Oleh Orked Una
17 Oktober 2021, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Karya realisme mendukung pemikiran-pemikiran yang mampu mengocak hati dan pemikiran pembaca, mengeluarkan hal yang terbenam dalam diri dan mencetuskan revolusi dalam diri mereka untuk mencapai taraf kehidupan yang lebih maju dan sejahtera.

Program Titian Sastera: Bicara Buku Sastera Terjemahan diteruskan dengan siri ketiga, novel Di Mana Ranting Dipatah membawakan para panel Zaleha Ahmat selaku penyunting karya dan Zhao Dan@Tuah yang merupakan seorang pensyarah Bahasa Melayu dari Guangxi University for Nationalities, China, serta moderator program, Eliyas Sulaiman Mohandas. Program ini disiarkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 16 Oktober 2021 (Sabtu), pukul 3.00 petang.

Siri kali ini membincangkan karya terjemahan Di Mana Ranting Dipatah: Sebuah Dunia Biasa yang merupakan sebuah novel cemerlang dalam kesusasteraaan China oleh pengarang besar Lu Yao, dengan tajuk asalnya Ping fan de shi jie (Dunia Biasa) yang diterbitkan pada tahun 1986.

Ping fan de shi jie dikenali sebagai novel sejuta aksara dan mempunyai tiga jilid yang dihasilkan oleh Lu Yao selama enam tahun. Lu Yao merupakan pemenang Anugerah Sastera Mao Dun (1991), iaitu salah satu anugerah tertinggi sastera di China. Novel ini turut disenaraikan dalam 70 novel terkemuka sepanjang 70 tahun penubuhan Republik Rakyat China.

Selain itu, karya ini juga telah diangkat menjadi drama televisyen (tahun 1990 dan 2015), dan pementasan teater (2017). Karya besar ini telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa, antaranya bahasa Inggeris, Arab, Jepun, Turki, dan Vietnam.

Novel Di Mana Ranting Dipatah: Sebuah Dunia Biasa merupakan versi pendek daripada teks asal yang diterbitkan oleh Pusat Kebudayaan Han Malaysia, yang turut bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Karya Lu Yao ini merupakan sebuah karya aliran realisme yang diangkat menjadi cerminan perjuangan hidup masyarakat China selepas berakhirnya Revolusi Kebudayaan. Tema yang diangkat dalam novel ini adalah tentang kehidupan berkeluarga, latar kehidupan dalam kemiskinan, pendidikan, dan politik. Versi pendek ini tidak merincikan hal politik, seperti dalam naskhah asal.

Zaleha Ahmat berkongsi tentang bagaimana pemilihan tajuk Di Mana Ranting Dipatah dilakukan. Walaupun novel realisme ini mengangkat cerita kehidupan biasa namun karyanya menjadi suatu cerita luar biasa akibat tentangan dan konflik yang dihadapi oleh watak-watak yang mencetuskan revolusi dalam usaha mereka untuk keluar daripada kemiskinan. Di Mana Ranting Dipatah berasal daripada peribahasa Melayu, “Di mana ranting dipatah, di situ air disauk” yang menepati cara kehidupan watak-watak pada tempat yang dipilih oleh mereka untuk meneruskan kehidupan. Tajuk Di Mana Ranting Dipatah (DMRD) ini juga dipilih kerana mempunyai nilai sastera dan estetika daripada hanya menggunakan terjemahan literal, iaitu Dunia Biasa.

Zaleha turut menyatakan, terdapat dua novel sastera Malaysia yang boleh dipadankan dengan DMRD. Dari segi nilai sastera, novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad boleh dijadikan perbandingan, manakala dari segi nilai pemikiran dan tema, novel tiga jilid Lepaskan Kembali Aku ke Laut oleh Shaari Isa.

Novel DMRD mengangkat peristiwa-peristiwa yang berlaku di China, antara tahun 1975 hingga 1985, pada era akhir Revolusi Kebudayaan. Zhao Dan@Tuah berkongsi realiti dan impak Revolusi Kebudayaan yang menyebabkan keadaan huru-hara buat seluruh negara dari segi pentabiran dan pendidikan, menyebabkan keruntuhan ekonomi yang memberikan impak besar kepada rakyat China. Lu Yao merakamkan perubahan besar dalam ekonomi, masyarakat dan politik selepas tamatnya Revolusi Kebudayaan dan muculnya Revolusi dan Dasar Pintu Terbuka dalam novel ini.

Walaupun Revolusi Kebudayaan berakhir pada tahun 1976, namun kebebasan menghasilkan karya kritikan politik atau masyarakat masih belum bebas sepenuhnya. Disebabkan keberanian Lu Yao menghasilkan Ping fan de shi jie sejurus era Revolusi Kebudayaan tamat, beliau diangkat menjadi perintis pada revolusi sastera masyarakat, katanya.

Bagi Tuah, revolusi yang dibawa oleh Lu Yao bertentangan dengan revolusi kerajaan China yang berlandaskan kekerasan. Dalam novelnya, Lu Yao memasukkan revolusi untuk berubah atau melakukan perubahan untuk mengubah nasib. Contohnya, seperti watak Shao Ping yang memajukan dirinya, manakala watak Shao An mengubah nasib orang kampung dengan sistem ekonomi baharu.

Apabila menyentuh hal revolusi dalam karya Lu Yao ini, Zaleha pula menyatakan revolusi yang ditampilkan oleh Lu Yao merupakan revolusi positif. Watak-wataknya mencari revolusi mereka sendiri dan akhirnya berjaya mengubah kehidupan mereka. Penulis Lu Yao memasukkan banyak novel bacaannya daripada pengarang Rusia, Perancis dan Inggeris ke dalam bacaan watak Shao Ping, yang menonjolkan revolusi pemikiran yang dibawa oleh Lu Yao. Shao Ping keluar dari kampungnya untuk menuntut ilmu. Watak Shao An pula walaupun kekal di kampungnya tetapi pemikirannya terbuka. Shao An berjaya mengubah nasib keluarga dan masyarakat kampungnya. “Apabila manusia mengubah pemikirannya, semua benda akan berubah,” kata Zaleha.

Kedua-dua panel membincangkan pembangunan insan watak-watak utama DRMD, iaitu Shao Ping dan Shao An. Shao Ping ialah seorang yang miskin dan rendah diri namun mempunyai tekad untuk belajar ke peringkat tinggi untuk mengubah nasib hidupnya. Pembangunan insan Shao Ping dipandu oleh bahan bacaanya yang membuka pemikirannya. Shao An pula membawa pembangunan masyarakat walaupun kekal di kampung. Shao An berkahwin dengan isterinya yang mempunyai pemikiran positif dan menyokongnya. Shao An membuka kilang dan membuka peluang pekerjaan kepada orang kampungnya lantas mencapai kejayaan dan menyebabkan Shao An menjadi contoh kepada masyarakat kampungnya.

Tuah juga berkongsi, naskhah ini masih lagi relevan dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap generasi muda China hari ini kerana realiti jurang ekonomi bandar dan luar bandar masih besar. Pengalaman watak-watak dalam novel ini dekat dengan mereka yang ingin mengubah nasib, malah dijadikan panduan. Walaupun latar cerita sudah berlalu 50 tahun yang lalu, tetapi tema malar segar yang dibawakan dalam novel ini, seperti semangat revolusi, sifat kemanusiaan seperti persahabatan, kerajinan, sifat murah hati dan kebaikan, membuatkan karya ini masih dicari.

Pandangan dan harapan Tuah yang telah menterjemahkan beberapa karya popular sastera Cina kepada bahasa Melayu seperti Analek Confucius, terjemahan petikan pilihan Laozi, Puisi Dinasti Tang, dan terjemahan teks pilihan Yuangu (Opera Cina dari Dinasti Yuan 1271–1368) mengharapkan agar muncul lebih banyak kerjasama antara penterjemah kedua-dua negara supaya dapat menghasilkan terjemahan yang berkualiti tinggi.

Zaleha pula menyampaikan harapan supaya lebih banyak karya dapat diterjemahkan daripada teks asal bagi mengekalkan keaslian cerita. Beliau menekankan kepentingan membaca karya terjemahan kerana pembaca dapat memahami pemikiran, budaya yang berbeza, dan seterusnya dapat membentuk pembacanya menjadi manusia yang lebih baik.

Tonton bual bicara novel ini di sini.

Berita Berkaitan |

Karya Sastera Terjemahan: Mengangkat Budaya dan Citra Dua Negara

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.