Oleh Salman Sulaiman
6 Oktober 2021, 12:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Rosli K. Matari dalam siri akhir Bengkel Cerpen Hujung Minggu anjuran Liga Penulis Kelantan, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan PERADABAN minggu lalu mengangkat cerpen “Nasinya Tumpah” karangan Fatimah Busu sebagai salah satu cerpen terbaik yang pernah dihasilkan oleh penulis Kelantan. Nada keharuan yang termuat dalam cerpen tersebut, yang berupa sebuah karya tragedi, mampu menitiskan air mata sesiapa sahaja yang membacanya. Jika novel, antara karya besar Nusantara yang mampu menitiskan air mata pembaca ialah karya Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Rosli menasihatkan para peserta bengkel agar tidak menyimpan karya yang gagal. “Buang, sebab (karya) itu beban,” katanya. “Perlu pastikan sejauh mana keberkesanan karya. Bukan semestinya kena tulis puisi yang panjang atau novel yang tebal-tebal.”

Ujarnya lagi, antara sebab para penulis kita gagal menghasilkan karya yang bagus dan berkesan ialah kerana tidak pernah mengambil tahu tentang empat perkara penting dalam penulisan karya sastera. Empat elemen penting tersebut ialah kehalusan, kebijaksanaan iaitu kemahiran mengarang, keindahan, dan keberkesanan. Menurutnya, kebanyakan cerpen yang memenangi hadiah sastera di Malaysia ialah karya yang berupaya menyentuh emosi pembaca.

“Saya tidak mengajar anda untuk mengejar hadiah,” beliau berterus terang, “Penyair muda Kelantan kalau tulis puisi pandai, tapi jika menghasilkan cerpen hanya menulis cerita sahaja. Mengarang dengan menulis itu lain. Malah, penulis lama Kelantan juga begitu. Penulis kita ini banyak menulis cerpen, tapi sekadar tulis cerita sahajalah. Menulis ini, kita berurusan dengan pembaca.”

Nasihat yang tidak kurang pentingnya kepada para karyawan generasi baharu juga ialah agar menulis tanpa mengejar kolum, iaitu jangan menulis secara terburu-buru hanya kerana hambatan untuk mendapat siaran di ruangan terhad akhbar. Hal ini menyebabkan penulisan akan terbatas dan karya menjadi tidak lengkap-sempurna, hanya kerana mengejar ruangan siaran yang sangat terhad.

Beliau turut mengakui kemahiran S.M. Zakir yang bijak menggunakan teknik monolog dalaman dalam karya-karyanya. Umpamanya dalam cerpen yang memenangi Anugerah Sastera Negeri Kelantan (ASNK) 2015, “Hujan Keruh di Jogja”. Pada akhir pembacaan, kita akan ikut berasa kagum menghayati cerpen Zakir ini. Rasa meluat, merungut dan tidak puas hati yang diadun oleh Zakir dalam cerpen tersebut akan turut dapat dirasai oleh pembaca. Selain terpilih memenangi ASNK 2015, cerpen itu juga turut dimuatkan dalam buku Cerpen Terbaik 2014 terbitan Buku Fixi yang diselenggarakan oleh Wan Nor Azriq.

Antara cerpen lain yang juga bagus untuk dibaca dan dijadikan rujukan penulisan oleh para pengarang baharu ialah “Lagu Kit Kit Kit” hasil karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad, “Capa Rengat” karya Baharuddin Kahar, “Matinya Si Ibu Ayam” karangan Khadijah Hashim, “Haruan” oleh Dharmala N.S., “Tok Raja” karangan E Pian Pro Poul, “Padmini” tulisan Noorjaya, “Sahabat” karya SN Anwar Ridhwan, dan “Kipas Angin” hasil cipta Azizi Haji Abdullah. Selain cerpenis ini, turut disebutkan nama SN S. Othman Kelantan, SN Abdullah Hussain, Zahari Affandi, Malim Ghozali PK, Razak Mamat, dan Mawar Shafei sebagai antara pengarang yang menghasilkan cerpen yang baik dan berkesan di Malaysia.

Penulis generasi baharu yang turut mendapat perhatian Rosli ialah Roslan Jomel. Walaupun dalam karya pengarang muda Sarawak ini banyak eksperimen dilakukan, namun beliau tetap optimis melihat perkembangan penulisan Roslan dan pengarang-pengarang muda lain.

Katanya,“Dia banyak bereksperimen dalam karya-karyanya. Tak apa, biarlah mereka berkembang.” Menurutnya lagi, cerpen yang berkesan ialah karya yang hidup sepanjang zaman.

Ketika ditanyakan tentang karya-karya SN Arena Wati pada akhir sesi, beliau mengakui Sasterawan Negara kelima itu sangat prolifik semasa hayatnya dan banyak menulis berdasarkan pengalaman kerana apa-apa yang ditulisnya itu ialah pengalaman baharu yang ramai tidak pernah tahu.

Berita Berkaitan |

Menekuni Kesusasteraan Bersama Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi