3 Oktober 2021, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Hingga kini, karya-karya penulis Sarawak begitu malar segar dan mempunyai kelainan serta keistimewaan tersendiri. Kekayaan Sarawak dari sudut kepelbagaian etnik, warisan budaya dan sejarah kemanusiaan telah menghidupkan semangat sasteranya. Hal ini diakui oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dalam program yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam Syarahan Perdana Sasterawan Negara, “Warisan Budaya dan Perubahan Nilai Kemasyarakatan: Cerpen Semasa Sarawak pada 20 September lalu.

Siti Zainon mengulas kajian dan kritikan sasteranya terhadap empat buah cerpen karya penulis Sarawak yang mencakupi aspek sosiobudaya, politik, sejarah, kesenian, adab, dan konsep budaya hidup dalam kalangan etnik di wilayah tersebut. Tema-tema ini menjadi gagasan pemikiran penulis-penulisnya yang mengambil serius dan cakna terhadap sejarah dan perkembangan Sarawak sejak sebelum pemerintahan Raja James Brooke, zaman Sarawak di bawah kekuasaan British sepenuhnya dan era kini. Tema-tema yang diangkat dalam karya-karya sastera memperlihatkan tahap keprihatinan penulis-penulis Sarawak dalam menyedarkan khalayak pembaca, tentang peri penting menghargai sastera lisan atau sastera rakyat dan kepentingan mengekalkan warisan budaya dan bangsa di wilayah tersebut khususnya, dan Malaysia amnya.

Jelas Siti Zainon, songket atau busana Sarawak, identiti etnik yang merangkumi kepelbagaian budaya, seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Melayu Sarawak misalnya, akan tenggelam ditelan zaman andai tiada usaha memeliharanya meski daripada tradisi tulisan sekalipun. Ceritera ini akan mati dan generasi kini tentunya tidak akan kenal nilai budaya yang diamalkan oleh masyarakat yang melahirkannya.

“Jika orang budaya menganggap sastera tidak penting, bagaimana mereka mahu mendapatkannya?” soal Siti Zainon ketika menjelaskan kepentingan dan peranan penulis dalam jalur sastera di Sarawak.

“Libau” misalnya, cerpen yang ditulis oleh Abang Patdeli Abang Muhi telah mengangkat persoalan budaya dan nilai moral yang berlaku kepada sebuah masyarakat setelah kematian penghulunya di Rumah Bajau. Tercetus pelbagai konflik budaya, moral, sosial dan adab, ekoran kemasukan “orang luar” dalam kalangan kakitangan kerajaan dan peneroka tanah (terjadi kepelbagaian penipuan) yang membawa kepada perubahan nilai, sikap serta budaya adat hingga tercemar.

Minuman-minuman keras seperti menjadi kebiasaan baharu yang telah merosakkan sistem adat dan tradisi etnik yang dahulunya kuat berpegang pada nilai-nilai tradisional yang santun dan beradab dalam kehidupan. Keberanian penulisnya mengolah situasi semasa yang berlaku dalam masyarakat di Sarawak, wajar diberi perhatian kerana pengkaryaan sebegini merupakan dakwah secara senyap yang mampu menyedarkan khalayak pembaca.

Sastera dari sudut sosiobudaya yang dikarang oleh Abang Patdeli ini, merupakan rakaman simpatinya yang mewakili gema hati dan kebimbangan masyarakat terhadap penyakit sosial yang masuk ke kampung-kampung dan menembusi sistem tradisi kemasyarakatan di Rumah Bajau.

Cerpen kedua yang diulas oleh Siti Zainon ialah karya Jaya Ramba, bertajuk “Bara Rimba Yang Menyala”. Cerpen ini mengisahkan latar kepercayaan Orang Ulu terhadap perkahwinan sesama adik-beradik. Hal ini mendapat pertentangan daripada seorang gadis, bernama Sayan apakala disuruh mengahwini abang kandung oleh ibu dan ayahnya. Keberanian Sayan menentang nilai warisan ini memaparkan kekritisan pemikirannya terhadap budaya dan nilai ritual lama yang bercanggah dengan agama. Antara petikan penting dalam cerpen ini ialah kata-kata Sayan yang berbunyi: Aku tidak berdosa membayang yang buruk, menerima yang baik, ketika menyatakan penolakannya tidak mahu mengahwini abang kandungnya sendiri. Meski pergolakan berlaku antara Sayan dengan ibu dan ayahnya yang kuat berpegang pada kepercayaan lama, namun situasi begitu aman kerana kasih sayang kuat mengikat antara mereka.

“Inilah kejujuran pengarang, Jaya Ramba membuka rahsia yang tidak diketahui berlaku dalam budaya di Sarawak yang mungkin tinggal cebisan sahaja,” jelas Siti Zainon.

Manakala Yusuf Mustanir pula merupakan pengarang yang menulis cerita tentang Rosli Dhoby kerana terpukau dengan riwayat hitam pejuang tersebut. Siti Zainon mengumpamakan Yusuf Mustanir sebagai seorang penglipur lara moden, kerana cerpennya mampu mengangkat kisah Rosli Dhoby sebagai pejuang nasionalisme dan antikolonialis Sarawak. Keberanian Rosli Dhoby yang memancarkan pemberontakan jiwa anak muda terhadap penjajahan Bristish di Sarawak, ialah gambaran riwayat hidup sebenar pejuang tersebut yang pada akhirnya diingati sebagai pemuda berusia 18 tahun yang berani menikam Gabenor British, Sir Duncan George Stewart pada 3 Disember 1949.

“Sukar sekali menangkap cerita ini kerana wataknya aku dan dia. Diakhirnya barulah dapat saya fahami bahawa ceritanya ialah kisah Rosli Dhoby kerana pengarangnya ada memaklumkan tentang buku yang dibacanya,” ujar Siti Zainon.

Terakhir, beliau mengulas cerpen “Pusara Marhum Satu Lima Duakarangan Abang Saifuddin Abang Bohari yang jelas tidak dapat menyembunyikan keresahannya terhadap isu bahasa Melayu yang dikuburkan oleh politikus. Meskipun jelas perjuangan memartabatkan bahasa Melayu telah bermula sejak menjelang kemerdekaan Malaysia, namun ia terkubur di Parlimen meskipun telah diwartakan dalam Akta 152. Kisah benar yang memaparkan citra keranda oleh penggiat dan aktivis bahasa Melayu telah tiga kali berlaku bermula pada tahun 1967, apabila keranda diarak sebagai tanda protes dan simbolik kepada kerajaan Malaysia yang tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

Antara tokoh terpenting yang menzahirkan protes tersebut ialah Tun Syed Nasir Syed Ismail, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada tika itu dan juga Sasterawan Negara Usman Awang.

Kata Siti Zainon, “Kita tidak boleh menipu sejarah dan perlu berani. Telah tiga kali peristiwa keranda diarak dan terakhirnya ketika penentangan program PPSMI yang mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Inilah usaha yang dicabar oleh pengarangnya, iaitu Abang Saifuddin Abang Bohari kerana kepekaan dan sensitivitinya terhadap penggunaan bahasa Melayu yang diremehkan oleh politikus-politikus.”

Pada akhir program, beberapa persoalan daripada penonton diangkat, termasuk: adakah boleh berkomunikasi dalam dialek negeri masing-masing dan jawab Siti Zainon tiada salahnya, namun harus difahami agar tidak memecahkan akar budaya. Dahulu, diperjuangkan bahasa Melayu baku sebagai bahasa dalam urusan rasmi kerajaan namun kini, masing-masing menggunakan dialek negeri sendiri. Hal ini tidak seperti di Jepun, Indonesia, Korea dan Jerman yang mempunyai bahasa rasminya tersendiri meskipun mereka ada dialek etnik dan bangsa sendiri. Manaka persoalan tentang peranan ahli politik dalam bahasa pula, Siti Zainon menegaskan bahawa para pembantu ahli politik perlu membantu ahli-ahli politik dalam penggunaan bahasa Melayu.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi