6 Oktober 2021, 08:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam – Era yang mula memperbesar kegiatan adaptasi novel kepada layar pada peringkat tempatan dikatakan berlaku pada dekad 2000–2010. Stesen-stesen televisyen dan penyiaran filem ketika itu berlumba-lumba merebut peluang mengadaptasikan novel-novel popular kepada medium seni visual. Malah, untuk menghasilkan seni visual, proses utama yang perlu sebelumnya adalah dengan menulis lakon layar.

Terdapat wacana hangat dalam proses ini, iaitu adakah “kecurangan” dan kesetiaan terhadap sumber asal cerita akan tetap dan sentiasa berlaku dalam proses pemindahan karya? Persoalan keperluan serta sejauh mana perubahan akan berlaku juga adalah antara persoalan yang berlegar dalam fikiran peminat serta penggiat filem dan sastera.

Program bual bicara bersempena Dekad Membaca Kebangsaan, Bual Bicara: Daripada Novel kepada Skrin yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang pada 5 Oktober 2021 (Selasa), pukul 3.00 petang, mengangkat wacana ini.

Dr. Mohd Shahremy Ikmal Shahbudin, novelis dan penulis skrip drama yang kini bertugas sebagai pensyarah di Bahagian Kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia melalui bual bicara ini menjelaskan, dalam menghasilkan naskhah adaptasi novel kepada layar, penulis skrip berdiri sebagai pengantara. Shahremy malah berkedudukan, sasaran menghidupkan semula dan menaikkan citra sebuah cereka sastera melalui adaptasi kepada medium layar merupakan peranan utama beliau sebagai penulis skrip.

“Dalam penulisan lakon layar adaptasi, saya gemar menggunakan ayat ‘jaga hati’ kepada penulis sumber asal, kerana sebagai penulis novel, saya faham akan kesukaran untuk menyusun perkataan dalam garapan sesebuah cerita.

“Namun begitu, perubahan yang dirasakan ‘perlu’ akan tetap dilakukan.” Beliau juga menyatakan, antara tekanan besar menghasilkan karya adaptasi ialah khalayak pembaca.

Mengakui cabaran yang dilalui, Shahremy malah rasa kesal dan berat hati jika gagal menghasilkan skrip lakon layar adaptasi yang menepati cita rasa penulis asal serta khalayak pembaca. Shahremy sempat menambah, faktor kesempitan ruang untuk berhubung dengan penulis berlaku kerana batas masa dan batas pilihan daripada pihak penulis lakon layar.

Mohd Fairuz Padoli, atau lebih dikenali sebagai MF Kencana, juga penulis skrip filem dan drama tempatan pula berpendapat yang proses adaptasi atau pemindahan karya sememangnya harus dilakukan beberapa perubahan dan perkembangan, supaya dapat menyesuaikan kandungan ceritanya dengan rona filem. Penulis novel pula perlu memahami proses ini, atas alasan pihak pembuat filem yang terikat dengan banyak kekangan. Pengalaman Fairuz sendiri, penulis-penulis novel yang telah diadaptasikan karya mereka oleh beliau kebanyakannya dapat bertolak ansur dan memegang prinsip, asalkan ideologi dan plot utama sumber asalnya tidak terlalu jauh berubah.

“Proses pemindahan karya memang memerlukan sedikit pengorbanan kerana fitrah dua medium ini yang tidak sama. Kadang-kadang, babak yang memakan empat hingga lima muka surat novel akan dihidupkan semula hanya dalam satu hingga dua baris sahaja medium skrip.” Tambah Fairuz, novel yang kebiasaannya 200 hingga 300 halaman akan diubah kepada 90 dan 120 halaman lakon layar sahaja.

Menariknya, berlaku juga proses transisi daripada naskhah cerpen yang hanya lapan hingga sepuluh halaman, kepada lakon layar yang berkali-kali ganda halamannya.

“Di sini, kreativiti seorang penulis lakon layar akan dicabar dan diuji, kerana memang transisi yang menarik sebegini biasa berlaku. Pengalaman saya, melalui sumber asal cerita itu (dalam kes ini, cerpen), penulis lakon layar perlu memeram idea apakah yang akan berlaku pada 30 minit pertama filem, dan 30 minit terakhir filem, serta satu jam di antaranya.

“Di sinilah berlakunya penambahan watak serta penterjemahan dialog, kerana cerpen memang tidak berjela-jela dialognya,” ulas Fairuz.

Maizura Ederis, penulis skrip yang prolifik dalam kerja menulis lakon layar adaptasi novel menyatakan, adalah lumrah bagi proses adaptasi karya yang akan berlaku “kecurangan” atau kesetiaan. Beliau menegaskan bahawa adaptasi yang berjaya ialah adaptasi yang “curang” dengan karya asalnya.

“Novel menjual aksara-aksara, filem dan drama pula menjual gambar, asasnya perubahan medium ini memerlukan proses adaptasi menghasilkan naskhah yang berjaya, ” jelas Maizura.

Menurut beliau, keadaan novel yang mempunyai keindahan kata-kata kebiasaannya bertiangkan monolog dan kepuitisan bahasa, dan hal ini malah menimbulkan sebuah persoalan, bagaimanakah caranya untuk menterjemahkan kata-kata indah daripada novel kepada medium visual, seperti perbuatan dan gerak kamera?

Maizura menyimpulkan, kritikan dan kecaman yang berlaku terhadap hasil adaptasi sebenarnya berpunca daripada harapan pembaca (sumber asal), namun sebagai pihak yang bertanggungjawab memecahkan ayat sastera kepada gambar, aksara keterangan kepada perbuatan, kecurangan merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan. Bual bicara ini dikendalikan oleh Dr. Wan Hasmah Wan Teh.

Tonton bual bicara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.