24 Oktober 2021, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wajah kepengarangan Za’ba yang dirakam oleh sejarah memaparkan gagasan ilmu sebagai tonggak perjuangannya. Selain sebagai tokoh bahasa yang tidak dinafikan, beliau juga mengangkat perjuangan mengaji pelbagai ilmu demi kemajuan anak bangsa.

Tulisan-tulisan beliau di samping mengharmonikan, turut juga menggugah pemikiran masyarakat, malah mencetuskan wacana sekali gus membentuk pemikiran bangsa. Perbahasan ini dibincangkan pada segmen keempat, Sekolah Pemikiran Pendeta Za’ba: Kegiatan Kepengarangan yang dibentangkan oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pendeta bahasa dan pakar bahasa, antara nama yang dijulukkan kepada Pendeta Za’ba kerana beliau mempunyai pemikiran terkehadapan dalam bidang perancangan bahasa. Prof. Harimurti Kridalaksana, sarjana linguistik di Indonesia pula menobati beliau sebagai Bapa Tatabahasa Melayu di Malaysia.

“Za’ba lebih terkenal dalam sumbangannya terhadap perancangan korpus bahasa yang mengangkat bahasa Melayu, namun beliau juga banyak menyumbang perkembangan dalam bidang retorik Melayu, khususnya pembentukan linguistik bahasa,” ujar Awang Sariyan. Menerusi seminar ini, Awang Sriwan menyatakan Za’ba melopor ilmu ini serta membuka perbahasan sosiolinguistik Melayu melalui buku Ilmu Mengarang Melayu.

Buku Pelita Bahasa Melayu pula diangkat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai “pelita yang sebenar-benarnya dalam menerangi jalan bahasa Melayu baharu”.

Awang Sariyan turut mengambil peluang daripada acara ini untuk mengangkat perbahasan pemikiran Za’ba dalam bidang sosioekonomi dan pendidikan.

Za’ba menyuarakan pemikiran dan perjuangan sosioekonomi orang Melayu, seperti yang dipaparkan dalam “The Saviour of the Malays” dan “The Poverty of the Malays”. Menurut Awang Sariyan lagi, Za’ba juga menyumbang kepakaran dalam menyediakan bahan-bahan profesional dan kertas kerja untuk penubuhan Tabung Haji, sebuah agensi yang mempunyai peranan khas dalam urusan kewangan orang Islam menunaikan Haji.

Banyak tulisan Za’ba yang mengungkapkan peri pentingnya pendidikan sebagai teras kemajuan orang Melayu. Tokoh bahasa ini menegaskan bahawa pelajaran boleh membetulkan kekurangan-kekurangan dalam skop kebangsaan sesuatu kaum, berperanan mengubah dan membaiki pemikiran individu yang membentuk masyarakat.

Za’ba juga membuka gagasan kesepaduan ilmu dalam pendidikan sejak tahun 1917 lagi, bermula dengan perancangan untuk membangunkan sekolah besar di negeri-negeri dalam negara, yang menghimpunkan segala jenis pelajaran dunia dan akhirat, melalui akhbar Utusan Melayu, 10 Mei 1917.

Cuplikan daripada petikan berkaitan merupakan penjelasan sambungan Za’ba berkenaan ilmu-ilmu tersebut:

Maka yang dikatakan cawangan-cawangan kepandaian itu termasuklah seperti ilmu bahasa-bahasa, ilmu kitab-kitab, ilmu karang-mengarang, ilmu tawarikh, ilmu falak, ilmu siasat kejadian, ilmu-ilmu falsafah, ilmu agama dan sebagainya dan pada cawangan pertukangan itu adalah seperti ilmu engineer, ukur-mengukur dan sukat menyukat, ilmu elektrik … pada cawangan perusahaan itu termasuklah ilmu perniagaan, ilmu hasil mahsul dan siasat kekayaan, ilmu berkebun dan bercucuk tanam …

Gagasan itu muncul semula lima dekad kemudian yang diintegrasikan kepada bentuk-bentuk baharu dalam polisi pendidikan negara, seperti pengislaman ilmu, kesepaduan ilmu dan kurikulum bersepadu.

Awang Sariyan menegaskan bahawa, fikiran sebegini yang ditonjolkan oleh Za’ba pada zamannya adalah hal yang mencetuskan pemikiran progresif bangsa, membuktikan beliau sebagai pemikir bitara (tiada tara) pada zamannya, malah hingga kini.

Beliau menegaskan lagi bahawa, soal budaya, sastera, lingusitik dan falsafah tidak boleh diabaikan dalam ranah pendidikan negara.

“Penumpuan yang agak melampau kepada bidang tertentu dalam kalangan ahli ilmu sehingga mengabaikan perhatian kepada bidang-bidang lain, malah membentuk dikotomi jelas antara kemanusiaan dengan bidang lain, kini menjadi krisis dalam masyarakat moden,” tambah beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.