Oleh Karmila Azmi
1 Oktober 2021, 21:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Pertentangan idea antara pengarang dengan pentadbiran sesebuah negara akan sentiasa berlaku di mana-mana sahaja. Hal ini disebabkan oleh kedudukan pengarang itu sebagai perakam zaman dan pemikir yang kritis.

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari berkata, sejak dahulu pun, sejarah dunia mencatatkan banyak kerajaan menahan pengarang atas pertentangan idea mereka. Paling dekat dengan kita ialah Pramoedya Ananta Toer yang dipenjarakan hampir 14 tahun.

“Malah saya fikir, Pulau Buru itu bukanlah terkenal kerana kedudukannya sebagai pulau tetapi kerana rakaman Pramoedya terhadap pulau itu,” katanya, sewaktu menjadi panel Bicara Maya@PPAK, “Bicara Khas Sasterawan Negeri Kelantan – Merdekakah Sastera Kita?” yang disiarkan dalam Facebook Perpustakaan Awam Kelantan, 29 September lalu.

Dalam sesi yang dimudahcarakan oleh Salman Sulaiman itu, Rosli berkata pada setiap zaman, akan lahir pengarang yang melawan kerajaan menerusi karyanya. Kritikan dan teguran itu akan membawa pelbagai jenis implikasi namun tidak akan menghentikan tugas dan niat pengarang.

“Benar atau tidaknya ditentukan oleh masyarakat. Keadilan dan kebenaran tidak semestinya ditentukan oleh mahkamah tetapi perubahan masa.

“Pak Sako misalnya ialah pengarang yang bangkit menentang penjajah. Kita membaca pemikirannya dalam Putera Gunung Tahan dan Budak Beca. Hal ini menandakan, pengarang itu genius,” katanya.

Tegas Rosli, kebebasan atau kemerdekaan bagi seseorang pengarang membawa pelbagai maksud. Bagi sebuah negara, merdeka bermaksud negara itu tidak lagi dijajah, tetapi kebebasan pula ialah hak untuk melakukan sesuatu tanpa halangan. Justeru bagi penulis katanya, kebebasan dan kemerdekaan itu selari.

Namun dalam keadaan sekarang katanya, amat malang apabila masyarakat kurang menghargai sastera dan peranan pengarang sebagai perakam zaman. Hal ini boleh dilihat menerusi subjek Kesusasteraan Melayu yang berhadapan dengan kesukaran untuk diajar di sekolah.

“Sastera boleh diajar di sekolah, malah Kementerian Pendidikan membenarkan sastera diajar dan tertakluk kepada pengetua sekolah itu hendak tawarkan atau tidak.

“Tapi sayang, pengetua sekolah ini yang adakalanya terdidik daripada latar sastera dan kemanusiaan sendiri yang tidak mahu mengajarkan atau mengadakan pilihan subjek berkenaan di sekolah mereka.

“Amat sayang dalam sebuah negara bebas dan merdeka, pelajar tidak diberi peluang untuk memilih subjek itu. Bagaimana pelajar dapat memilih kalau pengetua tidak mahu tawarkan subjek itu untuk diajar?” katanya.

Tonton bicara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.