beliau berpeluang menyumbangkan kepakaran kepada universiti melalui syarahan umum, pengajaran dan sebagainya. Pelantikan ini diharapkan mampu untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang pedoman hidup yang dikongsikan oleh golongan sasterawan melalui karya-karya seni.

Salah satu inisiatif UniMAP dalam mendekatkan kepengarangan Zurinah Hassan dengan pelajar adalah dengan mewujudkan sudut khas mempamerkan karya-karya nukilannya. Perasmian sudut yang diberi nama Pameran Sasterawan D Universiti ini telah disempurnakan oleh Canselor UniMAP, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 29 Oktober 2019. Sudut ini terletak di ruang Koleksi Khas berhadapan dengan auditorium di Aras 2 Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Kampus Alam Pauh Putra. Sudut ini juga dilengkapi dengan ruang membaca kondusif atau Nook Space. Sudut ini bakal menjadi tempat berlangsungnya aktiviti-aktiviti berunsurkan kreatif dan intelektual, contohnya jelajah sasterawan, bedah buku, sesi deklamasi sajak, dan pertandingan berteraskan kreativiti dan kesusasteraan.

Konsep reka bentuk dan hiasan dalaman telah diusahakan oleh warga kerja PTSFP. Sudut ini menempatkan perabot santai, iaitu sofa dan mempunyai reka bentuk ruang dalaman sebuah rumah. Elemen tradisional diwujudkan melalui perabot-perabot lama, seperti almari kayu dan gerobok makanan yang menggambarkan suasana rumah orang Melayu. Sebuah rak buku diletakkan di tengah sudut, menempatkan karya Zurinah Hassan yang dicetak semula dalam format majalah. Sudut ini akan terus diperkaya dengan hasil penulisan Zurinah Hassan agar menjadi pusat rujukan karya Sasterawan Negara ini.

Puisi-puisi Zurinah Hassan juga telah diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan oleh barisan pelukis Persatuan Pelukis Perlis. Antara pelukis tersohor Perlis yang terlibat termasuk Yaakob bin Abdul Aziz dan Mansor bin Mahmud (sekadar menyebut beberapa nama). Pendekatan ini diambil oleh PTSFP bagi membantu pelajar bidang kejuruteraan menghayati karya Sasterawan Negara melalui persembahan grafik dan lukisan. Kedua-dua bentuk karya ini (puisi dan lukisan) mempunyai persamaan dalam mencabar minda pelajar untuk menghayati, menterjemah dan menghubungkan dengan pengalaman serta pengetahuan mereka.

Pada 12 April 2020, Sudut Sasterawan Negara ini dikembangkan kepada Sudut Zurinah Hassan dengan reka bentuk ruang yang lebih kontemporari. Hal ini bagi meningkatkan daya tarikan sudut ini kepada golongan milenia. Ternyata, ruang ini telah dijadikan topik atau plot penceritaan dalam video kreatif yang dihasilkan sebagai tugasan ilmiah pelajar.

Para pelajar boleh merehatkan minda dengan menghayati karya-karya yang dipamerkan. Hal ini mampu mencetuskan minat dalam diri pelajar untuk mendampingi karya sastera Melayu. Menurut pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik, Nor Aisyah Mohd Nor, pameran ini memberikan inspirasi buat penulis baharu sepertinya yang menjadikan Zurinah Hassan sebagai idola dalam penulisan puisi. Nor Aisyah yang juga merupakan presiden Kelab Seni Penulisan Kreatif UniMAP (KESPEK) juga berpendapat pewujudan ruang sebegini di sebuah universiti teknikal seperti UniMAP memberi perlambangan bahawa sastera dan kejuruteraan boleh berhubung kait.

Karya sastera mengandungi makna-makna tersurat dan tersirat. Daya fikir aras tinggi pelajar diperlukan bagi memahami lapisan makna tersirat atau tersembunyi yang disematkan oleh pengarang. Hal ini memerlukan pelajar untuk berfikir sejenak, membaca semula serta membuat sedikit analisa terhadap teks bagi benar-benar merungkai makna yang berselindung dalam puisi Zurinah Hassan.

Salah satu puisi Zurinah Hassan yang memberikan makna yang mendalam ialah puisi berjudul “Pasir”. Puisi ini telah dimuatkan dalam kumpulan puisi Cerita Dalam Cerita, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia:

aku tidak pernah mempedulikan                                                     |
jutaan pasir di pantai itu
sehingga sebutir yang amat kecil masuk ke sepatu
untuk memberitahu
dia lebih besar dariku

Rangkap puisi ini jika dibaca secara tersurat, pelajar hanya memahami perihal sebutir pasir kecil yang masuk ke dalam sepatu seseorang. Melihat dari sudut lain, pengarang menggunakan analogi pasir untuk mewakili perkara remeh yang tidak pernah dipedulikan selama ini akan bertukar menjadi sesuatu yang besar apabila berada pada tempat-tempat tertentu. Analogi ini kelihatan ringkas dan bersahaja namun sarat dengan seribu pesanan juga nasihat.

Puisi lain yang dipamerkan untuk tatapan pengunjung PTSFP berjudul “Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra”. Memetik salah satu perenggan puisi ini:

Di taman ilmu ini
Carilah warna peribadi
dengan yakin diri
Akan merendang pohon bakti
berbuah akal budi

Puisi ini menjelaskan fungsi PTSFP sebagai gedung ilmu yang harus dimanfaatkan oleh pelajar UniMAP. Zurinah Hassan memberi pesanan tentang keperluan untuk menjejaki nilai keperibadian seseorang. Dengan keperibadian tersebut, bakti seseorang akan mampu ditabur berasaskan kebudian dan sifat rendah diri. Puisi yang dilihat begitu bersahaja ini secara tidak sedar telah memberi pesanan buat para mahasiswa melalui diksi yang tersusun rapi.

Dalam usaha memahami makna tersirat puisi-puisi Zurinah Hassan membolehkan pelajar melatih pemikiran untuk menjadi lebih kritis. Pelajar akan menyedari bahawa sesuatu hal boleh dirungkai dalam keadaan berbeza apabila ditafsir mengikut sudut pandang yang tertentu. Hal ini boleh memupuk sikap kritis dalam diri pelajar. Nilai intelek dalam puisi-puisi ini mampu membawa pelajar untuk menelusuri pelbagai aspek kehidupan, contohnya perihal kemasyarakatan, kekeluargaan, emosi peribadi dan isu-isu global.

Lukisan-lukisan yang menghiasi sudut dinding memberikan peluang buat para pelajar menghayati makna puisi dalam bentuk visual. Inisiatif ini membolehkan pelajar membandingkan visual yang dihasilkan oleh pelukis dengan visual yang dibayangkan sendiri. Melalui cara ini, pelajar boleh memahami bahawa karya seni merupakan sesuatu yang sangat subjektif dan bergantung pada tafsiran serta penilaian setiap individu.

Pewujudan sudut khas Sasterawan D Universiti dilihat mampu dijadikan sebagai wadah pendedahan karya sastera kepada golongan mahasiswa. Inisiatif kecil pihak UniMAP ini diharapkan mampu menjadikan kesusasteraan sebagai alat pendidikan yang berkesan dalam melahirkan graduan bidang teknikal yang mampu meraikan kepelbagaian dan perbezaan dalam setiap sisi kehidupan.

Usaha-usaha seumpama ini harus terus dipergiat di institut pengajian tinggi seluruh negara. Perbincangan ilmiah seputar pemikiran pengarang mapan seperti golongan Sasterawan Negara dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau lebih dikenali sebagai SEA Write Awards mampu mendekatkan karya sastera dengan diri mahasiswa. Ikon-ikon dunia sastera tanah air perlu terus diangkat dan dijadikan idola. Dengan cara ini, fungsi karya sastera dalam memupuk insan seimbang yang mampu berfikiran kritis, mempunyai nilai empati yang tinggi, berpengetahuan dan bersemangat cintakan negara akan mampu direalisasikan. Pendekatan turut diharapkan berupaya menjana mahasiswa yang berilmu tinggi, memahami falsafah dan nilai murni yang tersirat dalam khazanah sastera negara.

_________________________

Norshah Aizat Shuaib (Dr.) atau nama penanya, Shahkang merupakan seorang pensyarah kanan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Beliau merupakan Ketua Satu untuk Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) Perlis. Banyak menerbitkan karya kreatif terutamanya dalam genre cerpen di akhbar dan majalah. Antara buku perseorangan yang pernah dihasilkannya ialah kumpulan cerpen Soya Ais Peneram Madu (ITBM, 2012), catatan kembara I’m a Backpacker: United Kingdom (PTS, 2017) dan catatan satira Kucing-Kucing Hota Hai (Kata-Pilar, 2017). Antara hadiah yang pernah dimenanginya termasuklah Hadiah Sastera Selangor 2018, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2012 dan 2017, serta Hadiah Sastera Berunsur Islam. Beliau pernah menjadi peserta Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2018 untuk kategori cerpen.

Mazmin Mat Akhir merupakan Ketua Pustakawan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sejak tahun 2015. Beliau merupakan graduan bidang Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pengurusan Perpustakaan dan Maklumat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau pernah bertugas di UPM dan Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum bertugas di UniMAP. Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Akademik, Persatuan Pustakawan Malaysia dan ahli Cambridge Asian Library Advisory Board (CALAB). Beliau telah bekerjasama dengan ahli akademik dan pentadbir universiti untuk menghasilkan beberapa buah buku dan makalah, termasuk Pengurusan dan Penawaran Sumber Maklumat Elektronik (Penerbit UniMAP, 2010), Perjuangan Belum Selesai Tun Dr Mahathir dalam Arena Pengajian Tinggi Negara (Penerbit UniMAP, 2010), Keusahawanan: Koleksi Petikan Ucapan dan Ungkapan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin (Penerbit UniMAP, 2012), dan Kegemilangan dalam Kesederhanaan: Dato’ Sri Mustapa Mohamed (Penerbit UniMAP, 2014).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.