2 Oktober 2021, 18:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajian terhadap naskhah sastera Melayu melahirkan pelbagai wacana, khususnya dalam pembangunan nilai pencapaian manusia. Dalam Seminar Bahasa, Budaya dan Kesusasteraan Melayu IV (SEBAHTERA IV) anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau (IPGKK) Sabah, dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) Kota Samarahan, Sarawak, Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar, serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), barisan pembentang yang hadir daripada pelbagai latar belakang mengemukakan kajian mereka, khususnya dalam budaya sastera Melayu.

Dengan tema “Bahasa, Budaya dan Sastera Mendepani Era Revolusi Pendidikan”, persoalan kaedah dan sejauh mana benarnya kemajuan insaniah manusia dapat ditingkatkan melalui naskhah sastera juga menjadi tumpuan perbincangan dan kajian para pembentang dan ahli akademik dalam SEBAHTERA IV, yang berlangsung pada 29–30 September lalu.

Pembentangan “Pemikiran Kritis dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah dalam Pementasan Teater Hikayat Si Ikan Kering” yang disediakan oleh Dr. Maria Tahir dan Chan Mun Varne dari Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) membincangkan hal ini.

Chan Mun Varne menyatakan, kemahiran insaniah ialah elemen penting untuk menjayakan falsafah pendidikan kebangsaan yang melahirkan graduan yang lebih holistik, kuat jasmani, emosi, dan nilai intelektual.

Chan dan Dr. Maria telah meneliti pengaplikasian pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah melalui pengamatan secara mendalam terhadap pementasan drama teater Hikayat Si Ikan Kering.

Kata Chan menerusi pembentangannya, “Saya dapati, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah dapat dirangsangkan melalui teknik penceritaan drama, kerana drama ialah satu skop sastera yang paling dekat dengan kehidupan manusia.”

Menurut beliau lagi, manusia boleh mengadaptasi pemikiran kritis yang terkesan dengan penyampaian sebuah drama yang berkaitan. Sesebuah pementasan drama yang kaya dengan nilai insaniah dapat memantulkan sifat-sifat dan kelakuan manusia. Hal inilah yang menjadi kaedah utama mendidik jiwa dan rohani.

Pendekatan Teori Pengkaedahan Melayu ciptaan Prof. Hashim Awang juga menjadi wadah yang boleh meningkatkan nilai kemahiran insaniah seseorang. Cabang terakhir dalam teori Hashim Awang itu, Pendekatan Dakwah dan Pendekatan Kemasyarakatan, menjadi tajuk perbicaraan oleh salah seorang pembentang SEBAHTERA IV.

Menerusi pembentangan “Keunggulan Dakwah dan Ekspresi Kemasyarakatan Di Bawah Lindungan Ka’bah” yang disampaikan oleh Norhidayah, menampilkan novel Buya Hamka, Di Bawah Lindungan Ka’bah mampu menunjukkan kesan mendidik insaniah melalui wadah sastera.

Norhidayah menyatakan, Islam amat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan menggalakkan setiap umatnya supaya menuntut ilmu kerana menuntut ilmu juga ibadah.

“Malah, al-Quran turut mengingatkan keutamaan dan kepentingan menunut ilmu, kerana Islam memandang tinggi akan orang yang berilmu pengetahuan,” tambah Norhidayah.

Aspek pelajaran merupakan isu dominan yang diketengahkan dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah, kerana keberadaan pengarangnya yang menyedari kepentingan membentuk generasi muda yang berilmu dan berjiwa pelajar.

Pendekatan di bawah pengkaedahan keagamaaan, iaitu dakwah dan kemasyarakatan yang terdapat dalam Teori Pengkaedahan Melayu telah ditonjolkan melalui naskhah Buya Hamka tersebut, dan pendekatan yang terdapat dalam filem adaptasinya pada tahun 2011 itu juga adalah sangat relevan dan signifikan,” jelas Norhidayah, menyimpulkan bicara.

“Kajian ini juga diharapkan dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat untuk mengambil tauladan dalam kehidupan, juga dengan harapan dapat menyediakan ruang buat pengkaji-pengkaji lain untuk menyumbangkan idea, di samping menambah baik kelopongan yang ada dalam kajian kritikan sastera.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.