Oleh Orked Una
28 September 2021, 08:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lagu lama mempunyai rohnya yang tersendiri, masih dimainkan di stesen radio dan juga aplikasi muzik. Pada aplikasi nyanyian Smule contohnya, terdapat banyak lagu lama yang boleh dipilih oleh pengguna untuk duet lagu. Walaupun medium berubah, namun lagu-lagu lama yang mempunyai lirik dan melodi yang baik mampu merentas zaman dan berterusan mempunyai peminat baharu.

Canai Bahasa dan Sastera kali ini membawakan para panel yang terdiri daripada penyair dan penulis lirik, Siti Zaleha M. Hashim dan penyanyi lagenda Dato’ DJ Dave bagi membincangkan tajuk “Lirik yang Berjiwa, Hidup Selamanya”. Program ini dikendalikan oleh penulis Djazlam Zainal.

Siti Zaleha dikenali menghasilkan lirik-lirik lagu yang mempunyai mesej dan tidak gentar menghasilkan lirik dengan tema di luar kebiasaan pada zamannya. Beliau menghasilkan lirik untuk para penyanyi terkenal, antaranya termasuklah Sudirman Haji Arshad, Rosemaria, Noorkumalasari, Kopratasa, dan juga Roy & Fran.

Lagu Dato’ DJ Dave, Tuah Badan ditulis oleh Siti Zaleha. Walaupun lagu Tuah Badan bertempo laju stail disko, liriknya membawa mesej tentang kehidupan. Siti Zaleha menerangkan beliau memasukkan nasihat bahawa walaupun hidup sederhana, kita mesti menjadi diri sendiri. Kegembiraan akan membawa kebahagiaan.

Antara lirik lain tulisan Siti Zaleha yang unik ialah Toyol yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman. Kata Zaleha, lagu ini dihasilkan dengan mesej supaya masyarakat tidak percaya pada perkara karut dan menghilangkan rasa seram kepada entiti toyol tersebut. Dalam lagu Si Naga Naga yang dinyanyikan oleh Carefree pula, unsur cerita rakyat dimasukkan seperti naga dan kayangan. Lirik lagu ini menempelak telatah manusia yang mudah ditipu kerana ingin cepat kaya.

Mesej yang dimasukkan adalah sangat penting dan hal ini dipersetujui oleh kedua-dua panel. Lirik yang baik mempunyai cerita di sebaliknya, dibalut dengan bahasa yang indah. Penulis lirik boleh menjadikan lirik lagu sebagai wadah untuk membentuk pemikiran dan pembentukan masyarakat.

Dato’ DJ Dave berkongsi bahawa lagu-lagu boleh dijadikan panduan hidup. Beliau menulis lagu yang mempunyai mesej 5K, iaitu keluarga, keturunan, kampung, kesenian, dan kebudayaan. Lagu ini diberikan kepada anak-anaknya sebagai bekal supaya tidak tersesat daripada landasan kehidupan. Menerusi lirik lagu juga, perpaduan, semangat cintakan negara dan bahasa dapat dilakukan, sepertimana lagunya dapat dinikmati oleh pelbagai bangsa.

Nasihat Siti Zaleha kepada penulis lirik adalah supaya penulis lirik memanfaatkan peluang yang ada sebaik-baiknya kerana kerja menulis ialah amanah dan tanggungjawab. Walaupun tujuan asal lagu adalah untuk berhibur, tetapi lirik yang baik perlu mempunyai mesej, menggunakan bahasa yang indah, menyentuh perasaan, membuatkan pendengar berfikir, meninggalkan kesan, dan memasukkan nilai kemanusiaan. Perkara yang ditulis akan menjadi warisan yang ditinggalkan.

Program ini disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 23 September 2021, pukul 10.00 pagi.

Tonton Canai Bahasa dan Sastera di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi