Oleh Ramzah Dambul
21 September 2021, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramzah Dambul memberikan peringatan agar penulisan sastera yang kreatif tidak mengabaikan nilai sains yang bergantung pada pemerhatian terhadap fakta.

Karya sastera yang bermaruah harus mencerahkan realiti, bukan menggelapkannya.

Dalam siri pertama kolum ini, saya menulis tentang dikotomi pendidikan negara yang memisahkan sastera dan sains mengikut kasta aliran masing-masing. Hal ini mengakibatkan pengembangan kurang harmoni antara daya logik (otak kiri) dengan seni kreatif (otak kanan). Maka, saya hujahkan bahawa dikotomi ini sebenarnya boleh menghasilkan ketidakseimbangan pemikiran, yang secara sengaja menentang falsafah pendidikan itu sendiri.

Kali ini, diskusi daripada diagnosis yang sama dilanjutkan kepada isu yang lebih genting, iaitu wujudnya hubungan akrab antara kepandiran sains dengan kebejatan sastera. Dalam situasi-situasi tertentu, kelemahan menghadam logik sains mampu menjerumuskan karya sastera ke markat yang sumbel.

Saya ingin kaitkan perkara ini dengan pengalaman personal; menerusi pembacaan kasual karya-karya sastera mahupun ketika proses pewasitan manuskrip. Terdapat kelompok penulis yang tidak peduli pada fakta empirikal. Mereka menyangka bahawa sastera, sebagai ciptaan fiksyen, dibolehkan menerawang dalam dunia fantasi tanpa batasan.

Sastera yang baik bukan sahaja perlu menawarkan kelegaan emosi dan gratifikasi mental menerusi keindahan susastera dan cerita. Ia juga harus memberi informasi dan ilmu yang tepat kepada pembaca. Sepatutnya hanya watak, peristiwa dan plot sahaja yang bersifat imaginasi. Tetapi latar belakang masa (sejarah) dan ruang (geografi) mestilah patuh pada hukum alam yang masuk akal. Pengecualian hanya pada karya sastera yang ditulis secara implisit dalam domain genre magis.

Saya pernah membaca karya realisme tentang sebuah komuniti nelayan di utara Sabah, yang dikisahkan berdepan cabaran monsun utara pada pertengahan tahun. Sedangkan angin kencang ini cuma berlaku antara bulan November hingga Mac. Ada juga penulis yang menghasilkan cerpen tentang “White Christmas” (Hari Natal yang bersalji) di New Zealand. Padahal perayaan ini disambut hanya pada musim panas di hemisfera selatan.

Barangkali penulis terpengaruh dengan paparan suasana Krismas dalam filem-filem Barat produksi Eropah dan Amerika, yang lazimnya berlatarkan hemisfera utara. Pengabaian prinsip asas sains klimatologi seperti dalam contoh-contoh karya yang disebut ini, pada hemat saya mencabuli kehormatan sastera. Seolah-olah kesusasteraan menghalalkan pendustaan fakta.

Saya juga pernah meneliti karya tentang gejala sosial yang akhirnya menyebabkan watak antagonis dijangkiti HIV. Tetapi dalam tulisan tersebut, penggunaan terminologi HIV dan AIDS bertukar ganti secara semberono. Sedangkan dalam bidang perubatan, kedua-duanya amat berbeza. HIV merujuk virus yang menjadi punca penyakit. Manakala AIDS ialah penyakit yang diterima oleh penghidap sebagai akibat jangkitan virus tersebut.

Gejala pada tubuh (misalnya kenampakan kudis) hanya muncul pada penghidap AIDS. Seseorang yang dijangkiti HIV tidak semestinya menunjukkan sebarang tanda-tanda fizikal yang boleh dilihat oleh mata kasar. Apabila dua istilah ini tidak digunakan dengan konteks yang betul, kekeliruan akan timbul dan boleh merencat usaha-usaha meningkatkan kesedaran tentang masalah kritikal ini.

Seorang penulis senior dengan defensif menyanggah: “Kenapa semua penulis perlu tahu perkara teknikal ini? Saya sendiri pun tidak tahu perbezaan HIV dan AIDS, sebab saya bukan doktor!” Ya, betul. Tiada keperluan untuk semua penulis memahami maklumat ultra spesifik begini. Tetapi, bagi mereka yang berhajat mahu menulis tentangnya, menjadi jahil bukan satu pilihan yang boleh dimaafkan. Aktiviti persuratan bukan sekadar hak peribadi, tetapi juga keterikatan kepada tanggungjawab sosial. Karya sastera yang bermaruah harus mencerahkan realiti, bukan menggelapkannya.

Pantun yang benar-benar patuh pada nuansa tradisi sepatutnya tidak akan melakukan penyimpangan daripada citra sebenar kehidupan manusia yang munasabah.

Satu lagi kebejatan sastera yang agak menggila sekarang ini, sering berlaku dalam penulisan pantun. Ramai yang mengarang tanpa berpandu lunas yang betul, terutama sekali pada baris pembayang. Hanya elemen rima yang dipentingkan, malah kadangkala terlalu dilebih-lebihkan. Sedangkan inti pati dan makna langsung tidak diberikan perhatian.

CONTOH PERTAMA

Sirih junjung ikat bertali,
     Untuk hantaran adat warisan;
Sederap menjunjung amanat Duli,
     Menunjuk jalan mengukuh wawasan.

(Facebook rasmi DBP, 2021)

Kenapa ada orang meletakkan tali berikat pada sirih junjung? Hal ini tidak masuk akal kerana perbuatannya dibawa dengan cara dijunjung di kepala, atau dipegang di atas dulang. Bukan dijinjing atau ditarik atau digantung dengan menggunakan tali. Apabila pengamatan seseorang tidak persis, maka muncul fantasi tidak masuk akal seperti ini. Inilah isu deria empirikal yang logiknya diselewengkan.

CONTOH KEDUA

Kerak hijau di cabang pauh,
     Turun merentas di tangkai padi;
Makin ditinjau makin jauh,
     Berasa nak rentas si tangkai hati.

(Studio Pesona DBP, 2021)

Bagaimana pula kerak boleh berada di cabang pauh, kemudian mampu pula berjalan turun ke tangkai padi? Tidak ada prinsip sains botani yang boleh menjelaskan kepelikan ini. Begitu juga, personifikasi manusiawi untuk alam benda seperti ini, jelas menyalahi hukum penulisan pantun. Sekali lagi, hal ini berkait dengan masalah deria logik yang pincang. Terlalu gemar berkhayal melepasi landasan dunia hakiki.

Ramai yang terlupa bahawa pantun ialah cerminan realiti alam sekitar dan norma sosiobudaya masyarakat dalam lingkungannya diciptakan. Maksudnya, pantun yang benar-benar patuh pada nuansa tradisi sepatutnya tidak akan melakukan penyimpangan daripada citra sebenar kehidupan manusia yang munasabah.

Saya membuat kajian koleksi pantun lama untuk latihan ilmiah bidang pengajian geografi di Universiti Malaya pada tahun 1994. Saya menyurih semula dengan jayanya landskap fizikal dan pola sejarah bumi Nusantara beratus-ratus tahun dahulu, hanya dengan menganalisis kandungan pantun-pantun tradisional. Inilah satu bukti betapa pantun terbaik yang dianggap klasik, semestinya mendukung dengan teguh nilai-nilai logik sains semesta.

Ya, tidak dapat disangkal lagi. Kepandiran sains yang sengaja tidak disembuhkan, boleh membawa kepada kebejatan sastera yang kronik.

_________________________

Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.