16 Oktober 2021, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemenangan Nobel Abdulrazak Gurnah terus mendatangkan polemik dalam dunia sastera. Mohd Fadzil Yusof menerangkan mengapa kemenangan seorang pencari suaka ini patut diraikan.

Justeru, subjek yang dirujuk untuk mengabsahkan kemenangan Abdulrazak merupakan suatu yang sangat tersisih sekian lama dalam peta kerangka Eurosentrik yang pernah menjadi isu yang tegang suatu masa dahulu.

Pada 7 Oktober 2021, Abdulrazak Gurnah diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan atas penulisan yang berintipatikan penjajahan dan pelarian, yang turut melakarkan perbezaaan antara budaya dengan ruang benua yang saling nyata dan dampak dalam situasi sekarang. Kemenangan yang berpihak kepada Gurnah juga disambut oleh Wole Soyinka, penerima Hadiah Nobel 1986 yang menyebutkan perihal kolonialisme merupakan persoalan yang masih utuh dan paling absah digarap dalam bentuk seni atau kesusasteraan, dan meyakini bahawa langgam sebegini akan terus bertambah biak pada masa akan datang walau dalam pertarungan yang terus ada.

Abdulrazak Gurnah merupakan seorang pencari suaka di Eropah sekitar 50 tahun lalu. Beliau begitu bertuah melanjutkan pengajian sarjana di London dan memperoleh ijazah kedoktoran di Universiti Kent, Amerika Syarikat dengan tesis beliau yang bertajuk “Criteria in the Critism of West African Fiction”, dan kini telah bersara sebagai pensyarah di universiti yang sama dalam bidang Kesusasteraan Inggeris dan Pascakolonial. Dalam pengumuman daripada wakil Jawatankuasa Akademi Nobel, mereka menegaskan juga perihal peri penting subjek yang dibawa oleh pengarang besar ini dalam dunia kesusasteraan yang berjaya meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam sebuah pengkaryaan, apatah kesedaran tentang kolonialisme tidak berapa dipedulikan dalam era tampak mutakhir ini.

Pengarang yang berasal dari Tanzania atau Zanzibar ini pernah menarik perhatian khayalak sastera apabila karyanya yang berjudul Paradise yang disenarai pendek bagi Hadiah Booker pada tahun 1994. Dilahirkan pada tahun 1948, beliau melepaskan diri ke United Kingdom daripada rejim kerajaan ketika itu. Revolusi Zanzibar turut berlaku masa itu. Meskipun bahasa ibunda beliau ialah Swahili, tetapi dalam fiksyennya bahasa Inggeris menjadi wahana pilihan untuk mengungkapkan pengalaman-pengalaman terpilihnya dalam novel.

Pada usianya 21 tahun, beliau menghasilkan novel pertama berjudul Memory of Departure (1987) yang mengungkapkan sekitar trauma kolonialisme, perang dan penghijrahan. Selepas itu, beliau terus prolifik dengan karya-karya lain, antaranya termasuk Pilgrims Way, Paradise, By the Sea, Desertation, dan yang terbaharu, Afterlives. Lewat karya-karya ini, Abdulrazak telah meneroka ruang pengalaman pelarian yang tergantung antara kehilangan dengan pembebasan, yang tidak selalu diketengahkan oleh pengarang lain. Seperti yang dinyatakan oleh pengerusi Anders Olsson selaku Jawatankuasa Nobel bagi Kesusasteraan, pihak mereka sudah lama mengikuti hasil karya Gurnah, yang sudah giat berkarya sejak 1980-an lagi, selain beliau juga merupakan “pengarang paling menonjol membicarakan dunia pascakolonial pada masa sekarang”. Secara tidak langsung, sememangnya subjek kolonialisme dan migrasi yang sentiasa dilihat terpencil dan hanyalah dalam ranah tertentu, tapi sudah menjadi rencah pengalaman manusia yang tidak mungkin dapat dipadamkan oleh sejarah.

Justeru, subjek yang dirujuk untuk mengabsahkan kemenangan Abdulrazak merupakan suatu yang sangat tersisih sekian lama dalam peta kerangka Eurosentrik yang pernah menjadi isu yang tegang suatu masa dahulu. Antara sosok yang hampir mendekati ikon subjek sebegini ialah Edward W. Said yang mencetuskan karya yang masyhur Orientalism (1978), dan sedikit terbelakang dari runut masa kini, iaitu Frantz Fanon dalam karya pentingnya Les damnes de la terra (1961) diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan judul The Wretched of the Earth. Secara lansung, pembaca akan melihat semula jejeran pemikiran itu sebenarnya saling berkaitan pula, mungkin secara tidak lansung, dengan penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan sebelum ini, iaitu V.S Naipaul dan juga J.M Coetzee.

Paradoksnya, hadiah tahun ini diberikan kepada seorang pengarang yang berasal dari benua Afrika sementelah lebih sedekad Akademi Sweeden tidak mempertimbang mana-mana pengarang melainkan yang berasal dari Eropah. Ramai beranggapan bahawa hal ini merupakan faktor tumpuan Eurosentrik yang cukup luar biasa. Di samping terdapat berbagai-bagai khabar angin dan desas-desus sebelum pengumuman yang berlansung pada 7 Oktober itu, wujudnya kemungkinan-kemungkinan tuah yang berpihak kepada pengarang lelaki (atau wanita) dari Eropah kerana tahun lalu diberikan kepada penyair Amerika, Louise Gluck apabila bilangan penerima Nobel daripada kalangan wanita yang tidak ramai. Selain itu, ada disebutkan juga pengarang dari Afrika kerana sekian lama pengarangnya tidak diangkat, paling terakhir ialah Nadine Gordimer (1991) dari Afrika Utara, dan sebelumnya Naguib Mahfouz (1998) dari Mesir.

Kemenangan Abdulrazak Gurnah pula menerima tindak balas yang pelbagai. Antara reaksi yang positif ialah ucapan “Hadiah Nobel sudah kembali ke pangkal jalannya.” Namun, perkara ini juga suatu “fenomena” yang menarik kerana pertimbangan karya makin diposisikan dengan seimbang dan tidak sekadar disorot dan diminimumkan pada rupa atau benua tertentu. Hal ini bersesuaian dengan aspirasi dan tujuan pengwujudan Nobel itu sendiri yang menjangkaui latar belakang yang terbatas, maka seperti diperakukan juga, penilaian semestinya dikembalikan kepada “merit kepengarangan atau hasil kesusasteraan yang lebih diperhatikan daripada personaliti pengarang”.

Sebelum ini, kontroversi skandalnya mencacatkan nama Akademi Sweeden, justeru Jawatankuasa Hadiah Nobel telah memungkinkan tindakan menyusun dan kembali membetulkan haluan. Isu dua tahun lalu, pemilihan Peter Handke untuk tahun 2019 telah mencetuskan kontroversi rentetan dianggap memihak kepada kerajaan Serbia dalam isu konflik kemanusiaan atau penghapusan etnik di negara Kosovo yang berlaku pada tahun 1998–1999. Sebahagian pemerhati membantah dan mengkritik pengiktirafan Handke, malah meminta untuk menarik semula penganugerahan itu demi menjaga reputasi dan nama institusi Nobel itu sendiri. Jawapan yang diberikan setelah dipersoalkan atas pemilihan Handke ialah, beliau seorang yang tidak bersifat politikal dalam karyanya dan sokongannya terhadap Serbia telah disalahfahami.

Demikian itu, pihak Akademi menanggung risiko akan keputusan yang dibuat pada dua tahun lalu itu, juga dapat kita fahami sebagai suatu takdir. Namun begitu, kembalinya Hadiah Nobel kepada landasan yang munasabah, akan memberikan peluang cerah kepada karya-karya yang bermutu dari segenap benua, yang mempunyai inti pati yang universal dan membina kemanusiaan, selain hanya melihat juzuk-juzuk persembahan seni atau penceritaan yang kerap bertindinan dalam bentuk kerangka yang sama dan wilayah yang sama.

Kelainan yang dibuat kali ini memang menumpangkan tuah kepada sastera yang “dikaburkan dan yang dihitamkan” dalam peta globalisasi, dan barangkali harus difahami sebagai warna pengalaman yang mungkin membina keseimbangan kemanusiaan serta hubungan kewujudan alami, dan bukannya suatu tragedi yang terpencil. Sama juga sepertimana Edward W. Said yang memperjuangkan isu Palestin, pelarian dan imperialisme, juga pengarang dari India yang menulis sastera bernada ambiguiti dalam bahasa Inggeris, yang cuba mengutarakan naratif sudut pandangan pertama selaku seorang Asia yang bermustautin di benua Eropah, juga pengarang seperti Ngugi Wa Thiong’o dan Nuruddin Farah dengan cerita berkisar kehidupan sosiopolitik yang berlaku di negara dunia ketiga.

Dalam masa yang sama, melalui penobatan Abdulrazak Gurnah juga, obor perjuangan membawa wacana pascakolonial mungkin menjadi lebih menyala dengan lebih terang dan menarik perhatian selepas ini, tidak lagi mungkin terhadap benua Afrika sahaja, malah pada benua Asia juga. Seperti yang dikatakan oleh Soyinka, wacana ini tidak harus tertutup dan dipinggirkan dek pop culture dan ketegarannya (langsung mengenangkan kita kepada penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2016, Bob Dylan).

Kemenangan ini juga suatu bentuk sambutan dan kalungan bunga kepada sejumlah pewacana pascakolonialisme dari pelbagai negara yang terus mengemukakan dialog kesenjangan sebuah identiti terhadap suatu autoriti yang sering kali terjerumus dalam arus kesendangan yang mendiamkan.

Tahniah Jawatankuasa Akademi atas haluan yang dijanjikan! Tahniah kepada Abdulrazak Gurnah!

Berita Berkaitan |

“Dunia Hari ini Lebih Kejam” – Abdulrazak Gurnah

_________________________

Mohd Fadzil Yusof menulis puisi, rencana dan cerpen. Karyanya pernah tersiar dalam akhbar Berita Harian, Mingguan Wasilah, Harian Metro, Mingguan Utusan Melayu, majalah Dewan Sastera, Nur, Siasah, Dewan Budaya, Tunas Cipta, dan Milinea Muslim. Karya bukunya termasuk novel Berahi Sukma (ITBM, 2015), kumpulan cerpen Terbang Layang-layang (DBP, 2016), dan kumpulan puisi Buku Kenangan Kala Pemukiman (DBP, 2019).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.