Oleh Karmila Azmi
26 September 2021, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Sabah Azmah Nordin membawa dimensi baharu kepada kepengarangan novelis wanita di Malaysia bukan hanya dari segi muatan karya yang dibawanya tetapi juga citra sastera etnik.

Malah Azmah, yang berasal dari Kulim, Kedah, tampil dengan kekuatan tersendiri kerana membina dunia kepengarangannya di wilayah asing, iaitu Sabah, dan melakukannya sesudah berumah tangga.

Hal itu boleh disimpulkan dalam perbincangan Forum Pemikiran Azmah Nordin yang disiarkan dalam Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka 24 September lalu. Forum itu yang dimudahcarakan oleh Hafiz Latiff menampilkan panel, aktivis sastera Dr. Hanafi Ibrahim, Pensyarah Universiti Malaya Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, dan Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya TS Dr. Ramzah Dambul.

Hanafi memulakan perbincangan itu dengan menyebut Azmah ialah penulis yang membawa muatan baharu pada zaman beliau memulakan penulisannya, selain mencorakkan sejarah persuratan kebangsaan dengan imej yang ditampilkan dalam karyanya.

Mengakui banyak mengkaji karya Azmah, Hanafi menyifatkan Azmah membawa penampilan pengarang wanita yang baharu dengan sudut pandangan feminisme yang tersendiri.

“Ciri istimewa karya beliau banyak menggabungjalinkan perkataan yang membawa lambang tersendiri dalam karyanya. Misalnya, serigala atau badak sumbu dan ini boleh ditemui dalam karya besar beliau.

“Gabungan perkataan begitu sering diulang dalam karya Azmah, malah saya melihat banyak wataknya dimetaforakan seperti ‘kambing gurun’ dan ‘badak sumbu’. Malah, pelbagai watak wanita ditampilkan dengan pelbagai karakter berbeza,” katanya

Pandangan Hanafi disokong Norhayati yang menegaskan, Azmah konsisten dengan prinsip dan perjuangannya sejak dahulu, menjadikan beliau seorang pengarang yang cukup penting dalam jalur kepengarangan negara.

Malah, Azmah juga mempunyai kecenderungan yang sangat besar menggunakan metafora dengan cara tersendiri. Hal ini tegas Norhayati, selari dengan pemikiran feminisme yang menyarankan penulis wanita agar menggunakan gaya bahasa sendiri dan tidak terikat dengan male discourse.

“Metafora yang digunakannya juga agak kasar dan jarang-jarang diguna pakai oleh penulis wanita yang lain.

“Penggunaan perlambangan yang dikaitkan dengan diri watak, misalnya perkataan serigala korporat, beruang atau badak sumbu,” katanya.

Tambah Norhayati, penulis wanita boleh berjaya walaupun sudah berkahwin, asalkan mempunyai disiplin dan ruang peribadi, iaitu psikologi dan mental untuk berkarya.

Azmah kata beliau ialah contoh penulis wanita berjaya yang membina dunia kepengarangannya setelah berkahwin. Malah, lebih jauh dari itu, Azmah menulis dengan hasrat untuk memartabatkan wanita dan memberi inspirasi kepada wanita.

Sementara itu, Ramzah melihat Azmah sebagai seorang penulis dengan latar kepengarangan yang unik berbanding dengan penulis lain yang sezaman dengannya. Beliau mulai menulis ketika kematian anaknya dan hal ini dianggap sebagai terapi untuknya.

“Saya melihat Azmah ini istimewa kerana berkembang di Sabah walaupun berasal dari Kedah. Beliau membina dunia penulisannya dari sisi marginal, iaitu berada di ruang asing dan perlu menonjol berbanding yang lain.

“Berada di Sabah pada tahun 70-an ada banyak beza dari segi budaya dan bahasa, dan Azmah membina kekuatan karya daripada persekitarannya.

“Naskhah Azmah memperkatakan banyak hal dan boleh disorot juga dari sisi sastera etnik, iaitu merujuk perjuangan etnik marginal di Malaysia, dan dalam konteks ini, kaum di Sabah dan Sarawak.

“Azmah mengangkat dimensi novelis dari Sabah lebih tinggi. Beliau membawa citra etnik yang selama ini tidak dibuat oleh novelis Sabah, kecuali Amil Jaya,” katanya.

Tegas Ramzah, karya Azmah boleh diangap sebagai contoh klasik karya etnik Sabah, kerana sastera etnik bukan sekadar mengambil perkataan atau istilah dan menempelnya dalam karya, sebaliknya imejnya harus mewakili komuniti Sabah.

“Novel pertama beliau, Kukui misalnya, mempunyai pencitraan isu-isu lokal peribumi di Sabah yang setaraf dengan Bagaton oleh Amil Jaya,” katanya.

Tonton forum penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.