Oleh Zurinah Hassan
18 Oktober 2021, 19:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan mendapati, walaupun seloka, sebuah karya puisi tradisional Melayu selalunya mencuit dan membuat ketawa, isinya tajam mengkritik masalah isu semasa yang bergolak dalam masyarakat sekarang.

Seloka terus hidup kerana kritikan-kritikan dalam seloka masih relevan dengan situasi pada hari ini.

Pada 17 September saya membaca sebuah puisi yang menarik di Facebook Ghazali Lateh. Puisi tersebut berjudul “Langkawi”:

 

Pakat terpa Langkawi pulak dah,
Merenyut orang di jeti Kuala Kedah,
Segala peraturan depa redah,
Nampak gaya wabak tak sudah-sudah.

Penuh kapal terbang sampai berdiri,
Dua tiga kali ulang dalam sehari,
Dah hilang semua perasaan ngeri,
Entah apa benda yang depa cari.

Paling-paling pun beli coklat,
Pakat mandi laut sampai berkilat,
Konon nak borong pelbagai alat,
Kedai tak buka muka terkulat-kulat.

Hati dah suka nak kata apa,
Mana-mana pun pakat terpa,
Sampah ditinggal buat-buat lupa,
Teruk sungguh perangai depa.

Ghazali menulis puisi ini setelah melihat orang ramai yang berpusu-pusu ke Langkawi sebaik sahaja kerajaan memberikan kebenaran atau membuka Langkawi setelah ditutup di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal yang sangat mengganggu dan menjengkelkan perasaan Ghazali ialah sikap masyarakat yang seolah-olah tidak sabar lalu menyerbu ke sana. Mereka tidak langsung takut walaupun COVID-19 masih belum terhapus dari muka bumi. Bagi Ghazali, sikap terburu-buru rakyat menyebabkan wabak sukar dikawal. Beliau berpendapat, walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, orang ramai sendiri sepatutnya berwaspada dan terus menjaga diri.

Puisi Ghazali Lateh ini merupakan sebuah seloka. Dua elemen seloka jelas terlihat di dalamnya, iaitu:

  • Kritik masyarakat
  • Gurauan dan jenaka

Selain itu, seloka mengandungi ciri-ciri berikut:

  • Bilangan baris dan rangkap yang tidak terhad,
  • Skema rima yang tidak tetap, dan
  • Bilangan suku kata pada setiap baris yang tidak terkawal.

Sejak dahulu, seloka menjadi media mengkritik masyarakat. Pengarang sebenar kebanyakan seloka ini tidak dapat dipastikan, namun terbukti bahawa mereka pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka menyampaikan teguran serta kritikan. Lebih mengagumkan lagi apabila kritikan mereka kekal relevan sehingga hari ini.

Antara seloka yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu ialah “Seloka Pak Kaduk”, “Seloka Pak Pandir” dan “Seloka Mak Si Randang” yang berdasarkan pada cerita-cerita jenaka. Watak-watak seperti Pak Pandir, Pak Kaduk dan Mak Si Randang mewakili golongan yang telah menyebabkan kepincangan dalam masyarakat, lalu dikritik melalui sindiran yang tajam.

Seloka terus hidup kerana kritikan-kritikan dalam seloka masih relevan dengan situasi pada hari ini. Sebagai contoh, “Seloka Mak Si Randang” mengisahkan seorang insan yang berbudi kepada orang lain sehingga sanggup berbuat apa-apa sahaja walaupun perbuatan itu merugikan sehingga merosakkan diri dan keluarga sendiri. Mak Si Randang menanak nasi menjamu si dagang (si perantau dari luar kampung) dan meruntuhkan rumah untuk mendapatkan kayu bagi menyalakan api. Dagang terbabit telah menghabiskan semua makanan hinggakan anak sendiri tidak ada apa-apa lagi untuk dimakan.

Watak Mak Si Randang dikaitkan dengan pemimpin, khasnya pemimpin politik yang mengabaikan hak rakyat asal kerana lebih mengutamakan tuntutan orang lain/luar.

Selain Mak Si Randang, baris-baris dalam “Seloka Pak Kaduk”, “Ayam menang kampung tergadai” terus digunakan untuk menggambarkan situasi golongan yang berasa diri mereka telah menang, tetapi sebenarnya kerugian. Mereka mungkin berjaya mendapatkan kuasa politik, sedangkan kuasa ekonomi sudah berada di tangan orang lain. Watak Pak Pandir pula dijadikan misalan kepada orang bodoh yang tidak sedar bahawa dirinya ditipu. Pak Pandir melakukan perkara-perkara yang tidak kena pada tempatnya, “Kucing dibunuh, tikus dibela/Harta habis, badan tergadai/Mendengar gelagak dagang/Tak sedar bertelanjang/Mendengar guruh di langit/Air tempayan dicurahkan.

Seloka Hidup di Media Sosial

Peluang itu biasanya digunakan untuk menyampaikan pendapat dan rasa tidak puas hati …

Seloka juga terus subur pada zaman digital. Malah, kini “Seloka Pak Kaduk” dan “Seloka Pak Pandir” dirakam di YouTube. Pada masa ini, terdapat pengguna media sosial yang mencatat pelbagai isu masyarakat dalam bentuk catatan di Facebook. Sesetengahnya boleh dianggap sebagai seloka yang menarik. Sebelum ini, seloka juga kedengaran dalam Persidangan UMNO, khasnya apabila wakil-wakil menyampaikan ucapan penggulungan. Peluang itu biasanya digunakan untuk menyampaikan pendapat dan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti. Perkara-perkara ini kalau diucapkan dengan berterus-terang ditakuti akan menimbulkan marah dan membahayakan diri orang yang berucap. Sebagai contoh, terdapat seloka yang pernah diucapkan oleh seorang wakil dari Pantai Timur:

Perhimpunan Agung UMNO 2015 tamatlah sudah,
Perwakilan pulang ke masing-masing daerah,
Yang dapat berucap melepaskan geram serakah,
Yang dilarang berucap menjadi tak tentu arah.

Yang menegur pemimpin dikatakan bersalah,
Disuruh minta maaf kalau tak mahu terus kena marah,
Itulah antara bunyi yang kedengaran di segenap penjuru arah,
Dalam dewan, televisyen, radio, surat khabar dan kedai kopi Pakcu Lah.

Ucapan dasar Presiden bermain kata-kata,
Ucapan penggulungan begitu juga,
Hakikatnya demi mempertahankan diri belaka.

Kebijaksanaan seloka menyebabkan puisi tradisional ini terus hidup hingga kini. Kita telah lihat seloka “Langkawi” karangan Ghazali Lateh, seorang guru kelahiran Kedah. Sebelum ini, Ghazali telah banyak menulis seloka yang merupakan cetusan pemikirannya yang kritis terhadap isu-isu semasa.

Antara lain, Ghazali turut menceritakan keadaan orang ramai yang asyik dengan telefon bimbit, sehingga leka bersembang dalam kumpulan WhatsApp. Antara yang dikritik termasuk kegemaran memanjangkan atau menularkan sesuatu perkara yang belum tentu benar dan sahih.

Seloka Kisah Grup WhatsApp

Grup WhatsApp pelbagai guna,
Menyatukan ahli di mana-mana,
Tapi waspada kenalah cakna,
Adakala mengganggu tidur yang lena.

Ucap selamat setiap masa,
Setiap hari perkara biasa,
Sehingga kawan rasa tak selesa,
Nak balas ucapan macam terpaksa.

Berita sensasi tersebar cepat,
Tak kira palsu ataupun tepat,
Nak buktikan dia yang awal dapat,
Yang percaya mula sesi mengumpat.

Ada berdakwah tak kira waktu,
Menyebar syariat sudahlah tentu,
Hantar peringatan malam jam satu,
kawan terbangun fikiran buntu.

Seorang lagi yang sering mengarang pantun, syair dan seloka di Facebook ialah Shamsudin Puteh. Shamsudin ialah seorang pesara Jabatan Penerangan dan pernah berkhidmat di Bernama, malah pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1986 bagi kategori puisi.

Catatan-catatan menarik Shamsudin merupakan luahan perasaannya terhadap perjalanan hidupnya dan perkara-perkara yang dilihatnya setiap hari. Pada 5 Januari 2018, Shamsudin memuat naik sebuah seloka yang diberi tajuk “Durian dan Anggur”.

Durian dan Anggur

Masa dulu-dulu,
Durian sebiji dua ringgit,
Dapatlah makan selalu,
Hati pun tak sakit.

Dilonggok menimbun-nimbun,
Dijual secara biji,
Kalau pergi ke kebun,
Dapatlah makan free.

Sekarang dah lain cara,
Dijual secara timbang,
Mahal tidak terkira,
Nak tawar pun rasa bimbang.

Bukan lagi si raja buah,
Tetapi buah untuk si raja,
Zaman sudah berubah,
Si miskin tengoklah saja.

Sekilo berpuluh ringgit,
Ulas tidak seberapa,
Yang berat hanyalah kulit,
Boleh duka nestapa.

Mana hati tak marah,
Harga tidak berpatutan,
Anggur pula yang murah,
Berbanding buah tempatan.

Tapi apalah upaya,
Tak guna juga meradang,
Itulah nasibnya saya,
Tak punya dusun dan ladang.

Sebagai sebuah seloka, catatan ini tidak hanya bercakap tentang anggur dan durian. Hal yang lebih penting, seloka ini menyatakan kebimbangan terhadap masa depan orang Melayu yang telah kehilangan tanah dan semakin miskin sehingga tidak mampu untuk membeli durian. Dusun durian dan juga kekayaan negara berada di dalam tangan orang lain. Tulisan Shamsudin Puteh merupakan rintihan terhadap nasib orang Melayu yang kehilangan kampung halaman.

Semoga para penulis, khasnya pengguna Facebook terus memanfaatkan media baharu ini untuk menghidupkan seloka dan puisi warisan lain yang mengandungi kebijaksanaan dan pemikiran yang tinggi.

_________________________

Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah pada 13 Jun 1949. Beliau telah menghasilkan banyak kumpulan puisi perseorangan, termasuk Sesayup Jalan (Penerbit USM, 1974), Di Sini Tiada Perhentian (Pewarna, 1977), Keberangkatan (DBP, 1985), Kuala Lumpur and Other Places (Al-Huda, 1988), Pujangga Tidak Bernama (DBP, 1994), Pesanan dari Gunung Ledang/A Message from Mount Ledang (DBP, 2004), Salasilah (DBP, 2005), Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour (ITBM, 2010), Cerita dalam Cerita (ITBM, 2014), dan Menunggu Pesawat (DBP, 2021). Zurinah Hassan turut melahirkan beberapa cerpen yang sudah dibukukan dalam kumpulan cerpen Meneruskan Perjalanan (DBP, 1987) dan Menjelang Pemilihan (DBP, 2004). Di samping itu, beliau telah menghasilkan sebuah novel remaja, Hatimu Aisyah (DBP, 1991) dan beberapa buku kajian sastera. Selain menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 2015, Zurinah telah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Thailand pada tahun 2004 dan penyair Malaysia yang pertama menerima Anugerah Sunthorn Phu pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan penyair cemerlang ASEAN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.