Oleh A. Muziru Idham
13 Oktober 2021, 08:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tulisan ini berdasarkan perkongsian A. Muziru Idham dalam Forum Menganyam Nusa: Sastera, Kemerdekaan dan Identiti Kebangsaan anjuran Kawah Buku dan Institut Nyala pada 30 Ogos 2021.

Sesudah kemerdekaan 1957, dan beberapa dekad pengarang-pengarang sastera pascamerdeka menulis tentang persoalan nasionalisme dan perpaduan dalam karya-karya mereka, lontaran suara mereka hampir tidak didengari oleh para politikus yang terus terbangun mewajahkan nasionalisme Malaysia mengikut acuan kolonial, sehingga mengabaikan aspek kebudayaan sejarah tempatan yang wujud dalam bentuknya yang unik.

Saya fikir, persoalan identiti kebangsaan dalam kesusasteraan merupakan suatu polemik yang tidak akan pernah kunjung selesai. Saya berani katakan bahawa pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa ialah suatu kewujudan yang tidak betul-betul siap. Kosmopolitanisme budaya, terutamanya daripada kaum Cina dan India yang telah pun wujud di Semenanjung pada kurun ke-13 sewaktu era kegemilangan tamadun Melaka (1400–1511) seperti tidak pernah diambil peduli. Sejarah kita yang telah dihasut oleh kolonialisme, seolah-olah dilihat hanya wujud sesudah kedatangan kolonial Inggeris pada kurun ke-17.

Pada kurun tersebut, Inggeris membawa masuk masyarakat kaum Cina dan India secara besar-besaran di Tanah Melayu demi menyahut Revolusi Industri, meminggirkan sejarah kebudayaan masyarakat asal, seperti Orang Asli dan etnik-etnik asal di Borneo sehingga cerita mereka hilang dari kaca mata sejarah. Kesan dasar pecah dan perintah yang dibawa oleh Inggeris sangat mempengaruhi pembentukan masyarakat Malaysia, yang dari awalnya kedudukan sosial mereka telah dipecah-pecahkan mengikut kawasan berasingan, yang menghalang kepada berlakunya integrasi perkauman, tidak seperti yang berlaku di Melaka, pada abad ke-13 itu.

Maka, kita akan lihat bahawa kesan naratif sejarah yang sebegitu telah mengakibatkan wujudnya minda prasangka yang menebal dalam masyarakat kita hari ini, sehinggakan puluhan tahun pascamerdeka pun masih tidak mengikis stereotaip dan prejudis masyarakat terhadap kaum-kaum lain di Malaysia. Sesudah kemerdekaan 1957, dan beberapa dekad pengarang-pengarang sastera pascamerdeka menulis tentang persoalan nasionalisme dan perpaduan dalam karya-karya mereka, lontaran suara mereka hampir tidak didengari oleh para politikus yang terus terbangun mewajahkan nasionalisme Malaysia mengikut acuan kolonial, sehingga mengabaikan aspek kebudayaan sejarah tempatan yang wujud dalam bentuknya yang unik.

Peranan Wartawan Sasterawan ke Arah Nasionalisme Kemerdekaan

Mereka wartawan-wartawan yang sudah tercerah dari awal melalui pendidikan Inggeris ataupun madrasah agama aliran Kaum Muda, yang sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran mereka untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris.

Nasionalisme bangsa mula terbangun sejak awal kurun ke-18, iaitu apabila wujudnya gerakan Kaum Muda yang membawa agenda nasionalisme dan cita-cita Islam yang dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Abu Bakar al-Ash’ari dan Syed Sheikh al-Hadi. Titik tolak terpenting adalah apabila Syed Sheikh al-Hadi (1867–1934) yang menggerakkan ideologi nasionalisme dan islah melalui persuratan, iaitu melalui penerbitan jurnal Al-Ikhwan (1926) dan akhbar Saudara (1934). Peranan kesusasteraan melalui wadah persuratan dalam kebangkitan nasionalisme itu lebih menonjol apabila Syed Sheikh al-Hadi yang menjadi ulama Kaum Muda pada ketika itu turut menerbitkan novel yang bertajuk Hikayat Faridah Hanom (1925) dengan membawa tema percintaan dan emansipasi wanita.

Daripada gerakan Kaum Muda tersebut, maka muncullah lebih banyak akhbar dan majalah yang benar-benar tertumpu pada nasionalisme Melayu, seperti Utusan Zaman (1938), Utusan Melayu (1939) dan Mastika (1941) yang menjadi antara ruang untuk pengarang-pengarang berkarya dan melontarkan kritikan sosial. Jadi, di sinilah titik mulanya kepengarangan sasterawan menulis karya-karya sastera demi menaikkan gelombang nasionalisme masyarakat pada ketika itu, bagi menyedarkan mereka bahawa mereka sedang dijajah oleh Inggeris, justeru perlu mendapatkan semula hak tanah air mereka.

Menariknya, kebanyakan sasterawan pada ketika itu sendiri ialah wartawan di majalah dan akhbar tersebut. Gelombang nasionalisme itu digerakkan oleh para wartawan yang menulis kritikan sosial melalui cerpen, puisi ataupun esei, kerana mereka berhadapan dengan realiti masyarakat dari kaca mata mereka sendiri. Maka, kita akan lihatlah tokoh-tokoh besar wartawan sasterawan yang mempelopori ke arah nasionalisme kemerdekaan pada ketika itu, seperti Abdul Rahim Kajai, A. Samad Ismail, Keris Mas, Pak Sako, dan lain-lain. Mereka wartawan-wartawan yang sudah tercerah dari awal melalui pendidikan Inggeris ataupun madrasah agama aliran Kaum Muda, yang sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran mereka untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris.

Pada ketika itu, kebanyakan daripada mereka tidak sekadar menggunakan beberapa buah nama samaran apabila menulis karya yang bersifat kritikan sosial, demi mengelakkan identiti sebenar mereka diketahui oleh pihak kolonial, tetapi juga hendak merancakkan fenomena kepengarangan pada ketika itu supaya suara aspirasi nasionalisme tampak lebih ramai dan besar. Pendekatan sebegitu mencipta gelombangnya apabila masyarakat mulai sedar bahawa mereka selama ini yang terimbau dengan penyediaan peluang pekerjaan dan pembayaran upah kecil daripada kolonial telah dieksploitasi tanpa sedar, sedangkan hasil mahsul yang mereka kerjakan itu dibawa ke Eropah demi kepentingan kolonial.

Gelombang itu semakin rancak apabila ASAS 50 (Angkatan Sasterawan 1950) ditubuhkan pada 6 Ogos 1950 dengan membawa cita-cita perjuangan bahasa dan kesusasteraan sebagai alat perpaduan kebangsaan dan kemerdekaan. ASAS 50 telah menghimpunkan para sasterawan dan wartawan yang menulis di pelbagai tempat itu di bawah satu bumbung. Antara ahli-ahli ASAS 50 pada ketika itu termasuk Keris Mas, Rosmera, Hamzah Hussin, Masuri S.N., A. Samad Ismail, dan Usman Awang (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka berada di bawah satu bumbung, membawa aspirasi Seni untuk Masyarakat. Mereka menulis karya-karya yang membawa persoalan darurat, nasib kaum buruh dan ketidakadilan sosial. Dalam masa yang sama, Che Abdullah Che Ya dalam makalahnya bertajuk “Protes dalam Masyarakat di Alam Melayu Sebelum Merdeka” (2009), turut mengutarakan persoalan lain yang dibangkitkan oleh karya-karya sastera pada ketika itu, yakni emansipasi wanita, nasionalisme, percintaan, dan kahwin paksa.

Contohnya, dalam novel Putera Gunung Tahan (1937), Pak Sako menulis persoalan nasionalisme dalam bentuk satira, dengn menyindir pihak kolonial yang menduduki negara ini dengan menggunakan lambang Gunung Tahan, orang sakai dan kulit harimau putih. Novel Melati Kota Bharu (1941) pula yang ditulis oleh Abdul Kadir Abadi membangkitkan nasionalisme dalam bentuk percintaan, apabila pengarang menyinggung tentang sistem feudal golongan istana yang mengagung-agungkan gelaran dan status. Sementara itu, dalam isu emansipasi wanita, novel Iakah Salmah? (1927) oleh Ahmad Rashid Talu mennceritakan seorang gadis Timur yang hendak melepaskan diri daripada kongkongan adat, manakala novel Hikayat Faridah Hanom (1925) oleh Syed Sheikh al-Hadi pula menampilkan protes terhadap cinta antara dua darjat dan emansipasi wanita dalam pendidikan agar tidak berada di bawah kongkongan lelaki.

Kita dapat lihat di sini bahawa persoalan-persoalan nasionalisme tidak sekadar tertumpu pada persoalan kelas sosial dan satira terhadap kolonial, tetapi lebih besar lagi turut tertumpu pada persoalan emansipasi wanita dan percintaan yang menjadi persoalan sensitif sebetulnya untuk dibicarakan dalam suasana masyarakat pada ketika itu. Emansipasi wanita antara yang menjadi isu kebangkitan nasionalisme kerana perjuangan kemerdekaan bukanlah sekadar perlu menghimpunkan golongan lelaki semata-mata, tetapi golongan wanita juga perlu dicerahkan dan diperkuatkan supaya gerakan kemerdekaan itu menjadi lebih kuat melalui penggemblengan tenaga dan pencerahan sosial yang lebih meluas meliputi seluruh masyarakat, tanpa mengira gender dan perkauman.

Persoalan-persoalan sebegini dapat diutarakan dengan jelas kerana kelompok terbesar dalam kalangan sasterawan pada ketika itu terdiri daripada para wartawan. Mereka tidak sekadar berada dalam ranah kemasyarakatan dan pergi ke sana sini sekadar hendak mencari bahan-bahan untuk dilaporkan menjadi berita, tetapi kesedaran sosial mereka pada ketika itu menjentik nurani untuk membangkitkan semangat kebangsaan melalui karya kesusasteraan yang mereka sedar lebih dekat dengan masyarakat. Sebabnya, dalam masyarakat pada ketika itu yang masih tebal dengan kebudayaan sastera lisan, dalam masa yang sama, majalah dan akhbar seperti Mastika, Utusan Zaman dan Utusan Melayu yang pada ketika itu menjadi bacaan masyarakat, menjadi wadah yang memudahkan para wartawan sasterawan ini hendak menjentik kesedaran mereka melalui karya kesusasteraan, kerana puisi dan kisah-kisah yang bercerita lebih dekat dengan diri masyarakat.

Di Manakah Golongan Sasterawan Bukan Melayu dalam Suara Kemerdekaan?

Selain kebudayaan setiap kaum yang berbeza, saya juga percaya bahawa geografi turut memainkan peranan dalam mencorakkan kebudayaan dan cara fikir perkauman.

Persoalan ini ialah suatu persoalan yang agak sukar untuk dijawab. Agak pelik sebenarnya, setelah kemerdekaan selama 64 tahun, kajian terhadap persoalan ini masih lagi kurang dalam kalangan sarjana sastera. Andaian yang boleh dikemukakan ialah, kesan dasar pecah dan perintah tersebut menyebabkan wujudnya jurang bahasa dan kebudayaan dalam kalangan kaum. Seperti yang kita sedia maklum, dalam dasar pecah dan perintah oleh Inggeris, majoriti kaum Cina diletakkan di bandar, majoriti kaum Melayu diletakkan di kampung, dan majoriti kaum India diletakkan di estet. Perpecahan kaum tersebut menyebabkan kurangnya interaksi antara kaum. Selain kebudayaan setiap kaum yang berbeza, saya juga percaya bahawa geografi turut memainkan peranan dalam mencorakkan kebudayaan dan cara fikir perkauman.

Akan tetapi, bahayanya kesan daripada dasar kolonial tersebut turut membina suatu stereotaip yang berbahaya dan bersifat prejudis: Kedudukan masyarakat Cina di bandar mencorakkan mereka dengan wajah kapitalisme; kedudukan masyarakat Melayu di kampung dilihat sebagai kaum yang mundur dan malas; dan kedudukan masyarakat India di estet membina stereotaip kaum tersebut sebagai peminum. Semua itu ialah prejudis yang sangat teruk dan berbahaya yang sampai sekarang pun masih wujud sekiranya kita perhatikan komen-komen rasis di media sosial. Sebab itulah, negara bangsa Malaysia tidak akan pernah siap dan sempurna selagi jurang stereotaip dan prejudis perkauman ini tidak selesai.

Berbalik kepada perihal kurangnya kajian tentang peranan sasterawan bukan Melayu dalam kemerdekaan negara, saya melihat bahawa perkara ini berlaku disebabkan oleh dasar pecah dan perintah tersebut yang menyebabkan masyarakat terkelompok menurut kaum masing-masing. Disebabkan hal tersebut, maka penerbitan akhbar dan majalah pula wujud dalam bahasanya yang tersendiri. Seperti yang dimaklumkan tadi, untuk bangsa Melayu, maka ada akhbar dan majalah seperti Mastika, Utusan Zaman dan Utusan Melayu yang dicetak dalam bahasa Melayu dan bertulisan Jawi, yang menjadi wadah berita dan bacaan kelompok bangsa Melayu. Kebangkitan nasionalisme Melayu digerakkan melalui suara kepengarangan dalam medium tersebut.

Untuk akhbar kaum India, antara yang berpengaruh pada ketika itu ialah Tamil Nadu dan Tamil Nesan. Menurut Ganesan a/l Shanmugavelu dalam “Akhbar-akhbar Tamil dan Pemikiran Tentang Kaum India di Tanah Melayu, 1946-1950” (2015), akhbar-akhbar Tamil pada ketika itu bertindak sebagai alat yang menyuarakan masalah kaum India di Tanah Melayu. Menurutnya, akhbar Tamil Nesan diterbitkan dengan tujuan untuk mengekalkan bahasa Tamil, adat dan budaya kaum India serta menyuarakan rungutan kaum India di Tanah Melayu, terutamanya golongan buruh Tamil di ladang-ladang getah. Menariknya, akhbar berbahasa Inggeris seperti The Indian dan Indian Pioneer juga diterbitkan untuk memenuhi keperluan masyarakat India kelas menengah yang berbahasa Inggeris. Persoalan utama yang dibangkitkan ialah tentang hak-hak buruh kaum India dan isu eksploitasi kaum buruh India di estet-estet. Persoalannya, di celah-celah persoalan besar tersebut, apakah tidak ada karya-karya sastera kaum India yang disiarkan di akhbar-akhbar tersebut terkait dengan isu hak kaum buruh India dan persoalan kemerdekaan daripada kolonial Inggeris?

Untuk akhbar kaum Cina pula, sejarahnya lebih kompleks jika kita baca makalah “Peranan Akhbar Cina dalam Artikulasi Isu-isu Sejarah dan Pembentukan Negara Bangsa” (2015) yang ditulis oleh Lee Kuok Tiong. Menurutnya, permit penerbitan akhbar berbahasa Mandarin seperti Jinan dan Kwong Wah telah ditarik balik pada tahun 1927 oleh kerajaan British kerana sentimen kempen anti-Jepun mereka yang radikal. Peranan akhbar berbahasa Cina pada era pendudukan Jepun adalah lebih tidak jelas berikutan sentimen Perang Cina-Jepun 1937–1945, menyebabkan kebencian antara masyarakat Cina dengan Jepun bersemarak, lalu kebanyakan orang Cina di Tanah Melayu melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelakkan daripada dizalimi oleh golongan kempetai Jepun.

Jadi, selepas kekalahan Jepun dan kedatangan semula pihak British ke Tanah Melayu, tidak banyak akhbar Cina yang wujud melainkan akhbar Kwong Wah Daily di Pulau Pinang yang beroperasi semula selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1946. Menurut Lee Kuok Tiong lagi, banyak keratan akhbar lama berbahasa Mandarin di arkib yang menulis tentang kerjasama MCA (Malaysian Chinese Association) dengan UMNO (United Malays National Organisation) dan MIC (Malaysian Indian Congress) dalam mengorak langkah mengadakan rundingan kemerdekaan Tanah Melayu di London. Hal ini menunjukkan bahawa selepas tahun 1946, penerbitan akhbar Cina yang sedia ada itu sudah mula membicarakan persoalan kemerdekaan. Soalnya, apakah tidak ada suara sasterawan kaum Cina yang membicarakan perihal sedemikian di akhbar-akhbar Cina pada ketika itu? Jika ada, siapakah dia dan apakah karya-karya yang membicarakannya?

Persoalan-persoalan yang saya timbulkan ini ialah persoalan besar yang berkait dengan sastera dan identiti kebangsaan dalam sejarah Malaysia. Saya percaya bahawa pastinya wujud karya-karya kesusasteraan kaum-kaum lain yang turut menggerakkan agenda nasionalisme di Tanah Melayu pada ketika itu. Tinggal sahaja, barangkali, disebabkan oleh kekangan bahasa, maka karya-karya dalam akhbar yang berbahasa Tamil dan Cina itu menjadi kekangan kepada pengkaji untuk meneliti karya-karya sastera yang disiarkan dalam akhbar-akhbar tersebut. Banyak kajian telah dikemukakan tentang peranan akhbar kaum-kaum bukan Melayu ini terhadap aspirasi kemerdekaan nasional, tetapi masih kurang lagi kajian yang ditumpukan kepada peranan sasterawan kaum bukan Melayu secara khusus terhadap kemerdekaan nasional.

Sebab itu, kalau dalam kalangan sasterawan Melayu, kitab boleh menyebutkan nama-nama seperti Usman Awang, Pak Sako, Abdul Rahim Kajai, Keris Mas dan sebagainya. Tetapi sedikit sekali nama-nama sasterawan bukan Melayu yang dapat disebutkan pada era pramerdeka tersebut. Wajar segera peranan ini diberikan tumpuan kerana saya percaya, sedikit sebanyak hal ini akan menghapuskan sentimen perkauman yang dibangkitkan oleh gerakan dan parti tertentu yang menggunakan sentimen ini demi agenda sempit mereka.

Hala Tuju Identiti Sastera Kebangsaan Pada Abad ke-21

Jadi, memasuki abad ke-21, sepatutnya persoalan identiti kebangsaan dalam kesusasteraan tempatan tidak wajar menjadi isu lagi kerana sudah berkurun lamanya kita sebenarnya hidup dalam suasana masyarakat majmuk.

Saya ingin membawakan singgungan Faisal Tehrani dalam artikelnya bertajuk “Pembohongan 50 Tahun” (2021) dalam Svara Isu 6: April–Jun 2021. Faisal Tehrani menyinggung Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang berlangsung pada tahun 1971 yang telah bertindak menyempitkan nuansa kebudayaan dan kesusasteraan Melayu sehingga impaknya telah sampai membina jurang yang luas, bukan sahaja antara sastera Melayu dengan bukan Melayu, malah sastera Melayu itu sendiri seperti telah disempitkan pada sastera yang bercirikan nilai-nilai keislaman semata-mata, sedangkan tradisi kebudayaan dan kesusasteraan Melayu adalah sangat luas untuk diteroka.

Menurutnya, “Peletakan Melayu dan Islam sebagai batu asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan mengorbankan sebahagian dari sejarah dan produk budaya penting negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum.” Geneologi kebudayaan Melayu yang sangat rencam dan kosmopolitan pada era Hindu-Buddha semenjak era sebelum kedatangan Islam lagi seolah-olah telah diputuskan, sehingga perbicaraan sastera yang menyentuh perihal kepercayaan, seksualiti dan kebudayaan kaum lain telah menjadi tabu dan sensitif dalam masyarakat Melayu-Malaysia. Hal itu merupakan sesuatu yang wajar dikesali kerana perihal tersebut menyebabkan kanun kebudayaan kesusasteraan Melayu semakin mengecil dan menutup ruang kreativiti karya sastera terhadap nuansa kebudayaan asal yang jauh lebih luas. Dalam hal ini, kita masih jauh terkebelakang daripada sastera Indonesia yang boleh membicarakan semua yang kita kononnya anggap secara sensitif itu dengan lebih kreatif dan terbuka.

Jadi, memasuki abad ke-21, sepatutnya persoalan identiti kebangsaan dalam kesusasteraan tempatan tidak wajar menjadi isu lagi kerana sudah berkurun lamanya kita sebenarnya hidup dalam suasana masyarakat majmuk. Tradisi kosmopolitanisme tidak asing sebetulnya dalam kebudayaan kita. Interaksi kebudayaan kaum sudah lama membentuk identiti masyarakat kita pada hari ini. Setelah sekian lama kita hidup dalam pergaulan campur ini, sepatutnya rasa kecurigaan yang membina jurang hubungan antara kaum sudah selesai, dan kita semua boleh hidup dalam satu kebudayaan nasional yang boleh bercirikan majmuk budaya.

Saya boleh bersetuju bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa keutamaan kebangsaan, sebagai tonggak pada kesusasteraan, tetapi dalam masa yang sama, tidak wajar untuk dipinggirkan pula bahasa persuratan kaum lain, seperti bahasa Cina dan India, apatah lagi bahasa-bahasa komuniti asal seperti bahasa Orang Asli, Melanau, Iban, Kadazan, Bajau, Dayak, dan sebagainya. Sebabnya, bahasa itu mewakili kebudayaan kaumnya, jadi adalah tidak wajar sekali untuk kita meminggirkan bahasa kebudayaan dan kesusasteraan kaum lain lantas seolah-olah kita bersikap memperkecil dan tidak menerima keunikan majmuk budaya di negara kita. Kebudayaan ialah satu perihal yang sangat unik, dan adakala bahasa asing tidak dapat menggambarkan inti kebudayaan tersebut sebaik dalam bahasa asalnya. Kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada komuniti masyarakat Malaysia wajar diiktiraf dengan memberi ruang untuk mereka menyuarakan aspirasi kebudayaan mereka ke tengah arus perdana.

Dalam hal ini, saranan sahabat panelis forum saya, Nur Adilla, yang mencadangkan untuk merancakkan terjemahan karya sastera Malaysia yang pelbagai bahasa ke dalam bahasa Melayu merupakan sesuatu yang perlu diambil perhatian yang serius, malah ada penerbitan karya dalam bahasa asal dan terjemahan bahasa Melayu diletakkan seiringan dalam satu buku. Inilah satu contoh inisiatif yang sangat bagus dan wajar diperbanyak lagi supaya seluruh masyarakat Malaysia saling dapat kenal-mengenali kebudayaan kaum dan etnik lain yang telah hidup bersama-sama setelah sekian lama.

Maka, hala tuju identiti sastera kebangsaan pada abad ke-21 tidak wajar lagi menjadi isu sebetulnya, kerana kita sebenarnya sudah memasuki era kita hidup secara berbilang kaum selama ratusan tahun lamanya. Malah, kemerdekaan kita sendiri dicapai melalui kerjasama berbilang bangsa tersebut, dan hal-hal yang membawa kepada jurang perkauman dan suara rasisme itu sudah selesai. Tumpuan utama dalam sastera yang beridentiti kebangsaan ini sepatutnya menumpu kepada pemerkasaan suara kesusasteraan dan kebudayaan daripada kaum-kaum lain, terutamanya kelompok etnik asal pedalaman dan Kepulauan Borneo yang sangat jarang-jarang sekali diberikan tempat dalam media arus perdana.

Percayalah, keunikan identiti sastera kebangsaan sebegini di Malaysia yang hampir tiada di mana-mana benua lain akan menjadi suluhan terhadap kelompok sastera antarabangsa untuk memerhati perkembangan arus kesusasteraan Malaysia pula.

_________________________

A. Muziru Idham ialah mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Karya-karyanya dalam genre puisi, cerpen dan esei banyak disiarkan dalam media cetak dan dalam talian. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) serta Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI). Beliau juga merupakan pengasas bersama Jurnal Sang Pemula, iaitu kumpulan anak muda yang membawakan wacana alternatif sains sosial dan kesusasteraan demi kemanusiaan yang lebih baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.