Oleh Orked Una
19 September 2021, 22:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sejak COVID-19 melanda, para petugas barisan hadapan menaburkan bakti kepada negara tanpa berhenti dan tanpa rehat yang mencukupi. Kerajaan dan rakyat diseru untuk terus patuh dan tidak alpa mengamalkan SOP bagi mencegah penyebaran wabak.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2021, Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempersembahkan program Wira Barisan Hadapan. Program persembahan ini dikendalikan oleh Zack Kirana dan disiarkan secara langsung menerusi Studio Langsung DBP pada 16 September 2021 jam 9.00 malam. Program ini bukan program hiburan kosong tetapi program yang memastikan warisan budaya tidak hilang, menambahkan pengalaman baharu dan ilmu pengetahuan.

Keunikan program kali ini ialah, kandungan programnya tidak menggunakan konsep ucapan tetapi menampilkan mesej melalui persembahan Teromba. Teromba merupakan ungkapan berirama, menceritakan panduan atau amalan sesuatu masyarakat. Bentuk puisi ini juga dikenali sebagai puisi adat dan berasal daripada masyarakat Minangkabau. DBP menampilkan Raja Teromba, Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin yang dinobatkan sebagai Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup, bagi mendendangkan tiga teromba beliau yang bertemakan COVID-19. Mesej teromba beliau penuh dengan nasihat mengenai peranan rakyat Malaysia dan pentabiran negara dalam mendepani wabak ini, yang bukan hanya terhad kepada barisan petugas hadapan, tetapi juga persediaan negara dan dunia yang perlu menangani pelbagai rintangan yang berlegar kerana penyakit cepat merebak ini.

Persembahan Wira Barisan Hadapan menampilkan penggiat seni dan juga barisan petugas hadapan. Segmen pertama menampilkan Leftenan Muda Syaza Izzati Hayazi (JPA) yang mendeklamasikan sajak “Terowong” karya Siti Zaleha M. Hashim, Shamsul Idzam Jamil (DBP Cawangan Sarawak) menyanyikan lagu puisi Isyarat-Nya karya Layskar Puisi, Siti Norhalizawati Zam Hashari (jururawat) mendeklamasikan sajak “Seakan Hilang” karya Zaleha Hashim, dan persembahan lagu Malaysia nyanyian asal Faizal Tahir oleh Halim Hisamudin (juara Bintang Kecil Kebangsaan 2015).

Segmen kedua pula menampilkan Shamsul Effandy Rizyan (penghantar makanan LiveExpress) yang mendeklamasikan sajak “Wahai Teman” karya Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Rosdi Daud membaca naskhah “Mak Nak Beli TV” karya Putraery Ussin, Dymphna Simon mendeklamasikan puisi “Menuju Kebenaran” karya Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dengan menggunakan bahasa isyarat, dan Zamzuriah Zahari (pensyarah ASWARA) membawa keluarganya untuk bersama-sama menyanyikan lagu kontemporari Gemuruh Merdeka karya dan gubahan beliau sendiri.

Segmen ketiga dan terakhir pula menampilkan ‘Corat-coret Sukarelawan” oleh Haliza Hashim (sukarelawan antarabangsa), Superitenden Foo Chek Song (PDRM) mendeklamasikan sajak karyanya sendiri, “Suara Kita Suara Malaysia”, Pegawai Waran 1 Marzelan Md Jusoh mendeklamasikan sajak “Harapan Barisan Hadapan” karya Masraden MD dengan gubahan Perindu Seni, dan diakhiri dengan monolog “Sejak Kau Datang” oleh Sabri Yunus.

Program Warisan Barisan Hadapan melabuhkan tirai dengan persembahan istimewa Ajeeb Sape mengiringi lagu Barisan Hadapan nyanyian Tigabedek.

Tonton persembahan di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.