Oleh Karmila Azmi
18 September 2021, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – “Saya merasakan dunia saya ini sempit. Sejak 50-an, dunia saya adalah sastera. Saya baca dan tulis tidak pernah jemu. Sastera itu adalah tentang kehidupan. Sedar atau tidak, pengarang memetik kehidupan dan dimasukkan dalam karya, sama ada hal itu yang dibencinya atau disukainya. Itu yang saya buat,” kongsi Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said dalam acara Webinar Pemikiran A. Samad Said yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, 16 September lalu.

A. Samad berkata, kehidupan ini pendek dan dalam jangka masa yang singkat itu, kita perlulah berbuat baik dan membuat hikmah kepada orang lain.

Justeru baginya, beliau berkongsi apa-apa yang diketahuinya kepada pembaca. Ada yang menerima dan ada sebaliknya – terpulang. Namun itu bukanlah hal yang besar baginya kerana beliau menyifatkan apa yang dibuatnya hanyalah mahu berkongsi.

“Sastera itu bukan verbal tapi tulisan. Tidak tulis jadi sia-sia,” katanya.

Pandangan A. Samad kemudiannya dikupas lanjut oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Saifulizan Yahaya ketika menyorot kumpulan puisi terbaharu A. Samad Said, Di Atas Padang Sejarah.

Saifullizan berkata, naskhah itu yang menghimpunkan 56 buah puisi diterbitkan pada tahun 2013 merupakan himpunan kesaksian dan respon Pak Samad terhadap persekitaran yang dilalui oleh beliau.

“A. Samad Said melalui zaman perang hingga menikmati hasil kemerdekaan. Zaman pasca perang, beliau di Singapura dan merakamkan realiti zaman itu menerusi Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Adik Datang, dan Lantai T. Pinkie.

“Pembabitannya dalam politik, misalnya dalam Gerakan Pemansuhan PPSMI dan puncaknya pada 7 Mac 2009, Perhimpunan Bersih 2.0 pada 5 Julai 2011 dan Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012, kemudiannya dirakam dalam puisi yang diterbitkan dalam pelbagai media baharu sebagai pernyataan sikap beliau, yang kemudian dikumpulkan oleh Rahmat Haron dan diterbitkan menjadi kumpulan puisi Di Atas Padang Sejarah,” katanya.

Tegas Saifullizan, Di Atas Padang Sejarah setakat ini merupakan kumpulan puisi mutakhir yang diterbitkan sekali gus merakamkan sikap dan pendirian beliau. Sebelum itu, A. Samad Said telah melahirkan kumpulan puisi yang dapat menjadi rujukan penting kepada perkembangan beliau dalam dunia perpuisian kebangsaan, seperti Benih Harapan (1973), Daud Semalu Pucuk Paku (1975), Benih Semalu (1984), Balada Hilang Peta (1991), Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah SAW dalam Puisi (1999), dan Suara dari Dinding Dewan (2003).

“Secara jelas, kumpulan puisi Di Atas Padang Sejarah merakamkan suara naluri dan pemikiran beliau selepas tahun 2005 hingga 2013, yakni pada waktu itu negara telah mengalami beberapa peristiwa penting, baik dari segi politik, pendidikan dan sosial,” katanya.

Tambah Saifullizan, berdasarkan penelitian keseluruhan 56 buah puisi dalam Di Atas Padang Sejarah, Pak Samad membuktikan bahawa karya sastera harus menjadi alat perakam peristiwa sebenar sesuatu zaman, dan hal ini tegasnya, menjelaskan sastera harus merakam sesuatu yang real.

Beli kumpulan puisi Di Atas Padang Sejarah dan buku puisi panjang Al-Amin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.